Tuesday, May 19, 2020

Ramadhan hampir ke penghujungnya dan usaha mengekalkan momentum Ibrah Ramadhan dalam diri.

Ramadhan hampir ke penghujungnya dan usaha mengekalkan  momentum Ibrah Ramadhan dalam diri.

Selama hampir sebulan, seluruh umat muslim di penjuru dunia telah melaksanakan ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Dalam tidak sedar ramadhan dah pun berada di penghujungnya. Ini bermakna akan tamatlah satu bulan yang penuh barakah, bulan gandaan pahala pada setiap ibadah yang dilakukan dan juga tersedia ruang pengampunan di dalamnya serta bulan tawaran syurga dan pembebasan dari neraka. Maka sudah tentu hal ini membuatkan sebahagian besar umat muslim bersedih.

Beberapa hari lagi maka gema takbir akan berkumandang bagi mengagungkan Allah Subhanahuwata'ala, sebagai tanda syukur di atas segala kurniaan nikmat yang diberikan kepada kita.

Semuanya berharap agar boleh bertemu kembali dengan bulan penuh rahmat ini di tahun yang mendatang. Selain itu juga sudah tentu setiap muslim berharap agar amal ibadah yang telah dilakukan di bulan ini diterima oleh Allah Subhanahuwata'ala.

Disamping itu juga kita melafazkan rasa syukur di atas keizinan yang diberikan oleh Allah untuk kita menyempurnakan ibadah puasa pada tahun ini dengan jayanya.

Namun pernahkah kita termenung seketika, memikirkan sejauh mana kesempatan yang kita ambil dalam bulan ramadhan kali ini. Adakah rutin seharian kita dibulan yang mulia ini sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain, atau lebih buruk lagi perjalanan kehidupan kita berbanding dengan bulan-bulan yang lain?

Pengklasifikasian yang sangat cantik telah Allah hadiahkan kepada hamba-Nya di dalam bulan ini, sebagai satu medan untuk mentarbiyah dan memperkasakan lagi iman hamba-Nya. Pentarbiyahan itu berlaku di dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan rahmat, pengampunan serta pembebasan dari api Neraka. Untuk itu, sepatutnya kita sebagai umat Islam perlulah bersungguh-sungguh memperkasakan Iman Kita apabila berada di dalam bulan ini dan juga di dalam bulan-bulan yang lain.

Sejauh manakah persiapan persenjataan iman kita untuk menangkis segala peluru hasutan yang jahat dibulan yang mana syaitan mahupun iblis tidak dibelenggu. Bayangkan jika sekiranya di medan pertempuran,tentera Islam tidak mengambil kesempatan untuk memperkukuhkan kekuatan mereka disaat kelalaian tentera musuh. Maka amat malanglah bagi kita apabila disaat tentera musuh kembali sedar,mereka akan menyerang bertubi-bertubi ke arah tentera kita.

Begitulah halnya yang boleh kita misalkan di dalam bulan ramadhan ini. Syaitan dan iblis dibelenggu daripada terus menghasut anak adam di bulan ramadhan supaya memberi peluang kepada anak-anak adam untuk menyucikan hati dan memperkukuhkan lagi iman mereka yang sedia ada. Ini berdasarkan daripada hadith dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ، وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
Riwayat al-Bukhari (1899)

Keterangan maksud syaitan-syaitan ( الشَّيَاطِينُ );

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: “...Berdasarkan sebahagian pandangan, yang dimaksudkan syaitan dalam hadith ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang (bukan semua syaitan). Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Sahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim... (sebagaimana di atas).” (Lihat Fath al-Bari, 4/114)

Dalam Sahih Ibn Khuzaimah yang dinamakan:

بَابُ ذِكْرِ الْبَيَانِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا أَرَادَ بِقَوْلِهِ: «وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ» مَرَدَةُ الْجِنِّ مِنْهُمْ، لَا جَمِيعَ الشَّيَاطِينِ «إِذِ اسْمُ الشَّيَاطِينِ قَدْ يَقَعُ عَلَى بَعْضِهِمْ

Maksudnya: “Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam: ‘Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan (الشَّيَاطِينُ) adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.” (Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, 1/188)

Ketika Iblis berikrar mahu merosakkan manusia, 

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Maksudnya:"Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya". Sad ayat 82

Iblis mengakui bahawa jati diri orang-orang beriman menyukarkan agendanya menghasut mereka. Firman Allah:

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

Maksudnya:"“(Semua akan terdedah dihasut) kecuali dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang terpilih(mukhlis)”.Sad ayat 83.

Golongan yang terpilih itu menurut Imam al-Tabari, ialah mereka yang memiliki kualiti ketekunan yang tinggi dalam melakukan ibadat. Sekali gus tidak menjadikan syaitan sebagai pemandu kepada jalan hidupnya.

