Zakat fitrah dan sejarah pensyariatannya
Zakat fitrah adalah zakat yang diwajibkan bersempena dengan bulan Ramadhan dan juga hari raya Fitrah (aidil-Fitr). Dinamakan juga dengan زكاة الابدان و زكاة الرأس (zakat badan dan kepala) kerana ia diwajibkan ke atas setiap batang tubuh orang Islam tanpa kecuali sama ada kecil atau besar, tua atau muda, lelaki atau wanita, miskin atau kaya, merdeka atau hamba.
Zakat fitrah difardhukan pada tahun ke dua hijrah ketika difardhukan puasa Ramadhan.
Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi setiap orang Islam yang hidup di dalam bulan Ramadhan ini seperti hadith yang diriwayatkan oleh ibnu Umar RA, sabda Nabi Sallahualaihiwasallam:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ .
Maksudnya: sesungguhnya Rasulullah Sallahualaihiwasallam telah mewajibkan zakat fitrah pada buan Ramadhan ke atas setiap manusia sebanyak satu gantang dari tamar dan gantang gandum (makanan asasi) bagi setiap yang merdeka atau hamba lelaki mahupun perempuan. Riwayat Imam Muslim, (984)
Juga hadith yang berikut:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ. (رواه أبو داود
Dari Ibn Abbas r.a., katanya: "Rasulullah Sallahualaihiwasallam telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang maqbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain. "Riwayat Abu Daud(1609)
Firman Allah Subhanahuwata'ala,
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya:"Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah beserta orang-orang yang ruku'. Al-Baqarah Ayat 43
Bilakah waktu wajib mengeluarkan zakat fitrah?
Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar r.a. menceritakan;
أَنَّ النَّبـِيَّ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بـِزَكَاةِ الْفِطْرِ، قَبْلَ خُرُوْجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ
Maksudnya:“Rasulullah Sallahualaihiwasallam menyuruh supaya dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (hari raya)”. Riwayat Imam Bukhari.
Zakat Fitrah telah ditetapkan kadarnya, wajib dikeluarkan ketika matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat yang ditetapkan, bagi setiap mukallaf dan orang yang dibawah tanggungan nafkahnya. (Lihat: al-Muktamad fi alfiqh al-Syafi’e, 95)
Para ulama Syafi’iyah telah memberikan ketentuan bahawa seseorang itu wajib membayar zakat fitrah apabila ia menemui dua waktu wajibnya zakat fitrah:
1- Hari terakhir dari bulan Ramadhan atau sebelum terbenamnya matahari di akhir Ramadhan dan
2- Awal bulan Syawal, yakni setelah terbenamnya matahari lepas akhir Ramadhan.
Dua waktu itu harus dijumpai. Bila salah satu dari dua waktu itu tidak sempat ditemui, maka gugurlah kewajiban membayar zakat fitrah bagi seseorang itu.
Hal ini seperti yang dijelaskan :
الثاني: أن يدرك وقت وجوبها الذي هو آخر جزء من رمضان وأوّل جزء من شوال، فتخرج عمن مات بعد الغروب وعمن ولد قبله ولو بلحظة دون من مات قبله ودون من ولد بعده
Maksudnya: “Syarat kedua, menemukan waktu wajibnya zakat fitrah, yakni akhir bahagian dari Ramadhan dan awal bahagian dari Syawal. Maka wajib dikeluarkan zakat atas orang yang meninggal setelah terbenamnya matahari (di hari akhir Ramadhan) dan atas bayi yang lahir sebelum terbenamnya matahari, meskipun dengan jarak yang sebentar. Tidak dikeluarkan zakat bagi orang yang mati sebelum terbenamnya matahari (di hari akhir Ramadhan) dan bayi yang lahir setelah terbenamnya matahari” (Rujuk:Syekh Muhammad Nawawi al-Bantani, Nihayah az-Zain, hal. 174)
Maka bagi orang yang tidak menemui salah satu dari dua masa tersebut;
Contoh:
Seperti orang yang meninggal di bulan Ramadhan, atau bayi yang lahir pada malam takbir (malam Idul Fitri) maka tidak wajib bagi mereka zakat fitrah.
