Monday, March 2, 2020

Hukum Wakaf dan Hukum استبدال (tukar ganti) Harta wakaf

Hukum Wakaf dan Hukum استبدال (tukar ganti) Harta wakaf

Anjuran agar memberi wakaf dan dan kelebihan orang yang berwakaf adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam:

 إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Apabila matinya seseorang itu, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkannya dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibubapanya. Riwayat al-Nasa’ie (3651

Hukum ber'wakaf' adalah sunat, ini adalah pandangan Jumhur ulama . Sebagaimana hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma. Sesungguhnya Umar RA pernah memiliki sebidang tanah Khaibar. Lalu beliau menemui Nabi Sallahu'alaihiwasallam dan bertanya: “Wahai Rasulullah, aku telah menerima sebidang tanah di Khaibar, dan aku tidak pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang perlu aku lakukan dengannya?” Baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِنْ شِئْتَ حَبَّسْتَ أَصْلَهَا، وَتَصَدَّقْتَ بِهَا ‏‏.‏ فَتَصَدَّقَ عُمَرُ أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ أَصْلُهَا وَلاَ يُوهَبُ وَلاَ يُورَثُ

Maksudnya: “Sekiranya engkau mahu, kamu wakaflah ia dan sedekahkan hasilnya.” Kemudian Umar menyedekahkannya, tidak dijual pohonnya dan hasilnya, tidak diwariskan dan tidak dihibahkan.Riwayat al-Bukhari (2772)

Dapat difahami bahawa wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah Subhanahuwata'ala”.

Pengertian Wakaf

Makna Wakaf dari sudut bahasa adalah berhenti (وقف), Menahan (حبس), Menghalang (منع)

Makna wakaf dari sudut Istilah/Syara’ dari segi istilah, ulama berbeza pendapat tentangnya.Pengertian dari segi ulama Syafieyah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram). (Lihat al-Mausua’h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 44/108)

Jenis-jenis Wakaf

Wakaf Khas
Pewakaf mewakafkan hartanya untuk tujuan tertentu seperti membina masjid, sekolah agama dan sebagainya.

Wakaf Am
Pewakaf mewakafkan harta untuk tujuan kebajikan Islam semata-mata tanpa ditentukan tujuan yang khusus.

Rukun Wakaf

1-Pewakaf (Wakif)
2-Harta yang diwakafkan (Mauquf)
3-Penerima wakaf (Mauquf Alaih)
4-Aqad Wakaf (Sighah)

Syarat Harta Yang Diwakafkan (Mauquf)

1-Harta yang berbentuk kekal yang mempunyai nilai mengikut hukum syarak dan boleh diambil manfaatnya seperti tanah atau bangunan.
2-Harta milik sempurna pewakaf dan boleh dipindah milikkan.
3-Harta yang Diwakafkan itu boleh digunakan selama-lamanya. Tidak sah mewskafkan makanan dan minuman atau seumpamanya. Jika manfaat daripadanya hanya akan didapati setelah fimusnahkan Harta tersebut.Harta yang dapat diserahkan dan bukan hartanya ditahan seperti harta orang muflis dan harta anak yatim.
4-Penggunaan harta wakaf tersebut mestilah diharuskan oleh syakak.
(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 5/937)

Syarat-syarat Sah Wakaf

1-Wakaf tidak dihadkan tempoh tertentu.
2-Tujuan dan maksud wakaf hendaklah jelas.
3-Wakaf dilaksanakan secara tunai tanpa syarat.

