Tuesday, February 11, 2020

Hukum Tahnik dan waktunya

Hukum Tahnik dan waktunya

Tahnik, berasal dari bahasa Arab yang bermakna melembutkan kurma dan sejenisnya dan meletakkan pada langit-langit mulut dengan kurma tersebut. [Lihat Maqâyis al-Lughah 2/111].

Apa yang dimaksudkan dengan perbuatan tahnik adalah mengunyah tamar atau selainnya kemudian disapukan kepada lelangit bayi.

Berkenaan dengan tahnik telah disebut di dalam satu riwayat daripada Saidatina Aisyah. Kata beliau :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ فَأُتِىَ بِصَبِىٍّ فَبَالَ عَلَيْهِ فَدَعَا بِمَاءٍ فَأَتْبَعَهُ بَوْلَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ

Maksudnya :” Sesungguhnya Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam pernah didatangi dengan kanak-kanak. Lalu Baginda memberkati mereka dan mentahnikkan mereka. Kemudian Baginda didatangi dengan seorang kanak-kanak lalu kanak-kanak itu kencing di atas Baginda. Lantas Baginda meminta air dan memercikkan air tersebut ke atas kencing itu. Baginda tidak membasuhnya,”Riwayat Muslim (688)

Dan juga hadith yang diceritakan oleh Asma’ ketika mana beliau mengandungkan Abdullah Bin Zubair. Kata beliau :

فَخَرَجْتُ وَأَنَا مُتِمٌّ فَأَتَيْتُ الْمَدِينَةَ فَنَزَلْتُ بِقُبَاءٍ فَوَلَدْتُهُ بِقُبَاءٍ ثُمَّ أَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَضَعْتُهُ فِي حَجْرِهِ ثُمَّ دَعَا بِتَمْرَةٍ فَمَضَغَهَا ثُمَّ تَفَلَ فِي فِيهِ فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ دَخَلَ جَوْفَهُ رِيقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ حَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ ثُمَّ دَعَا لَهُ وَبَرَّكَ عَلَيْهِ وَكَانَ أَوَّلَ مَوْلُودٍ وُلِدَ فِي الْإِسْلَامِ

Maksudnya :” Aku keluar dan pada ketika aku dah hampir melahirkan. Aku singgah di Quba dan aku telah melahirkan anak di Quba. Kemudian aku pergi menemui Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. Lalu aku meletakkan anakku di bilik Baginda. Kemudian Baginda memohon untuk dibawakan tamar. Lantas Baginda mengunyah tamar tersebut kemudian meludah kunyahan tersebut di mulutnya. Benda pertama yang masuk ke tubuhnya ialah air liur Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. Baginda kemudiannya mentahnikkan dengan sebiji tamar dan memberkatinya. Anak aku adalah bayi yang pertama yang dilahirkan pada zaman Islam (iaitu anak kaum muhajirin yang pertama dilahirkan selepas hijrah).” Riwayat al-Bukhari ( 3909) & Muslim (5741)

Hukum mentahnik bayi merupakan satu sunnah. Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Kata beliau :

أنَّ تحنيك المولودِ يومَ ولادته سُنَّةٌ بالإجماع، ويحنِّكُه صالحٌ مِن رجلٍ أو امرأةٍ، ويُسْتَحَبُّ التحنيكُ بالتمر

Maksudnya: Bahawasanya amalan tahnik bayi pada hari kelahirannya hukumnya adalah sunat secara ijma’ dan hendaklah ditahnikkan bayi tersebut dengan seorang lelaki soleh atau perempuan yang solehah. Disunatkan digunakan tamar untuk bertahnik. (Rujuk Syarh al-Minhaj ‘ala Sahih Muslim, 14:123)

Secara asasnya waktu bayi disunatkan untuk di'tahnik'kan adalah seawal usia dia dilahirkan. Iaitu sunat ditahnikkan bayi sesudah bayi dilahirkan dan seelok-eloknya pada hari yang sama bayi itu dilahirkan. Hal ini berdasarkan kepada hadith-hadith yang diriwayatkan menunjukkan bahawa para sahabat bersegera untuk mentahnikkan bayi kepada Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam setelah bayi tersebut lahir tanpa menunggu hari ketujuh.

Diantara dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan ooeh Anas bin Malik RA bahawa beliau membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari kepada Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam selepas Abdullah RA baru dilahirkan. Katanya:

ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ ‏"‏ هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ ‏"‏ ‏.‏ فَقُلْتُ نَعَمْ ‏.‏ فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ حُبُّ الأَنْصَارِ التَّمْرَ ‏"‏ ‏.‏ وَسَمَّاهُ عَبْدَ اللَّهِ

Maksudnya: “Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Kemudian, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”Hadith riwayat Muslim: (2144)

Begitu juga, dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa beliau berkata:

ولد لي غلام فأتيت به النبي صلى الله عليه وسلم فسماه إبراهيم فحنكه بتمرة ودعا له بالبركة

Maksudnya: Telah lahir bagiku seorang anak lelaki, maka aku datang kepada Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam dan Baginda Sallahu'alaihiwasallam menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan sebiji tamat serta mendoakannya dengan keberkatan.Hadith riwayat al-Bukhari: (5467)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam syarahan hadith ini menyebutkan bahawa ia menunjukkan bahawa Abu Musa RA bersegera untuk membawa bayi yang dilahirkan kepada Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam, lalu Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam mentahnikkannya selepasd diberikan nama. Ini bermakna Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam mempercepat perkara demikian seperti menamakan bayi (dan tahnik) pada hari pertama ia dilahirkan dan tidak perlu menunggu sehingga ke hari ketujuh. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9:502)

No comments:

Post a Comment

Menghayati Kasih Ibu

Menghayati Kasih Ibu Islam adalah sebuah agama yang sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada kedua ibubapa. Bahkan amalan birr al-wa...