Penjelasan yang sama juga terdapat dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala al-Madzhab al-Imam as-Syafi’i berikut:
الثاني- غروب شمس آخر يوم من رمضان: فمن مات بعد غروب ذلك اليوم، وجبت زكاة الفطر عنه، سواء مات بعد أن تمكن من إخراجها، أم مات قبله، بخلاف من ولد بعده. ومن مات قبل غروب شمسه لم تجب في حقه، بخلاف من ولد قبله
Maksudnya:“Syarat kedua adalah terbenamnya matahari di akhir hari dari Ramadhan. Maka orang yang meninggal setelah terbenamnya matahari pada hari tersebut, maka wajib zakat fitrah atas dirinya. Baik ia meninggal setelah mampu untuk mengeluarkan zakat atau sebelum mampu. Berzeda hukumnya bagi bayi yang lahir setelah terbenamnya matahari. Sedangkan orang yang meninggal sebelum terbenamnya matahari (di hari akhir Ramadhan) maka tidak wajib zakat bagi dirinya, berzeda hukumnya bagi bayi yang lahir sebelum terbenamnya matahari” ”
(Rujuk: Dr. Musthafa Said al-Khin dan Dr. Musthafa al-Bugha, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala al-Madzhab al-Imam as-Syafi’i, juz 1, hal. 150)
Justeru itu, jika seseorang itu mempercepat (ta’jil) pembayaran zakat di awal Ramadhan, kemudian ketika pertengahan Ramadhan ia meninggal, maka harta yang dikeluarkan atas nama zakat tersebut hakikatnya bukanlah zakat, tapi adalah sedekah, sebab ia tidak membayar zakat pada salah satu dari masa yang diwajibkan untuk membayar zakat, (yakni diawal Syawal- Maksud awal syawal adalah terbenam matahari/maghrib hari terakhir Ramadhan).
Penjelasan ini seperti dijelaskan dalam kitab al-Muhtaj ala Syarh al-Minhaj:
فلو مات المالك أو تلف المال أو بيع لم يقع المعجل زكاة
Maksudnya:“Jika orang yang memiliki harta meninggal atau harta yang dizakati rosak atau hartanya dijual (dalam kes zakat harta), maka benda yang dipercepat atas nama zakat tidak berstatus sebagai zakat” (Rujuk:Syekh Rajab Nawawi, Dalil al-Muhtaj ala Syarh al-Minhaj, Juz 1, Hal. 290)
Maka dengan demikian dapat disimpulkan bahawa orang yang meninggal di dalam bulan Ramadhan, tidak wajib baginya membayar zakat. Namun jika dia telah menunaikannya semasa masih hidup, maka ia tetap mendapat pahala dari pemberiannya itu, tapi dalam status sedekah, bukan zakat fitrah. Ini kerana kewajipan untuk mengeluarkan zakat adalah ketika matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan,
Waktu harus membayar zakat fitrah
Waktu wajib mengeluarkan zakat fitrah telsh dinyatakan pada perbincangan di atas dan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. menceritakan;
أَنَّ النَّبـِيَّ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بـِزَكَاةِ الْفِطْرِ، قَبْلَ خُرُوْجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ
“Rasulullah Sallahualaihiwasallam menyuruh supaya dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (hari raya)”. Riwayat Imam Bukhari.
Namun begitu Zakat fitrah harus dibayar lebih awal dari masa tersebut, ini berdasarkan kepada amalan para sahabat,dalam sebuah riwayat diterangkan bahawa:
وَكَانُوا يُعْطُونَ قَبْلَ الْفِطْرِ بِيَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ.
Maksudnya:"(Para sahabat) biasa membayar zakat fitrah sehari atau dua hari sebelum Aidil Fitri". Riwayat Bukhari (1511) (Kitab al-Zakat, Bab sedekah fitrah diwajibkan atas orang merdeka dan hamba)
Dalam hal ini terdapat Perbezaan Pendapat dari kalangan Fuqaha’:
i-Menurut mazhab Hanafi; ia boleh dibayar mulai awal tahun berkenaan lagi.
ii-senentara mazhab Malik; pembayaran sah dilakukan dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari raya.
iii-Dalam mazhab Syafiie; zakat fitrah boleh dibayar seawal bermula bulan Ramadhan lagi.
iv-Sebahagian ulama’ mazhab Ahmad berpandangan; harus pembayaran dibuat setengah bulan (15 hari) sebelum hari-raya.
(Rujuk: Pengurusan Zakat, Mahmood Zuhdi, hlm. 401)
Waktu paling afdhal mengeluarkan zakat fitrah ialah pada pagi hari raya sebelum ditunaikan solat hari hara.
Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar r.a. menceritakan;
أَنَّ النَّبـِيَّ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بـِزَكَاةِ الْفِطْرِ، قَبْلَ خُرُوْجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ
“Rasulullah Sallahualaihiwasallam menyuruh supaya dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (hari raya)”. Riwayat Imam Bukhari.
Adapun melewatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas solat hari raya, hukumnya adalah makruh. Hukum ini berterusan hingga terbenamnya matahari. Jika dilewatkan lagi hingga selepas terbenam matahari, maka hukumnya adalah haram dan berdosa. Dalam satu hadis yang disampaikan oleh Ibnu ‘Abbas r.a. ada dinyatakan;
فَمَنْ أَدَّاها قبلَ الصَّلاة فهيَ زكاةٌ مَقْبُولةٌ، ومَنْ أَدَّاها بَعْد الصَّلاة فَهي صَدقةٌ مَن الصَّدقات
“…Maka sesiapa menunaikannya sebelum solat hari raya, ia adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, ia adalah sedekah biasa”. (Riwayat Ibnu Majah)
Keatas siapakah diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah?
