Wednesday, May 20, 2020

Hukum Makan Sahur ketika Azan Subuh dilaungkan dan apakah Fajar Sodiq? Konsep ihtiyat ( احتياط)

Hukum Makan Sahur ketika Azan Subuh dilaungkan dan apakah Fajar Sodiq?
Konsep ihtiyat (  احتياط)

Secara asasnya, tiada perselisihan dikalangan Fuqaha’ bahawa waktu berpuasa (menahan diri daripada makan dan minum) adalah bermula daripada terbitnya fajar sodiq hinggalah terbenamnya matahari. Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala yang disebut-Nya secara jelas:

وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِ‌ۖ ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِ‌ۚ

Maksudnya:"Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)". al-Baqarah ayat  187.

Juga dalil dari hadith Nabi Sallahu'alaihiwasallam yang menyebut:

فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّن اِبْن أُمّ مَكْتُوم , وَلَمْ يَكُنْ يُؤَذِّن إِلا بَعْد طُلُوع الْفَجْر

Maksudnya:“Makan dan minumlah hingga ummu maktum melaunkan azan, dan dia tidak akan melaunkan azan melainkan setelah terbitnya fajar”. Riwayat Bukhari (1918)

إِنَّ بِلاَلًا يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam maka makan dan minumlah sehingga diseru (azan) oleh Ibn Ummi Maktum”. Riwayat Muslim (1092)

Hadith ini menunjukkan bahawa dibolehkan azan subuh sebelum terbitnya fajar dan padanya juga dibolehkan makan, minum, bersetubuh dan lain-lain perkara sehingga terbitnya fajar. Di samping itu, hadith ini menunjukkan dibolehkan azan oleh orang yang buta. Tambahan pula, hadith ini menunjukkan bahawa disunatkan azan dua kali pada waktu subuh. Satunya diazan sebelum fajar dan satu lagi diazan selepas terbitnya fajar iaitu pada permulaan terbitnya fajar. [Lihat: al-Minhaj, 202/7]

Diantara pengajaran dari Hadith ini adalah pada zaman Nabi Sallahu'alaihiwasallam diazankan azan subuh dua kali.

Juga apabila saat terbitnya fajar sodiq, maka menjadi kewajipan bagi setiap muslim berpuasa dan jika di dalam mulutnya ada makanan hendaklah dia membuangnya. Apabila dia melanggar perkara ini maka akan terbatallah puasanya.

Justeru itu, bermula waktu Haram makan dan minum bagi orang yang berpuasa atau bermula waktu solat Subuh adalah apabila terbit Fajar sodiq bukan kerana azan.

Ini berdasarkan hadith, sabda Rasulullah ﷺ:

وَقْتُ صَلاَةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Waktu solat Subuh adalah dari terbit fajar selama matahari belum terbit.”          
Riwayat Muslim (612)

Apakah yang di maksudkan Fajar Sodiq?

Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam kitab al-Mufhim li ma Asykala min Talkhis Kitab Muslim menjelaskan: “Fajar itu ialah keluarnya belahan cahaya putih dari timur, ia dinamakan sedemikian kerana sifatnya yang memancar, yakni kerana sifatnya yang terdedah dan keluar, seperti mana memancarnya sungai. Ia memilki dua jenis yakni fajar kazib (dusta) yang dinamakan sebagai dzanb al-sarhan yakni suatu yang naik memanjang; dan fajar sadiq yakni yang bersifat seakan ombak yang merata (secara horizontal) di ufuk". 
Lihat: Al-Qurtubi, Abu al-`Abbas Ahmad bin `Umar bin Ibrahim (1996), Al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim. Beirut: Dar Ibn Kathir. Jld. 2, hlm. 239.

Persoalannya bagaimanakah seruan azan hendak dimulakan?

Seruan azah hendak dimulakan adalah dengan tiga cara:

i-Mengetahuinya dengan yakin, iaitu berpegang kepada dalil yang nyata seperti melihat matahari yang sedang ghurub.

ii-Ijtihad, iaitu berpegang kepada dalil yang kukuh yang mempunyai petunjuk tidak langsung seperti bayang-bayang atau dengan mengukur lama masa bekerja.

iii-Taqlid. Sekiranya tidak mungkin mengetahui masuk waktu dengan yakin atau ijtihad seperti tidak tahu tentang waktu-waktu solat dan dalil-dalilnya, dia hendaklah bertaqlid sama ada kepada orang yang mengetahuinya melalui dalil-dalil yang nyata atau kepada seseorang mujtahid yang berpegang kepada dalil-dalil yang kukuh. 
Lihat:Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha,‘Ali al-Syarbaji (2011) Al-fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Shafie,

Penentuan azan pada hari ini kebanyakkan melihat kepada kiraan jadual waktu solat yang ditentukan oleh ahli falak. Maka kiraan tersebut hanyalah berbentuk  الظن “sangkaan”, 

Keyakinan "اليقن” hanya wujud dengan melihat secara sendiri bahawa fajar tersebut telah terbit atau matahari sedang ghurub.

