Wednesday, April 1, 2020

Pengurusan Wang Tabung Masjid terhadap Sumber Tabarru’ (تبرع)

Pengurusan Wang Tabung Masjid terhadap Sumber Tabarru’ (تبرع)

Pihak pengurusan masjid dan surau adalah diberi amanah sebagai waliyyul amri untukk menjalankan tanggungjawab yang ditaklifkan kepada mereka dengan memberikan maslahah yang terbaik kepada para jemaah mereka. 

Pihak pengurusan masjid dan surau adalah  badan berautoriti yang khusus dan diberi kuasa dalam melakukan timbang tara yang terbaik dalam usaha memberikan maslahah kepada semua pihak, dan menolak sebarang mafsadah kepada mana-mana pihak. Ini bertepatan dengan satu kaedah fekah:

 تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة

Maksudnya: "Tasarruf (pengurusan atau tindak tanduk) pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah".

Justeru itu, marilah kita sama-sama merenungi dan menghayati firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk menyerahkan amanah-amanah itu kepada ahlinya. Dan apabila kamu berhukum sesama manusia, hendaklah kamu berhukum dengan penuh keadilan. Surah Al-Nisa’ (58)

Sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat sempurna. Segala sistem dan peraturannya adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan hidup manusia. Peraturan-peraturan Islam selari dengan fitrah kejadian manusia. Secara fitrahnya manusia sangat sukakan harta, maka Islam telah meletakkan panduan yang jelas kepada manusia dalam hal-hal berkaitan harta agar harta tersebut memberikan kebaikan kepadanya.Dalam Islam, manusia tidak memiliki harta tersebut secara mutlak, bahkan harta tersebut adalah sebagai amanah Allah untuk diatur dan disalurkan dengan cara yang diredhaiNya dan diantaranya adalah dengan ber " Tabarru’ (تبرع)".

Tabarru’ adalah diantara amalan soleh yang sangat digalakkan oleh Islam. Disamping sedekah wajib yang dikenali sebagai zakat, amalan-amalan sedekah sunnat ini mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Islam. Islam menggalakkan semangat tolong-menolong dan berkasih sayang diantara satu sama lain, justeru amalan bersedekah atau tabarru’ ini sangat tinggi nilainya di sisi Islam kerana ianya adalah asas kepada wujudnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Oleh kerana itulah banyak dalil yang menyokong perkara ini,antaranya

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِمَّا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ يَوْمٌ لَا بَيْعٌ فِيهِ وَلَا خُلَّةٌ وَلَا شَفَاعَةٌ ۗ وَالْكَافِرُونَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi syafa'at. Dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim..” (Surah al-Baqarah:254)

Tabarru’ (تبرع) merupakan perkataan Arab yang menerangkan tentang derma atau hadiah ikhlas yang diberikan oleh seseorang untuk memenuhi keperluan seperti yang dituntut dalam Islam untuk memberikan bantuan bersama kepada orang lain jenis-jenis tabarru’ seperti wakaf, hibah, wasiat, dan seumpamanya.

Kontrak tabarru’ adalah kontrak yang melibatkan pemindahan hak milik kepada pemilik baru tanpa sebarang bayaran atau pampasan seperti hibah, sumbangan kebajikan, derma, wasiat, dan wakaf.

Ini bermaksud tabarru' adalah suatu bentuk derma Ikhlas yang diberikan oleh satu pihak sahaja dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain. Ia dikategorikan sebagai kontrak satu pihak (unilateral) dimana cukup dengan hanya satu pihak sahaja yang melafazkan sesuatu pemberian tanpa ada sebarang pertukaran.

Amalan bertabarru’ (تبرع) dengan harta atau manfaat terbina di atas semangat saling membantu dalam perkara kebajikan dan pada hakikatnya amat dianjurkan oleh syarak agar saling bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan. Iaitu dengan setiap perbuatan makruf (kebaikan) yang diberikan kepada orang lain sama ada dengan menghulurkan bantuan kewangan atau sebarang manfaat. 

Sebagaimana yang ditunjukkan di dalam firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: Dan saling membantulah kamu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan. Surah Al-Ma’idah (2)

Diantara ta'rifan Fuqaha terhadap maksud Tabarru’ (تبرع) ialah: ‘’Usaha seorang mukallaf mengeluarkan harta atau manfaat kepada selainnya pada masa sekarang atau di masa akan datang tanpa sebarang balasan, dengan niat berbuat kebajikan dan kemakrufan.’’ Rujuk Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah (10/65)

Sumber Wang Tabung Masjid dan Pengurusannya 

Secara asasnya, duit-duit sumbangan yang diberikan oleh seseorang itu hendaklah diuruskan atau disalurkan kepada sudut-sudut yang telah ditetapkan atau diniatkan oleh orang yang menderma tersebut. Jenis-jenis  tabung yang biasa disediakan oleh pihak masjid atau pihak surau:

