Saturday, March 28, 2020

Rindunya hendak ke Masjid untuk solat berjamaah serta mengimarahkannya.الله اكبر

Rindunya hendak ke Masjid untuk solat  berjamaah serta mengimarahkannya.الله اكبر

Rindu kepada masjid merupakan kerinduan untuk selalu melakukan ibadah di tempat tersebut, rindu melakukan solat berjamaah lima waktu, rindu melakukan i’tikaf, rindu berkumpul dengan orang-orang saleh dalam menyelenggarakan aktiviti dakwah dan sebagainya.

Masjid merupakan pusat aktiviti umat Islam, baik sebagai tempat ibadah mahupun dalam menyelenggarakan kegiatan-kegiatan dakwah. Rasulullah saat pertama kali hijrah ke Madinah, tempat yang pertama kali dibangunkan adalah masjid, iaitu Masjid Quba. Begitu pentingnya masjid di dalam pandangan Islam sehingga Rasulullah mengutamakan pembangunan tempat ibadah yang satu ini.

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Maksudnya:"Janganlah kamu bersolat dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih". At-Taubah,108

Dan pula Firman Allah Subhanahuwata'ala,

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan sollat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. At-Taubah,18.

Memakmurkan masjid tidak hanya sebatas membangunkan masjid secara fizikal semata-mata. Justeru itu, Barang siapa yang pergi ke masjid untuk solat, bertasbih, membaca, duduk di dalam halaqah ilmu, menunggu untuk solat atau membaca al-Quran termasuk di dalam orang yang memakmurkan masjid.

Pada zaman Nabi Sallahu'alaihiwasallam masjid menjadi pusat dakwah, pusat pentadbiran, tempat penyebaran dakwah dan juga suasana negara  tercermin melalui institusi masjid ini. Ini adalah menunjukkan bahawa masjid memiliki kedudukan yang amat penting di dalam Islam.

Pelbagai urusan penting yang telah dilakukan oleh Nabi Sallahu'alaihiwasallam di masjid ada diantaranya seperti  menyambut duta dan utusan dari pelbagai negara di masjid, menemui para sahabat di masjid, menyampaikan ilmu di masjid dan tentera bergerak untuk ke medan perang  dari masjid dan berbagai lagi urusan. Semua ini menunjukkan masjid adalah pusat kehidupan Islam dan pusat seluruh kegiatan Islam.

Begitu juga masjid memiliki kedudukan dan kehormatan yang tinggi di sisi Allah Subhanahuwata'ala, sebagaimana firman-Nya,

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرۡفَعَ وَيُذۡكَرَ فِيهَا ٱسۡمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ

Maksudnya: Pada rumah-rumah (masjid-masjid) yang Allah telah mengizinkan supaya diangkat dan disebutkan nama-Nya di dalamnya. Di situ juga tempat Allah Subhanahuwata'ala disucikan pada waktu pagi dan petang. Surah al-Nur (36)

Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah menukilkan pendapat Ibn Abbas R.anhuma ketika menafsirkan ayat ini yang mana beliau berkata: Allah Subhanahuwata'ala melarang perbuatan lagha (sesuatu yang sia-sia dan melalaikan) di dalamnya. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (6/62).

Di dalam Bahasa Arab Masjid adalah  merupakan اسم المكان (kata nama tempat) yang mana berasal dari perkataan سجد yang membawa maksud sujud.
Justeru itu Masjid dari sudut bahasa adalah tempat untuk sujud. Masjid dari sudut istilah pula ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah Subhanahuwata'ala, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. 
Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima (5) waktu dan tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat. (Lihat I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masaajid oleh Al-Imam Al-Zarkasyi).

Dari petunjuk hadith pula ternyata begitu tinggi pahala bagi orang-orang yang sentiasa beribadat atau pun solat di masjid. Oleh yang demikian orang-orang yang sentiasa pergi ke masjid dan memakmurkannya  dengan solat, zikir, membaca al-Quran ataupun duduk dalam majlis-majlis Ilmu merupakan bukti-bukti dari keimanan. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abi Sa’id RA, bahawa Nabi Sallahu'alaihiwasallam:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ المَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالإِيمَانِ

Maksudnya: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 11651 dan 11725, al-Tirmizi, no. Hadith 3093 dan Ibn Majah, no. Hadith 802][Imam al-Tirmizi mengatakan hukum hadith ini Hasan Gharib]

Allah Subhanahuwata'ala menyediakan pahala pada setiap langkah bagi sesiapa yang menuju ke masjid sama ada pada waktu pagi atau petang 
Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

مَنْ غَدَا إِلَى المَسْجِدِ وَرَاحَ، أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنَ الجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang pergi di waktu pagi ke masjid atau di waktu petang, Allah menyediakan baginya suatu tempat setiap kali dia pergi di waktu pagi dan petang”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 662 dan Muslim, no. Hadith 285]

Allah Sallahu'alaihiwasallam juga menyediakan rahmat-Nya bagi sesiapa yang berjalan  menuju ke masjid khususnya dalam kegelapan malam.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

بَشِّرْ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”. [Riwayat Abu Daud, no Hadith 474, al-Tirmizi, no Hadith 207 dan Ibn Majah, no. Hadith 773][Sahih]

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

الْمَشَّاؤُونَ إِلَى الْمَسَاجِدِ فِي الظُّلَمِ، أُولَئِكَ الْخَوَّاضُونَ فِي رَحْمَةِ اللَّهِ

Maksudnya: “Orang-orang yang banyak berjalan ke masjid ketika gelap, mereka adalah orang-orang menceburkan diri dalam rahmat Allah”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 771][al-Dhimyathi mengatakan sanad hadith ini cacat]

Akhir kalam, marilah sama-sama Kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

(Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk)”.” [Riwayat Abu Daud (1554)]

آمين

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...