Namun begitu keyakinannya itu hendaklah berdiri atas dasar hujah yang jelas (ilmu), seperti kepakaran dia dalam menilai fajar sadiq serta dia mahir dalam melihat tanda-tanda bermulanya waktu subuh. Ini adalah selari dengan kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya:"Keyakinan tidak hilang semata-mata dengan syak".

Jadi “keyakinan” fajar belum terbit yang berdiri dengan ilmu tidak akan hilang dengan laungan azan subuh yang berdiri dengan الظن “sangkaan”.

Tetapi untuk orang yang tidak mempunyai pengetahuan atau kepakaran dalam hal ini maka baginya hendaklah merujuk berdasarkan penentuan waktu subuh oleh ahli falak iaitu melihat kepada jadual waktu solat(takwim). Kerana penentuan itu mempunyai hujah berbanding keraguannya yang tidak mempunyai sebarang hujah.

فَسۡـَٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Maksudnya:"Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.) Al-Nahl ayat 43

Ayat lengkapnya berbunyi;

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya:"Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui". Al-Nahl ayat 43

Oleh kerana azan pada zaman sekarang adalah berdasarkan sangkaan "الظن" kerana hanya melihat pada takwin waktu solat dan bukan berdasarkan keyakinan "اليقين" dengan melihat matahari sedang ghurub maka bolehkah makan dan minum Sahur waktu azan?

Jawabnya:
Tidak boleh makan Dan minum pada saat azan dilaungkan adalah satu bentuk tindakan berhati-hati atau berjaga-jaga (ihtiyat /  احتياط) yang dipuji oleh syarak itu sendiri. Perkara inilah yang banyak disarankan oleh kebanyakkan ulama kerana ianya lebih selamat.

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لا يَرِيبُكَ

Maksudnya:“Tinggalkan hal yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu.” Riwayat Tirmizi (2518) dan Al-Nasai (5714) 

Diantara faedah yang boleh dikutip dari hadith ini:

i- Hadith ini mengandung pelajaran agar kita diam terhadap perkara syubhat dan meninggalkannya. Kalau sesuatu yang halal tentu akan mendatangkan ketenangan, sedangkan sesuatu yang syubhat mendatangkan keragu-raguan. Lihat Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1:280.

ii- Bentuk wara’ adalah meninggalkan sesuatu yang ragu-ragu lalu mengambil yang tidak meragukan. Hal ini dikatakan oleh Abu ‘Abdirrahman Al-‘Umari, seorang yang terkenal zuhud. Hal ini dikatakan pula oleh Al-Fudhail, Hasan bin Abi Sinan. Lihat Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1:280.

iii- Dari sekelompok sahabat seperti Umar, Ibnu ‘Umar, Abu Ad-Darda’, dan Ibnu Mas’ud mengatakan, “Apa yang engkau inginkan dari hal yang masih meragukan padahal di sekelilingmu ada 4.000 hal yang tidak meragukan.” (Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1:280)

Definisi ihtiyat (  احتياط)

Ihtiyat pada sudut bahasa berasal dari perkataan arab iaitu احتاط yang berasal dari kata dasar  حوط yang bermaksud sesuatu yang meliputi sesuatu yang lain. (Rujuk: Lisan al-Arab, 7/279)

Manakala pada sudut istilah pula terdapat beberapa takrif Ihtiyat yang diberikan oleh para Ulama’ dan pengkaji, antaranya:

Ibnu Hazim menyebut “Ihtiyat ialah tidak mengharamkan sesuatu apa yang tidak diharamkan oleh Allah Subhanahuwata'ala dan tidak menghalalkan sesuatu melainkan apa yang dihalalkan oleh Allah Subhanahuwata'ala". (Rujuk: Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, 2/189)

Al-Jurjani menyebut “Ihitiyat ialah menjaga diri dari terjatuh dalam perkara yang haram dan berdosa”. (Rujuk: Al-Ta’rifat, hlm. 14)

Asal Usul Kaedah Ihtiyat

Terdapat asal bagi kaedah Ihtiyat yang diambil daripada al-Quran dan hadith Nabi Sallahu'alaihiwasallam antaranya ialah:

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa” Surah al-Hujurat ayat 12.

Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam.:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas. Dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhat (samar, belum jelas) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Maka barangsiapa yang menjaga (dirinya) dari syubhat, ia telah berlepas diri (demi keselamatan) agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang terjerumus ke dalam syubhat, ia pun terjerumus ke dalam (hal-hal yang) haram. Bagaikan seorang penggembala yang menggembalakan hewan ternaknya di sekitar kawasan terlarang, maka hampir-hampir (dikhawatirkan) akan memasukinya. Ketahuilah, sesungguhnya setiap penguasa (raja) memiliki kawasan terlarang. Ketahuilah, sesungguhnya kawasan terlarang Allah adalah hal-hal yang diharamkanNya” Riwayat Muslim (1599)

Kaitannya dengan Istilah atau Kaedah Fiqh:

Ihtiyat juga mempunya kaitan yang rapat dengan kaedah-kaedah Fiqh yang lain. Dalam erti kata lain, kefahaman dan aplikasi ihtiyat itu sendiri terkandung dalam istilah atau kaedah-kaedah berikut. Antaranya ialah:

