Sunday, December 1, 2019

Mencari keredhaan manusia atau mencari keredhaan Allah?

Mencari keredhaan manusia atau mencari keredhaan Allah? 

Pesan Imam al-Syafie kepada Rabi’ ,

رِضَا النَّاسِ غَايَةٌ لَا تُدْرَكُ، فَعَلَيْكَ بِمَا يَصْلُحُكَ فَالْزَمْهُ فَإِنَّهُ لَا سَبِيْلَ إِلَى رِضَاهُمْ

Maksudnya: “Keredhaan manusia merupakan satu matlamat yang tidak mampu dicapai. Maka hendaklah kamu melakukan apa-apa yang baik buat diri kamu dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, sesungguhnya tidak ada jalan untuk sampai kepada keredhaan mereka (manusia).”
Lihat Imam Abu Nu’aim di dalam kitabnya [Lihat: Hilyah al-Awliya’, 123/9] 

Maksud dari ucapan ini adalah seseorang itu tidak mungkin mampu untuk mendapatkan keredhaan semua manusia.Sebab setiap orang itu memiliki fikiran dan kesukaan yang berlainan. Apa yang disukai oleh si A, belum tentu disukai oleh si B. Dan apa yang disukai si B, belum tentu disukai oleh si C. Oleh itu, kesukaan siapa yang akan kita cari?
Ketahuilah bahawa yang akan kita rasakan hanyalah keletihan belaka. Bila setiap perbuatan yang kita lakukan, hanya untuk mencari simpati manusia, ingin mengikuti setiap keinginannya, pemikirannya dan kesukaannya.

Memilih keredhaan manusia adalah sebuah kesia-siaan belaka. Sebab jalannya bengkok dan tidak tentu hujungnya. Jalan sukar itu dipaksakan untuk ditempuh juga, padahal hujungnya adalah jalan mati.Natijahnya, meraih keredhaan seluruh manusia adalah sesuatu yang amat mustahil. 

Sebenarnya, manakah yang seharusnya menjadi keutamaan untuk kita kejar? Redha Allah kah atau redha manusia?

Orang yang beriman sudah tentu akan menjawab, ”Tentu saja redha Allah!”.

Seluruh kehidupan mukmin adalah untuk mencari keredhaan Allah, bukan keredhaan manusia.

Ini kerana, manusia diciptakan untuk menyembah-Nya, taat dan patuh mengikuti segala perintah-Nya. Segala kebaikan dan keberuntungan hidup hanya bergantung kepada-Nya.

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Katakanlah, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah Rabb semesta alam”. Surah Al-An’am,162.

Mukmin sejati hanya akan menjadikan redha Allah sebagai target utama dalam seluruh aktiviti hidupnya. Walaupun mungkin berakibat seluruh manusia marah dan benci kepadanya. Sekalipun berakibat dia akan dicaci, disakiti dan dianiayai.

Mukmin sejati itu wajib untuk menjaga keredhaan Allah sahaja dan tidak mencari redha manusia,  walaupun manusia memurkainya. Sebab dia yakin sepenuhnya bahawa di tangan Allah tergenggam segala kekuasaan.

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Katakanlah: “Ya Allah Yang mempunyai kekuasaan. Engkau memberikan kekuasaan kepada orang yang Engkau kehendaki, dan Engkau mencabut kekuasaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan-Mu lah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu” Surah Ali Imran,26.

Untuk apa waktu kita habiskan demi mengambil air muka manusia? Bukankah mereka pun hamba seperti kita jua adanya? Mereka pun lemah tidak berdaya, tak kuasa menolong dirinya sendiri, apatahlagi untuk menolong orang lain? Mengapa kita tak kunjung sedar akan kekuasaan Sang Khalik, padahal di dalam kekuasaan-Nya lah kehidupan dan kematian?

Sungguh amatlah naif bila akidah tergadaikan, yang haram diterjang, yang haq dibangkul sampahkan, teman baik ditendang, jamaah ditinggalkan semua hanya kerana “apa kata orang”.

Redha adalah termasuk di dalam sifat-sifat mahmudah iaitu sifat yang terpuji. Di samping itu juga, redha juga merupakan salah satu daripada ciri-ciri orang yang bertaqwa. Justeru itu,  mencari keredhaan Allah Subhanahuwata'ala adalah yang paling utama berbanding mencari keredhaan manusia. 

Mencari keredhaan Allah Subhanahuwata'ala adalah merupakan salah satu daripada ciri atau sifat yang terpuji. Ini kerana, kita dituntut untuk sentiasa mencari keredhaan Allah Subhanahuwata'ala dan juga keredhaan orang yang berada di sekeliling dengan kita. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith:

مَنِ التَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ، وَمَنِ التَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia.” Hadith Riwayat al-Tirmizi (2414)

Redha boleh dibahagikan kepada dua bahagian sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Raghib iaitu redha hamba kepada Allah dan redha Allah kepada hamba. Maksud redha hamba kepada Allah adalah seorang hamba itu tidak benci pada qadha’ atau ketentuan yang berlaku ke atas dirinya. Adapun redha Allah kepada hamba iaitu Allah Subhanahuwata'ala akan memastikannya sentiasa mentaati perintahnya serta meninggalkan segala larangannya. [Lihat: I’Rab al-Quran al-Karim wa Bayanuhu, 547/10]

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

وتُؤمِنَ بالقدَرِ خيرِه وشرِّه

Dan hendaklah kamu beriman kepada takdir, samada yang baik mahupun yang buruk.
(Hadith Riwayat Ibn Hibban 173)

Sebagaimana juga sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam:

من أحب لله ، وأبغض لله ، وأعطى لله ، ومنع لله ، فقد استكمل الإيمان

Sesiapa yang menyayangi kerana Allah dan membenci kerana Allah dan memberi kerana Allah dan mencegah kerana Allah maka telah sempurnalah iman. (Hadith Riwayat Abu Daud, 4681)

Kemanisan atau kelazatan iman adalah buah yang terhasil akibat dari Redha kepada Allah Subhanahuwata‘ala sebagai Rabb, Islam sebagai al-Din dan Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam sebagai Rasul. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam, 

ذَاقَ طَعْمَ الإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللهِ رَبًّا وَبِالإِسْلامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولاً

Telah merasakan lazatnya iman, orang yang redha bahawa Allah sebagai Rab, Islam sebagai Din, dan Muhammad sebagai Rasul.Hadith Riwayat Muslim, 34

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...