Apa yang dibimbangkan adalah, kita tetap terbiasa melakukan dosa kejahatan walaupun di bulan Ramadhan. Kejahatan yang telah sebati mendarah daging itulah, yang membimbangkan kita.

Justeru itu bagi mengakhiri Ramadhan yang mulia ini, juga agar tarbiyah Ramadhan dan puasa memberi bekas ke dalam jiwa kita dan moga Allah Subhanahuwata'ala sentiasa membimbing kita ke jalan hidayah-Nya  serta mamatikan kita dengan husnul khatimah serta memasukkan kita ke dalam syurga Firdaus-Nya, 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الفِرْدَوْسَ

Maksudnya: “Apabila kamu memohon syurga kepada Allah, maka mohonlah al-Firdaus.” Riwayat al-Bukhari (7423)

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ ۙ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya:'(yaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): "Salaamun'alaikum, masuklah kamu ke dalam surga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan". Al-Nahl ayat 32

Maka marilah kita:

1- Melazimi Taubat dan Istighfar

Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengampun, Maha Penyayang dan Maha Pengasih memang sentiasa menerima taubat hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dalam bertaubat dengan menyesali segala dosa-dosa dan maksiat yang telah dilakukan sebagaimana Firman-Nya:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعاً إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya:"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." 
Al-Zumar ayat 53

Allah Subhanahuwata'ala berfirman:

اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّاراً

Maksudnya: Beristighfarlah kamu semua kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia itu Maha Pengampun. Surah Nuh ayat 10.

Allah Subhanahuwata'ala bersifat dengan sifat al-Ghaffar (Maha Pengampun) dan kerana itulah Dia akan mengampuni mereka-mereka yang bertaubat.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَالّلهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. Riwayat al-Bukhari (6307)

Demikian menunjukkan akan pentingnya istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Terdapat juga hadith yang menceritakan berkaitan Penghulu Istighfar atau ia dinamakan sebagai Sayyid al-Istighfar.

Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. Riwayat al-Bukhari (6306)

2- Melazimi memperbanyakkan Doa

Selain dari melazimi memperbanyakkan istigfar dan taubat, seseorang itu juga dituntut untuk memperbanyakkan doa. Allah Subhanahuwata'ala dengan sifat kemurahan-Nya, menjadilan doa sebagai ibadah dan juga menyuruh kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya. Dia membuka pintu doa kepada kita, supaya Kita  minta apa sahaja yang kita hendak (asalkan dalam hal yang diharuskan oleh syariat)

Diantara doa mathsur dari Nabi Sallahu'alaihiwasallam adalah doa supaya dirinya kekal dalam keadaan yang tetap di atas agama Allah Subhanahuwata'ala dan kepatuhan pada-Nya. Ini sebagaimana sebuah doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam dengan sabdanya:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ 

Maksudnya: Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.
Riwayat Al-Tirmizi (3522)

Doa di atas ini disifatkan oleh Ummul Mu’minin Ummu Salamah R.anha sebagai doa yang paling banyak dibaca oleh Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. Ini kerana, hati manusia itu senantiasa berbolak balik dan sering terpengaruh dengan hasutan dan bisikan syaitan. Hanya dengan meminta bantuan dan pertolongan Allah Sallahu'alaihiwasallam sahajalah yang dapat menetapkan diri kita ini di atas agama-Nya serta  teguh dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya untuk menjauhi perbuatan dosa dan maksiat.

3- Berkawan Dengan Sahabat Yang Baik

Tidak dinafikan bahawa faktor dengan siapa seseorang itu berkawan turut menjadi penyumbang terhadap baik atau buruknya perwatakan dirinya. Hal ini telah lama dahulu dijelaskan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.anh bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Maksudnya: Seseorang lelaki itu berada di atas agama sahabatnya. Maka hendaklah salah seseorang daripada kamu meneliti dengan siapa dia berkawan. Riwayat Al-Tirmizi (4833)

Perkataan دِينِ di dalam hadis tersebut pada zahirnya boleh diterjemahkan sebagai cara hidup. Bahkah makna tersebut adalah tepat kerana seseorang itu kebiasaannya akan mudah terpengaruh dengan cara hidup manusia yang berada di sekelilingnya dan termasuklah sahabat-sahabatnya. Jika seseorang itu berkawan dengan rakan-rakan yang baik lagi soleh, nescaya perwatakan dirinya akan jadi baik. Manakala seseorang yang memilih untuk berkawan dengan mereka yang buruk akhlaknya, ia pasti akan menatijahkan kesan negatif pada perwatakan diri sendiri akhirnya. Sambutlah seruan Allah Subhanahuwata'ala melalui firman-Nya yang berikut:

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

Maksudnya: Dan sabarkanlah dirimu bersama-sama dengan mereka yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang dengan mengharapkan redha daripada Allah.
Surah Al-Kahfi (28)

Berkata Imam al-Thabari Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Bersabarlah kamu wahai Muhammad agar bersama dengan para sahabatmu yang mana mereka itu sentiasa berzikir kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil, berdoa, serta melakukan amalan-amalan soleh seperti solat fardhu dan selainnya semata-mata mengharapkan wajah Allah Subhanahuwata'ala. dan tidak mengharapkan habuan dunia dari perbuatan tersebut. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (18/5).