1- Sad Zari’ah (سد الذريعة) – Beramal dengan Ihtiyat dapat menutup jalan-jalan yang membawa kepada perkara haram.
2- “Suatu kewajipan yang tidak sempurna malainkan dengannya maka ia juga wajib” (ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب) – Ini merupakan Ihtiyat yang wajib dilakukan.
3- “Keluar Dari Khilaf itu Lebih Utama” (الخروج من الخلاف أولى) – Ihtiyat sebagai jalan penyelesaian bagi khilaf yang berlaku dalam kalangan para ulama’. Ia berlaku dengan memilih jalan yang selamat dan tiada khilaf dalam kalangan ulama’ berkenaan hukum tersebut.
4- Warak – Ialah menjauhkan diri perkara syubhah kerana takut terjatuh dalam perkara yang haram (Rujuk: Al-Ta’rifat, hlm. 325). Makna warak itu sendiri sangat hampir dengan ihtiyat serta beramal dengannya adalah sunat dan digalakkan.

Para ulama’ meletakkan beberapa garis panduan untuk beramal dengan ihtiyat ini. Hal ini disebabkan jika kita tidak dipandu maka boleh membawa kepada ghuluw (berlebih-lebihan dalam beragama) dan perkara ini ditegah dalam Islam. Sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam

وَإِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Waspadalah kalian dari sikap ghuluw (berlebih-lebihan) dalam beragama, kerana sesungguhnya yang membinasakan umat-umat sebelum kalian adalah ghuluw dalam beragama”.
Riwayat al-Nasaie (3057)

Berdasarkan nas dari al-Quran dan hadith Nabi Sallahu'alaihiwasallam dan serta kaedah-kaedah umum usul fiqh yang lain, maka para ulama' menetapkan beberapa garis panduan  untuk beramal dengan Ihtiyat berikut:

i- Pertama: Kuat syubhah pada masalah tersebut.
ii- Kedua: Beramal dengannya tidak membawa kepada masyaqqah (kesusahan).
iii- Ketiga: Hendaklah tidak bertentangan dengan Nas.
iv - Keempat: Menepati maqasid (tujuan) sesuatu hukum tersebut.

Diantara contoh pengamalan kaedah ihtiyat ialah pada hal:
i- Melebihkan basuhan wuduk yang wajib.
ii- Penetapan Waktu Imsak Bagi Waktu Sahur 
dan sebagainya.

Timbul pula persoalan;
Berkaitan adanya hadith yang menjadi hujah dibenarkan makan saat azan dilaungkan.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ، فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendengar seruan (azan) dan bekas berada di tangan kamu, maka janganlah kamu meletaknya (bekas) sehingga sempurna hajatnya daripada itu”. [Riwayat Abu Daud (2350)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menghukum hadith sebagai sahih]

Imam al-Nawawi menyebut berkenaan hadith ini di dalam kitab al-Majmuk bahawa yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah azan yang pertama. Beliau meriwayatkan bahawa al-Baihaqi pernah menyebut berkeaan hadith ini dengan mengatakan:

وهذا إن صح محمول عند عوام أهل العلم على أنه صلى الله عليه وسلم علم أنه ينادي قبل طلوع الفجر بحيث يقع شربه قبيل طلوع الفجر

Maksudnya:"Hadith ini kabanyakkan ulama menafsirkan bahawa Baginda Sallahu'alaihiwasallam mengetahui bahawa azan yang berkemundang saat itu adalah azan sebelum terbit fajar (azan yang pertama) maka minuman tersebut adalah sebelum terbit fajar".

Justeru itu, hadith ini berbicara dalam konteks “imsak” iaitu satu tempoh berhati-hati sebelum terbitnya fajar sodiq, bukanlah berbicara pada konteks setelah terbitnya fajar. Kalaulah ianya membawa maksud perkara tersebut maka akan berlaku pertembungan antara ayat Quran dan Hadith dinyatakan sebelum ini yang telah sebut secara jelas akan keharaman makan dan minum saat fajar telah terbit.

Juga ada disebut suatu ketetapan di dalam mazhab al-Syafie, sesiapa yang makan dalam keadaan dia tidak yakin (الظن) bahawa fajar telah masuk sedang pada waktu itu fajar telah masuk atau dia menyangka bahawa matahari sudah terbenam sedangkan hakikatnya belum lagi terbenam maka dia berbuka, wajib baginya untuk qadha’ kerana dikira melebihi had dan Umar RA memerintahkan untuk berpuasa sehari pada tempat yang dia berbuka itu". [Lihat: al-Muktamad, 181/2]

Maka kesimpulannya, bagi seorang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya perlulah berhenti sebelum azan subuh dilaungkan bagi mengambil langkah berhati-hati.

No comments:

Post a Comment

Fitrah Penuaan

Fitrah Penuaan Dalam bahasa Arab, terdapat istilah yang berbeza untuk merujuk kepada fasa-fasa dalam proses pembangunan manusia, dari baligh...