Friday, March 20, 2020

Hukum Muslimah solat Jumaat dan Waktu Solat Zohor bagi Muslimah pada Hari Jumaat.

Hukum Muslimah solat Jumaat dan Waktu Solat Zohor bagi Muslimah pada Hari Jumaat.

Ulama sepakat berpendapat bahawa solat Jumaat tidak diwajibkan atas wanita ( Rujuk:Al Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyyah (21/267). 

Juga disebut didalam kitab al-fiqh al-Manhaji bahawa wanita tidak diwajibkan untuk hadir menunaikan solat Jumaat kerana kesibukan mereka dalam menjaga anak-anak serta urusan-urusan rumah, serta terhasilnya masyaqqah (kepayahan) buat mereka sekiranya diwajibkan hadir ke tempat tertentu pada waktu yang tertentu. Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji (1/201).

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadih yang diriwayatkan oleh Tariq bin Shihab R.A bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: (Solat) Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap muslim secara berjamaah melainkan empat orang: Hamba, wanita, kanak-kanak, atau orang yang sakit.Riwayat Abu Daud (1067)

Meskipun tidak diwajibkan keatas kaum wanita untuk solat Jumaat namun adalah dibolehkan bagi kaum wanita untuk menghadiri solat Jumaat. Ini adalah berdasarkan keumuman hadith yang berikut:

لاَ تَمْنَعُوْا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ

Maksudnya: Janganlah kamu menghalang hamba-hamba perempuan Allah daripada masjid-masjid Allah. Riwayat Muslim (442)

Hadith di atas membawa maksud yang umum, iaitu bahawa janganlah dilarang hamba-hamba perempuan Allah untuk hadir ke masjid dalam mana-mana solat sama ada solat fardhu lima waktu, solat dua hari raya ‘Aid al-Fitri dan ‘Aid al-Adha, solat Jumaat, dan seumpamanya.

Walaupun begitu, kewajipan muslimah di hari Jumaat adalah untuk menunaikan solat fardhu zohor. Dan waktu Solat Zohor bagi Muslimah pada hari Jumaat adalah dalam waktu yang ditetapkan,sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala 

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ ۚ فَإِذَا اطْمَأْنَنْتُمْ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ ۚ إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat(mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa aman, maka dirikanlah solat itu (sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman. An-Nisa ayat 103.

Waktu zohor dimulai sejak zawal (matahari tergelicir ke arah Barat) sampai bayangan benda sama dengan tinggi bendanya. Dari Abdullah bin Amr radhiyallahu ‘anhuma, Nabi shallallahu‘alaihi wasallam bersabda:

وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرِ الْعَصْرُ

Maksudnya: “Waktu zohor dimulai saat matahari tergelincir ke barat (waktu zawal) hingga bayangan seseorang sama dengan tingginya dan selama belum masuk waktu ‘Asar.” (Riwayat Muslim 612)

Hadith ini berlaku umum, kaum muslimah yang ada di rumahnya tidak perlu menunggu sampai solat jumaat selesai. Kerana memang tidak ada perbezaan waktu solat zohor pada hari Jumaat dengan hari-hari selainnya. 

Imam An-Nawawi di dalam kitab al Majmu’ Syarh al Muhadzdzab mengatakan bahawa wanita adalah salah satu dari kelompok orang yang uzur untuk meninggalkan solat jumaat. An-Nawawi menjelaskan ada dua pandangan dari ulama dalam masalah ini:

(أَصَحُّهُمَا) وَبِهِ قطع الماوردىُّ والدارمىُّ والخراسانيون وَهُوَ ظَاهِرُ تَعْلِيلِ الْمُصَنِّفِ أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ لَهُمْ تَعْجِيلُ الظُّهْرِ فِي أَوَّلِ الْوَقْتِ مُحَافَظَةً عَلَى فَضِيلَةِ أَوَّلِ الْوَقْتِ وَالثَّانِي يُسْتَحَبُّ تَأْخِيرُهَا حَتَّى تَفُوتَ الْجُمُعَةُ

Maksudnya:;"Pandangan yang paling sahih diputuskan oleh Imam Almawardi, Addarimi dan ulama Khurasan, dan inilah yang jelas dari alasan pengarang bahawa disunatkan bagi mereka untuk menyegerakan solat zohor di awal waktu kerana untuk menjaga keutamaan awal waktu.Pandangan kedua, disunatkan mengakhirkan solat zohor sampai selesainya solat jumaat"b.

Dan juga ada disebut,

أمَّا من لا يرجو زوال عذره كالمرأة والزمن .. فيسن له -حيث عزم أن لا يصلي الجمعة- تعجيل الظهر لأول وقتها؛ ليحوز فضله.

Maksudnya: " Adapun mereka yang keuzurannya tidak diharapkan hilang, seperti wanita dan orang yang lumpuh, ketika mana dia telah bertekad untuk tidak solat Jumaat maka disunatkan  baginya menyegerakan solat Zohor pada awal waktu, supaya memperolehi kelebihannya."  
Rujuk kitab بشرى الكريم شرح المقدمة الحضرمية ٣٨٥/١

Maklumat tambahan :

Hukum berkaitan menantikan sehingga selesai  solat jumaat baru boleh untuk melaksanakan solat  zohor adalah terkait dengan mereka yang wajib hadir untuk solat jumaat. Wanita tidak terikat dengan hukum ini kerana wanita tidak wajib solat Jumaat. Sebagaimana yang disebut:

ومن وجبت عليه الجمعة لم يصح إحرامه بالظهر قبل سلام الإمام

Maksudnya: Siapa wajib Jumaat ke atasnya, maka tidak sah takbir ihram zohornya sebelum salam imam.

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...