Zakat fitrah diwajibkan ke atas dirinya sendiri, setiap orang yang wajib diberi nafkah. Mereka itu termasuklah daripada isterinya, usul dan furu’ (keturunannya) dari lelaki atau perempuan dengan syarat mereka ini tergolong dalam golongan fakir miskin. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-kuwaitiyah, 23/339).
Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah RA sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam:
خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ
Maksudnya: Sebaik-baik sedekah adalah selepas mencukupi keperluan, dan mulailah daripada orang-orang yang berada dibawah tanggunganmu
Riwayat Imam Bukhari (1426)
Juga hadith berikut,
أَنَّ النَبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ عَلَى الصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى مِمَّنْ تَمُونُونَ
Maksudnya:"Sesungguhnya Nabi Sallahu'alaihiwasallam mewajibkan zakat fitrah ke atas anak kecil dan orang dewasa, lelaki dan wanita, dari orang-orang yang kalian tanggung nafkah hidupnya". Riwayat al-Daraquthni dalam Sunannya, hadis no: 2052 (Kitab Zakat al-Fitri)
Justeru itu zakat fitrah wajib dikeluarkan oleh mereka yang diwajibkan nafkah ke atasnya sama ada disebabkan pernikahan seperti isteri dan anak-anak, atau kaum kerabat seperti ibu, ayah dan saudara mara, atau disebabkan khidmat yang diberikan seperti hamba. Ini adalah berdasarkan kaedah:
كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ
Maksudnya: “Setiap yang diwajibkan kepadanya untuk diberikan nafkah, diwajibkan kepadanya untuk membayar zakat fitrah bagi mereka” Rujuk Taqrirat al-Sadidah - Qism Ibadah (Hal. 419).
Berkenaan dengan hukum mengeluarkan zakat bagi isteri yang telah diceraikan, Imam an-Nawawi Rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dengan berkata: “Wajib ke atas suami mengeluarkan zakat fitrah ke atas isteri yang diceraikannya dengan talak raj’ie dan talak ba’in, jika isteri tersebut sedang hamil seperti mana wajib ke atas suami tersebut memberi nafkah kepada mereka. Adapun isteri yang diceraikan dengan talak ba’in dan tidak hamil, maka tidak wajib ke atas suami untuk membayar zakat fitrah ke atasnya”. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/117).
Berkenaan dengan isteri yang sedang nusyuz sehingga terbenamnya matahari pada malam hari raya Eidulfitri, maka hukumnya adalah tidak wajib ke atas suaminya untuk mengeluarkan zakat fitrah kepada isteri tersebut kerana tidak wajib kepada suaminya untuk memberikan nafkah disaat isterinya sedang nusyuz kepadanya. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/114), al-Hawi al-Kabir (4/386), al-Anwar li A’mal al-Abrar (1/206), al-Mu’tamad fi Fiqh asy-Syafi’e (2/97)
Apakah syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah?
Syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah adalah:
1-Al-Islam, diwajibkan juga kepada orang yang murtad selepas ia memeluk islam.
2-Waktu, sesungguhnya telah ditetapkan waktu diwajibkannya. Iaitu ketika terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadhan.
3-Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya kemampuannya itu selepas waktunya maka tidak diwajibkan (Lihat: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/98)
Zakat Fitrah(Jenis harta yang sah dikeluarkan zakat, kadar wajib)
Zakat fitrah wajib dikeluarkan daripada makanan asas penduduk setempat dalam suatu negeri atau negara. Pada zaman Nabi Sallallahu'alaihiwasallam makanan asas ialah kurma, anggur kering(kismis), gandum, keju dan barli. Justeru itu, zakat fitrah dikeluarkan berasaskan makanan-makanan tersebut sebagaimana diceritakan oleh Abu Sa'id sl-Khudri ra.,
عَنْ عِيَاضِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي سَرْحٍ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ يَقُولُا
كُنَّا نُخْرِجُ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ أَقِطٍ أَوْ صَاعًا مِنْ زَبِيبٍ
Maksudnya:"Dari Iyadl bin Abdullah bin Sa'd bin Abu Sarh bahwa ia mendengar Abu Sa'id Al Khudri berkata; "Kami membayar zakat fithri berupa satu sha' gandum atau barli atau kurma atau satu sha' keju atau anggur kering". Riwayat Muslim(1640)
Bagi penduduk di negara seperti Malaysia ialah beras.
Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dikeluarkan?
