Monday, March 23, 2020

Hukum menyembelih Ikan

Hukum menyembelih Ikan

Ikan adalah merupakan makanan bersumber protein yang halal dimakan selain ayam, kambing, dan lembu. Bahkan ikan yang mati adalah halal dimakan menurut ajaran Islam.Mengenai perkara ini Nabi Sallahu'alaihiwasallam ada bersabda :

أُحِلَّت لنا ميتتانِ ودمانِ الميتتانِ الحوتُ والجرادُ والدَّمانِ الكبدُ والطِّحالُ

Maksudnya : “Dihalalkan buat kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai itu ialah ikan dan belalang, manakala dua jenis darah itu ialah hati dan limpa.” Riwayat Ahmad (5690) dan Ibn Majah (3314)

Al-Khatib al-Syirbini telah menukilkan bahawa telah berlaku ijma’ mengenai halalnya bangkai ikan dan belalang. Selain itu juga, kerana pada adat kebiasaan kedua-dua haiwan itu tidak mungkin boleh disembelih, maka telah gugur (kewajipan) sembelihan tersebut. Oleh itu, sama ada kedua-duanya mati secara bersebab atau tidak, dan sama ada (dijumpai mati) dalam keadaan terapung (atas air) ataupun tenggelam (ia adalah halal). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/98-99)

Binatang buruan laut adalah halal dalam keadaan apa pun, demikian pula binatang buruan darat kecuali dalam keadaan ihram. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala :

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ ۖ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ الْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Maksudnya:"Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan; dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan darat, selama kamu dalam ihram. Dan bertakwalah kepada Allah Yang kepada-Nya-lah kamu akan dikumpulkan” (Al-Maidah, 96)

Tetapi ada beberapa jenis ikan yang mampu hidup lebih lama di luar air seperti ikan keli,ikan haruan dan sebagainya. Dan sudah tentu ikan tidak boleh dimatikan dengan disembelih seperti ayam, kambing, atau lambu. Oleh kerana itu, ikan yang mati dengan cara apapun, tetap halal untuk dimakan dan tidak perlu untuk disembelih.

Namun jika kita mendapatkan ikan yang masih hidup, dan ingin segera untuk  dimasak, maka adab yang disyariatkan adalah mematikan ikan ini dengan cara yang paling cepat untuk menghilangkan nyawanya, ini adalah sebahagian dari  adab indah yang telah diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam melalui sabdanya:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu  menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.” Riwayat Muslim (1955)

Menurut Imam al-Mawardi, 
"Bahawa adapun ikan tidak wajib menyembelihnya sekalipun ia boleh disembelih dan dapat hidup lama (luar air) selepas ditangkap. Justeru itu:
1- Diharuskan untuk menunggunya sehingga mati (dengan sendirinya) dan tidak makruh berbuat demikian. 
2- Begitu juga, diharuskan untuk menyegerakan penyembelihannya (mematikannya)  dan juga tidak makruh berbuat demikian".
(Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/63)

Imam al-Nawawi juga ada mencatit dalam kitabnya: 

قَالَ أَصْحَابُنَا وَيُكْرَهُ ذَبْحُ السَّمَكِ إلَّا أَنْ يَكُونَ كَبِيرًا يَطُولُ بَقَاؤُهُ فَوَجْهَانِ أَصَحُّهُمَا يُسْتَحَبُّ ذَبْحُهُ رَاحَةً لَهُ وَالثَّانِي يُسْتَحَبُّ تَرْكُهُ لِيَمُوتَ بِنَفْسِه

Maksudnya : “Ulama-ulama kami (mazhab Syafie) berkata bahawa dimakruhkan untuk menyembelih ikan melainkan ikan itu besar serta dapat hidup lama (di luar air). Ada dua pendapat mengenai ini. 1-Pendapat yang paling sahih ialah disunatkan untuk menyembelih ikan itu bagi merehatkannya (mematikannya). 
2-Manakala pendapat yang kedua pula disunatkan untuk membiarkannya agar mati dengan sendirinya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/72)

Oleh kerana itu, pada bahagian manakah yang perlu disembelih?

Menurut Syeikh al-Bujairami, sembelihan tersebut berlaku pada bahagian hujungnya :

فَيُسَنُّ ذَبْحُهَا أَيْ مِنْ الذَّيْلِ لِأَنَّهُ أَصْفَى لِلدَّمِ

Maksudnya : “Disunatkan untuk menyembelih ikan iaitu pada bahagian hujungnya (ekornya) kerana ia adalah lebih bersih kerana lebih banyak darah (yang keluar darinya).” (Lihat Hasyiah al-Bujairami, 4/326)

Oleh itu, sembelihan pada ikan besar adalah bermaksud mematikannya (membunuhnya). Ia bertujuan untuk membersihkannya dengan cara mengalirkan darah keluar daripada ikan besar tersebut bagi menyegerakan matinya.

Menurut Syeikh Sulaiman al-Jamal pula bahawa :

فَيُسَنُّ ذَبْحُهَا أَيْ مِنْ ذَيْلِهَا مَا لَمْ تَكُنْ عَلَى صُورَةِ حَيَوَانٍ يُذْبَحُ وَإِلَّا فَتُذْبَحُ مِنْ رَقَبَتِهَا... فَالْمُرَادُ بِالذَّبْحِ الْقَتْلُ

Maksudnya : “Disunatkan menyembelih ikan iaitu pada bahagian hujungnya (ekornya) selagimana mana ikan tersebut tidak menyerupai haiwan yang disembelih (menurut kebiasaan), dan sekiranya tidak (yakni bentuknya seperti haiwan yang disembelih) maka ia akan disembelih pada bahagian lehernya… Sembelihan yang dimaksudkan di sini ialah mematikannya (membunuhnya).” (Lihat Hasyiah al-Jamal, 5/269-270)

Maksud ,

…...مَا لَمْ تَكُنْ عَلَى صُورَةِ حَيَوَانٍ…….
"...Sekiranya tidak bentuknya seperti haiwan..."

Iaitu maksudnya:
Jika ikan yang menyerupai keldai atau manusia. Maka, hendaklah penyembelihan itu pada lehernya atau bahagian lubbah (sekitar pangkal leher) sebagaimana haiwan-haiwan darat yang lain. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 5/239)

Kesimpulannya

Dari perbahasan diatas, maka disunatkan untuk menyembelih ikan besar yang mana lambat mati bagi menyegerakan matinya (merehatkannya). Dan cara sembelihannya tidak terhad hanya kepada bahagian hujungnya (yakni ekornya) sahaja. Tetapi mana-mana bahagian yang dapat mengeluarkan darahnya (dengan banyak) dan menyegerakan matinya adalah lebih baik dan utama seperti bahagian hujungnya atau lain-lain. Ini adalah bertepatan dengan saranan agama sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim agar berlaku ihsan kepada haiwan,

 فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu  menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.” Riwayat Muslim (1955)

Akan tetapi, makruh hukumnya menyembelih ikan yang kecil kerana perkara tersebut adalah sia-sia dan bersusah payah tanpa faedah. 

Sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini, "Bahawa disunatkan untuk menyembelih ikan besar yang mana dapat hidup lama di luar air (lambat mati) bagi merehatkannya (mematikannya), dan makruh hukumnya menyembelih ikan kecil kerana ia adalah perbuatan yang sia-sia dan bersusah payah tanpa sebarang faedah". (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/99)

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...