Meskipun ayat di atas ditujukan kepada Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallsm namun mesej dan seruan tersebut turut terpakai kepada keseluruhan umat baginda Sallahu'alaihiwasallam. Ini kerana, ibrah (pengajaran) itu adalah pada keumuman lafaz dan bukan pada khususnya sebab tertentu sebagaimana yang disebutkan di dalam kaedah yang masyhur.

4- Melazimi solat berjamaah di Masjid

Solat jemaah dari segi syara’ bermaksud menyambungkan solat yang dilakukan dengan mengikut perbuatan imam. Ia merupakan satu syiar yang perlu dipertahankan dan ditunaikan oleh umat islam. Ia juga merupakan satu wasilah dan cara untuk memupuk mahabbah dan kasih sayang serta semangat tolong menolong antara sesama muslim.Ia adalah sunnah muakkadah dan makruh hukumnya meninggalkan solat berjemaah. Pensyariatan solat jemaah boleh dilihat melalui beberapa dalil daripada Al-Quran, hadih dan ijmak.

Firman Allah Subhanahuwata'ala :

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ

Maksudnya:” Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
Al-Nisa’ ayat 102

Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan :

“Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.”
Rujuk Mughni Al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj (1/350)

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya :” Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
Riwayat Muslim (1509)

Di dalam riwayat lain menyatakan :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

Maksudnya :” Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.” Riwayat Muslim (1504)

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/183)

Juga telah berlaku ijmak di kalangan para sahabat bahawa solat secara berjemaah adalah sangat dituntut. Khususnya setelah Nabi dan para sahabat berhijrah ke Madinah. (Rujuk Mughni Al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj, 1/350)

Namun begitu, solat berjemaah yang paling baik dan afdal adalah yang didirikan di masjid. Ini berdasarkan beberapa hadis Nabi Sallahu'alaihiwasallam yang sangat mengambil berat akan solat berjemaah yang dilakukan di masjid.Antaranya :

Daripada Abu Hurairah :

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِى الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Maksudnya :” Sesiapa yang pergi dan balik dari masjid, maka Allah akan menyediakan baginya tempat di syurga setiap kali dia pergi dan balik.”
Riwayat Muslim (1556)

Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda lagi di dalam sebuah hadis yang lain :

مَنْ تَطَهَّرَ فِى بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِىَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً

Maksudnya :” Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju ke salah satu dari rumah-rumah Allah (masjid) untuk menunaikan solat yang telah difardukan oleh Allah, maka kedua-dua langkahan kakinya itu salah satunya menghapuskan dosa dan yang lain mengangkat darjat.” Riwayat Muslim (1553)

Nabi Sallahu'alaihiwasallam secara terang menyebut bahawa solat fardu secara berjemaah di masjid lebih baik dari solat berjemaah di rumah. Nabi SAW bersabda :

فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلَاةِ صَلَاةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الْمَكْتُوبَةَ

Maksudnya :” Wahai manusia solatlah (solat nafilah) di rumah kalian.Sesunggunya sebaik-baik solat sunat bagi seseorang adalah di rumahnya kecuali solat fardhu.” Riwayat Al-Bukhari (731)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani yang dimaksudkan adalah solat lima waktu perlu didirikan di masjid. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sohih al-Bukhari, 2/214)

5- Melazimi membaca al-Quran.

Allah Subhanahuwata'ala suka kepada hamba-Nya yang sentiasa membaca dan melazimi al-Quran.

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّـهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”. Fathir ayat 29

 Firman Allah Subhanahuwata'ala lagi:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”. al-Qamar ayat 17

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Maksudnya: “Dan bacalah Al-Quran dengan tartil (perlahan-lahan)”. Al-Muzzammil ayat 4

Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”. Riwayat Muslim (804)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Maksudnya: “Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”. Riwayat Muslim (2699)

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. Riwayat al-Tirmizi (2835)

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Maksudnya: “Dikatakan kepada pembaca al-Quran: Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membacanya di dunia. Sesungguhnya tempat kamu(di Syurga) adalah pada ayat terakhir yang kamu bacakannya”. [Riwayat Abu Daud (1464)]

Daripada Abi Musa RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَمَثَلُ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا

Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah Kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau”. Riwayat al-Bukhari (7560) dan Muslim (797)

6- Syukur terhadap segala nikmat Allah

Bersyukur adalah diperintahkan oleh Tuhan. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:

وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.
Surah al-Nahl ayat 114.

Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Hakikatnya menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/244)

Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya. (Lihat Hasyiyah al-Syabramalisi, 1/22)

Zahirkan kesyukuran terhadap nikmat Allah dengan:

i-Memuji Allah Subhanahuwata'ala di atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Ini sepertimana ungkapan Nabi Allah Sulaiman AS:

هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ

Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.”
Surah al-Naml ayat 40.

Allah Subhanahuwata'ala berfirman dalam Surah al-Dhuha:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya:"Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu sebut-sebutkan". Ad-Dhuha ayat 11

ii- Meakukanlah amalan-amalan sebagai satu bentuk dan tanda kesyukuran. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا

Maksudnya: "Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!". Surah Saba’ ayat 13.

iii- Bangun menunaikan solat malam.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi Sallahu'alaihiwasallam berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda Sallahu'alaihiwasallam: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah Subhanahuwata'ala telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda Sallahu'alaihiwasallam menjawab:

يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya: “Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.”
Riwayat al-Bukhari (4837

7- Melazimi berzikir

seorang muslim itu seharusnya melazimi dirinya dan lisannya dengan zikir-zikir yang boleh mengingatnya kepada Allah Subhanahuwata'ala walaupun di mana sahaja dia berada. Ini kerana, banyak kelebihan dan fadhilat yang akan diperolehi bagi orang yang sentiasa melazimi zikir ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran dan sunnah Nabi Sallahu'alaihiwasallam. Antaranya firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَالذَّاكِرِينَ اللَّـهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّـهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Dan orang-orang lelaki yang banyak berzikir dengan nama Allah serta orang-orang perempuan yang banyak berzikir dengan nama Allah, maka Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.” Al-Ahzab ayat 35

Di samping itu juga, di dalam hadith juga terdapat anjuran agar sentiasa melazimi zikir ini berdasarkan kepada riwayat Abi Musa RA:

Bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak berzikir kepada Tuhannya seperti orang yang hidup dan mati". Riwayat al-Bukhari (6407)

8- Melazimi berqiamullai dan bertahajjud

Bangun malam adalah merupakan kebiasaan bagi Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam dalam melakukan munajat, mengadu, dan meminta kepada Allah. Samada selain pada bulan ramadhan ataupun pada bulan ramadhan,  Namun pada ramadhan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam lebih bersunguh- sungguh dalam menghabiskan sisa-sisa malam. Dari sisi lain pula qiyamullail mempunyai unsur bersunyi-sunyian dan bermunajat dengan Allah Subhanahuwata’ala tanpa pembabitan manusia lain

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (Al-Isra’ ayat 79)

Firman Allah Subhanahuwata’ala pada ayat (فَتَهَجَّدْ بِهِ).  bermaksud berjagalah di waktu malam. Perkataan “الْهُجُودُ” membawa maksud tidur, manakala perkataan “التَّهَجُّدُ” adalah dalam wazan (timbangan kata) “تَفَعُّلٌ” yang membawa maksud mengusahakan perbuatan itu dan mensabitkannya sebagaimana asalnya.

Dari ‘Aisyah RaH,

أَنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَانَ يَنَامُ أَوَّلَ اللَّيْلِ ، وَيَقُومُ آخِرَهُ فَيُصَلِّي . مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ

Maksudnya:" Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam biasa tidur pada awal malam dan bangun pada akhir malam, lalu solat. (Riwayat Bukhari,1146 dan Muslim, 739)

Dari ‘Abdullah bin Salâm, Sabda Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ، أَفْشُوْا السَّلَامَ ، وَأَطْعِمُوْا الطَّعَامَ ، وَصِلُوْا الْأَرْحَامَ ، وَصَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ ، تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ . 

Maksudnya:"Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang-orang tertidur, nescaya kamu akan masuk Syurga dengan sejahtera.”
(Ririwayat at-Tirmidzi,2485; ad-Dârimi,I/340; Ibnu Majah,1334 dan 3251; al-Hâkim(III/13), Ahmad (V/451).

9- Keazaman untuk berubah kepada kebaikan

Kita telah melalui bulan yang mulia ini dengan berpuasa,berqiyam, membaca al-Quran, berbuat baik dan berbagai ibadah yang lain, ianya adalah titik permulaan untuk berhijrah menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelumnya

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Maksudnya:"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri".

Ayat yang lengkapnya,

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ

Maksudnya:"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia". Ar-Ra’d Ayat 11.







No comments:

Post a Comment

Fitrah Penuaan

Fitrah Penuaan Dalam bahasa Arab, terdapat istilah yang berbeza untuk merujuk kepada fasa-fasa dalam proses pembangunan manusia, dari baligh...