Kadar yang wajib dikeluarkan ialah satu al-Sha'(الصَّاع ) atau satu gantang baghdad yang menyamai timbangan hari ini kira-kira 2750 gram atau 2.75 kg. Ini mengikut timbangan gandum. Adapun mengikut timbangan beras, satu gantang baghdad menyamai 2600 gram atau 2.6kg.
Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ibnu Umar RA, sabda Nabi Sallahualaihiwasallam:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ .
Maksudnya: sesungguhnya Rasulullah Sallahual'aihiwasallam telah mewajibkan zakat fitrah pada buan Ramadhan ke atas setiap manusia sebanyak satu gantang dari tamar dan gantang gandum (makanan asasi) bagi setiap yang merdeka atau hamba lelaki mahupun perempuan. Riwayat Muslim, (984)
Seelok-eloknya tatkala mengeluarkan zakat fitrah itu hendaklah dilebihkan sedikit daripada kadar segantang yang diwajibkan itu kerana ada kemungkinan makanan yang kita keluarkan itu terdapat tanah, jerami atau seumpamanya di dalamnya yang boleh mengurangkan kadar yang patut dikeluarkan.
Mengeluarkan Zakat Fitrah dengan wang:
Mengikut mazhab al-Syafi'i , Malik dan Ahmad
Zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan asas setempat. Justeru itu tidak harus dikeluarkan dalam bentuk wang sekalipun yang seharga dengan makanan yang wajib dikeluarkan zakat itu.
2- Menurut mazhab Hanafi
Harus mengeluarkan zakat fitrah dengan wang yang senilai dengan harga satu gantang makanan asas jika itu lebih memberi munafaat kepada fakir atau miskin. Pandangan mazhab Hanafi ditarjihkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh zakatnya.
Masalah ini juga dihuraikan dalam kitab "Al-Syarah" seperti berikut:
Berfitrah dengan wang:
(a) Membayar fitrah dengan wang adalah tidak sah mengikut mazhab Syafi'i jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan: "Wang ini untuk fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku". Tetapi harus digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: "Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku - pada tahun ini."
(b) Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah harus dalam mazhab Syafi'i tetapi lebih afdhal dengan makanan. Di dalam mazhab Hanafi pula lebih afdhal dengan harga daripada makanan.
Dalam mazhab Syafi'i yang mengharuskan ialah:
(1) Kerana darurat.
(2) Kerana diperintahkan oleh raja(pemerintah)
Rujuk:kitab Al-Itharah
Menurut kitab Al-Itharah (hlm. 5), bahawa keterangan mazhab Syafi'i yang tersebut ada dinyatakan dalam kitab (Al-Majmu') Syarah al-Muhazzab (5:431) dan keterangan mengenai mazhab Hanafi yang mengatakan: Tiap-tiap benda yang harus disedekahkan maka haruslah dikeluarkan menjadi bayaran ganti zakat - ada disebutkan dalam kitab Al-Majmu' (5:429).
Dalam kitab Al-Itharah juga (hlm. 5) ada menyebutkan keterangan kitab Al-Majmu' (5:429) bahawa dalil pihak yang mengharuskan zakat fitrah dengan harganya ialah hadith yang disebutkan oleh Imam Bukhari, rahimahullah dengan tegas sebagai ulasan, bahawa Saiyidina Muaz r.a., semasa diutuskan oleh Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam ke negeri Yaman sebagai pemungut zakat, ia telah meminta mereka membayar zakat dengan kain keluaran negeri itu sebagai ganti gandum, (kerana cara yang demikian katanya, bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar-pembayar zakat bahkan orang-orang miskin yang berhak menerima zakat di Madinah juga memerlukan pakaian).
(c) Pemerintah menghukumkan berfitrah dengan wang itu kerana beberapa sebab yang bertujuan baik, di antaranya:
(1) Asnaf yang lapan terutama fakir dan miskin lebih suka menerima wang daripada beras.
(2) Menyimpan wang lebih selamat, sedang beras selain daripada menyusahkan pihak pemerintah, pejabat agama dan memerlukan upah mengangkutnya - akan rosak jika disimpan lama." Rujuk: kitab Al-Itharah (Bab Zakat)
Apakah hukum menunaikan zakat fitrah keatas orang lain (ajnabi) yang bukan tanggungan?
Menurut Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan tidak diharus bagi seseorang itu menunaikan zakat fitrah kepada orang lain (ajnabi) melainkan mendapat keizinannya. Serta tidak sah sekiranya ia menunaikannya tanpa mendapat keizinan. Ini kerana zakat fitrah itu ibadah dan tidak akan tertunai melainkan mendapat keizinan daripadanya. Namun sekiranya mendapat keizinan maka tertunailah zakat fitrahnya. (Lihat: al-Muktamad fi alfiqh al-Syafi’e, 2/102)
No comments:
Post a Comment