Tukar ganti (استبدال) Harta wakaf

استبدال adalah,
“Jual beli atau tukar ganti harta wakaf dengan harta yang lain atau dengan nilai mata wang. Serta penukaran ain harta wakaf dengan ain harta yang lain. Dalam perjalanan masa kini terdapat Istibdal dengan menjual beli harta wakaf menggunakan mata wang.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 10/7624)

Hukum Istibdal pada asalnya adalah tidak diharuskan seperti umum dalil yang didatangkan oleh Ibnu Umar yang berikut,

"Sesungguhnya Umar RA pernah memiliki sebidang tanah Khaibar. Lalu beliau menemui Nabi Sallahu'alaihiwasallam dan bertanya: “Wahai Rasulullah, aku telah menerima sebidang tanah di Khaibar, dan aku tidak pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang perlu aku lakukan dengannya?” Baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

إِنْ شِئْتَ حَبَّسْتَ أَصْلَهَا، وَتَصَدَّقْتَ بِهَا ‏‏.‏ فَتَصَدَّقَ عُمَرُ أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ أَصْلُهَا وَلاَ يُوهَبُ وَلاَ يُورَثُ

Maksudnya: “Sekiranya engkau mahu, kamu wakaflah ia dan sedekahkan hasilnya.” Kemudian Umar menyedekahkannya, tidak dijual pohonnya dan hasilnya, tidak diwariskan dan tidak dihibahkan.Riwayat al-Bukhari (2772)

Melainkan sebahagian pendapat yang membenarkan Istibdal atas tujuan memberi manfaat kepada harta wakaf dan juga di bawah kawal selia pihak qadi dan pihak yang berautoriti.

Diantara pandangan Mazhab dan Ulama' dalam hal Tukar ganti (استبدال) Harta wakaf:

Pandangan mazhab Hanafi dibolehkan istibdal sekiranya harta wakaf itu tidak memberi manfaat dan ditukar dengan barang yang lain. Qadi Abi Yusuf menyatakan “Sekiranya ia berpotensi mendatangkan manfaat yang lebih dibolehkan untuk istibdal dan tidak diharuskan sekiranya tidak mendatangkan keuntungan. Selain itu al-Turtusi menyatakan “Sekiranya terdapat syarat oleh pewakaf untuk tidak menukarkannya maka qadi atau pihak yang berautoriti berhak untuk menentukannya. Ini kerana mereka dapat melihat maslahat umum yang lebih jelas. (Lihat al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 5/241)

Pandangan Mazhab Syafie tidak harus Istibdal masjid yang rosak ke tempat yang lain. Dan harta wakaf ini merupakan hak milik Allah SWT tidak boleh ditukar ganti, ini merupakan pendapat yang asoh dalam mazhab ini. Adapun pendapat berlawanan dengan asoh mengharuskan jual beli sekiranya harta itu tidak dapat memberi manfaat dan menjualnya merupakan perkara yang lebih utama. Dan jual beli itu mestilah dengan bertujuan untuk membangunkannya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 44/200-201)

Harta wakaf tidak boleh dijual,dibeli,dinafikan hadiah atau pusaka samaada oleh pewakaf atau penerima wakaf, samaada penerima wakaf dikhususkan atau tidak. Harta wakaf tersebut tetap menjadi hak Allah Subhanahuwata'ala. Penggunaannya diserahkan kepada penerima wakaf dan ia diuruskan menurut kehendak pewakaf. Ini berdasarkan wakaf Umar al-Khatab r.a. yang menyebutkan mengenai harta wakafnya:
"Ia tidak boleh dijual,tidak boleh diberikan kepada sesiapa pun, dan tidak boleh dipusakakan".
(Diriwayatkan oleh Bukhari (2586) dan Muslim (1632). Rujuk al-Fiqh al-Manhaji 5/954

Imam al-Mardawi berkata di dalam kitabnya, sekiranya barang wakaf itu tidak dapat memberi manfaat maka diharuskan untuk istibdal dengan barang yang sama nilai. Begitu juga dengan masjid, diharuskan untuk menukar ganti dengan tujuan pembinaannya semula dan maslahah umum (Lihat al-Insaf fi Makrifah al-Rajih min al-Khilaf, 7/101)

Hukum asal berkaitan harta wakaf ianya tidak boleh ditukar ganti namun dibenarkan sekiranya bertujuan untuk mengekalkannya dan memberi manfaat kepada kepentingan umum. Walaupun begitu, perkara ini seharusnya dirujuk kepada pihak yang berautoriti dalam pengurusan harta wakaf.


No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...