1- Tabung-tabung khas yang bersifat spesifik untuk program atau untuk golongan tertentu seperti pengurusan anak yatim, atau yang dikhususkan kepada asnaf, atau untuk wakaf dan seumpamanya yang bersifat spesifik maka duit tersebut hendaklah digunakan kepada tujuan tersebut sahaja dan bukannya kepada tujuan-tujuan lain yang tidak berkaitan dengan niat penyumbang (penderma). Sebagaimana yang difahami dari catatan Syeikh Zakaria al-Ansari Rahimahullah :

(وَلَوْ أَعْطَاهُ دَرَاهِمَ وَقَالَ اشْتَرِ لَك) بِهَا (عِمَامَةً أَوْ اُدْخُلْ بِهَا الْحَمَّامَ) أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ (تَعَيَّنَتْ) لِذَلِكَ مُرَاعَاةً لِغَرَضِ الدَّافِعِ هَذَا

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu memberikan beberapa dirham kepadanya dan berkata: ‘’Belilah buat diri kamu serban dengan wang ini atau bawalah serban ini ke dalam tempat mandi’’, atau (ucapan) seumpamanya, maka menjadi tuntutan kepadanya melakukan perkara tersebut bagi meraikan tujuan individu yang menyumbangkan (wang tersebut). Rujuk Asna al-Mathalib, Zakariya Al-Ansari (2/479)

Juga dicatat oleh Syeikh,

(إنْ قَصَدَ سَتْرَ رَأْسِهِ) بِالْعِمَامَةِ (وَتَنْظِيفَهُ) بِدُخُولِهِ الْحَمَّامَ لِمَا رَأَى بِهِ مِنْ كَشْفِ الرَّأْسِ وَشَعَثِ الْبَدَنِ وَوَسَخِهِ (وَإِلَّا) أَيْ وَإِنْ لَمْ يَقْصِدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ (فَلَا) تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ.

Maksudnya: Sekiranya seseorang (yang memberi duit) bertujuan untuk (orang yang diberikan wang tersebut) menutup kepalanya dengan serban dan membersihkannya, dengan cara membawanya masuk ke dalam bilik air, berdasarkan apa yang dia lihat dari orang tersebut dari sudut kepala terdedah (tidak tertutup) dan juga kekusutan serta kotoran yang terdapat pada badan orang tersebut. Sekiranya tidak, iaitu jika dia tidak menyertakan tujuannya (niat sedekah umum), seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau boleh dia menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki. Rujuk Asna al-Mathalib, Zakariya Al-Ansari (2/480)

Dari catatan di atas dapatlah difahami bahawa jika dikaitkan dengan hal pengurusan tabung masjid terhadap derma oleh penderma yang memberikan sumbangan wang kedalam tabung-tabung khas yang bersifat spesifik untuk program atau untuk golongan tertentu seperti pengurusan anak yatim, atau yang dikhususkan kepada asnaf, atau untuk wakaf dan seumpamanya yang bersifat spesifik, maka hendaklah duit tersebut hanya disalurkan kepada tujuan yang bersifat spesifik sahaja yang selaras dengan keperluan yang sebut pada tabung tersebut umpama tabung untuk fakir miskin dan bukannya disalurkan kepada kegunaan-kegunaan yang lain.

2- Tabung masjid yang bersifat umum:

Seperti apa yang dicatat oleh Syeikh Zakaria al-Ansari:

وَإِنْ لَمْ يَقْصدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ (فَلَا) تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ

Sekiranya tidak, iaitu jika dia (orang yang memberikan duit) tidak menyertakan tujuannya, seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau dia boleh menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki.

Dapat difahami dari apa yang dicatat oleh oleh Syeikh Zakaria al-Ansari di atas bahawa bagi tabung-tabung  masjid yang bersifat umum dan sekiranya seseorang penderma itu mendermakan duit ke dalam tabung masjid secara umum, iaitu bukan tabung khas yang bersifat spesifik kepada program atau golongan tertentu, maka duit sumbangan ini boleh digunakan untuk apa sahaja aktiviti atau kepada siapa sahaja golongan yang memerlukan selama mana terdapatnya maslahah kaum muslimin menerusi pemberian tersebut.

Dalam situasi yang lain pula, perlu juga diraikan situasi kewangan masjid-masjid, ini kerana secara norma menyaksikan bahawa bukan semua masjid mempunyai kadar kutipan sumbangan derma yang sama. Bagi sesetengah masjid mungkin mempunyai kadar kutipan yang tinggi dan boleh jadi bagi sesetengah masjid mempunyai kadar kutipan yang rendah.

Manakala pihak masjid pula terpaksa membayar bil elektrik, bil air dan untuk penyelenggaraan masjid serta aktiviti pengimarahan masjid. Sehinggakan dana mereka tidak mencukupi untuk program-program yang melibatkan masyarakat setempat dibawah institusi masjid tersebut.

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...