Hukum duit zakat harta digunakan untuk membuat korban adik beradik.
Allah Subhanahuwata'ala mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Allah Subhanahuwata'ala berfirman di dalam al-Quran:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Surah al-Taubah ayat 103
Begitu juga dalam satu hadith ketika Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ
Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.
Riwayat al-Bukhari (1496)
Syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk mengeluarkan zakat, iaitu:
1-Islam, yang bermaksud tidak wajib zakat ke atas orang yang kafir.
2-Cukup nisab yang telah ditetapkan, iaitu sejumlah harta yang mencapai nilai yang diwajibkan untuk berzakat.
3-Cukup haul (setahun Qamariah), iaitu genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/8)
Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Sallahu'alaihiwasallam yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A, Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ
Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun”
Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)
Justeru itu, adalah wajib ke atas setiap seseorang itu untuk mengeluarkan zakat, apabila telah memenuhi tiga syarat yang telah ditetapkan iaitu Islam, cukup nisab dan cukup haul.
Hukum menggunakan duit zakat harta untuk membuat korban adik beradik adalah tidak dibolehkan.
Di dalam nas al-Quran, jelas menunjukkan bahawa zakat itu telah ditetapkan kepada pemiliknya. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:
إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu adalah milik orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan para ‘amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Surah Al-Taubah ayat 60.
Imam al-Qurtubi Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau menyebut: “Al-Syafi’e dan ashabnya mengatakan bahawa huruf ‘lam’ (di dalam ayat tersebut; لِلۡفُقَرَآءِ ) membawa maksud al-Tamlik (pemilikan)”. Justeru, golongan-golongan yang disebutkan oleh nas sahaja yang boleh menerima zakat. Lihat Al Jamik Li Ahkaam Al-Quran, Al-Qurthubi, 8/167.
Berdasarkan kenyataan yang dinyatakan oleh Imam Al-Syafi’e dan para ashabnya di atas, dapatlah difahami bahawa harta zakat tersebut secara hakikatnya bukanlah milik individu yang mengeluarkan zakat sehingga dia boleh untuk membelanjakannya membeli haiwan bagi tujuan korban atau akikah. Sebaliknya, harta zakat tersebut adalah milik kepada lapan asnaf (golongan) yang telah dinaskan di dalam al-Quran tersebut. Justeru, adalah tidak boleh bagi seseorang yang menunaikan zakat itu untuk membeli haiwan korban ataupun akikah menggunakan wang zakat tersebut.
No comments:
Post a Comment