Doa dan Ijabah
Syeikh Ibnu Atha’illah menuliskan dalam kitab Al-Hikam:
لاَ يَــكُنْ تَــأَخُّرُ أَ مَدِ الْعَطَاءِ مَعَ اْلإِلْـحَـاحِ فيِ الدُّعَاءِ مُوْجِـبَاً لِـيَأْسِكَ؛ فَـهُـوَ ضَمِنَ لَـكَ اْلإِجَـابَـةَ فِيمَا يَـخْتَارُهُ لَـكَ لاَ فِيمَا تَـختَارُ لِـنَفْسِكَ؛ وَفيِ الْـوَقْتِ الَّـذِيْ يُرِ يـْدُ لاَ فيِ الْـوَقْتِ الَّذِي تُرِ يدُ
"Janganlah kerana keterlambatan datangnya pemberian-Nya kepadamu, saat engkau telah bersungguh-sungguh dalam berdoa, menyebabkan engkau berputus asa; sebab Dia telah menjamin bagimu suatu ijabah (pengabulan doa) dalam apa-apa yang Dia pilihkan bagimu, bukan dalam apa-apa yang engkau pilih untuk dirimu; dan pada waktu yang Dia kehendaki, bukan pada waktu yang engkau kehendaki."
Al-Hikam Pasal 6:
Doa adalah satu ibadah, sebagaimana sabda Rasulullah Sallahualaihiwasallam ,
الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ
”Doa adalah ibadah.” (Hadith Riwayat Tirmizi,2969).
Doa adalah sebagai tanda yang menzahirkan keberhajatan seseorang hamba kepada Allah Subhanahuwata'ala. (Lihat al-Azkar oleh al-Nawawi, hlm. 395).
Ia juga diertikan sebagai memohon dengan sepenuh hati kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan permohonan yang mengharapkan kebaikan di sisi-Nya, memohon dengan rendah diri supaya apa yang diminta itu diperkenankan dan cita-cita termakbul. (Lihat Jawami' al-Du'a min al-Qur'an wa al-Sunnah oleh Muhammad Sayyid Tantawi, hlm. 5)
Allah Subhanahuwata'ala sangat menyukai hamba-hamba-Nya Yang berdoa kepada-Nya sepertimana yang disebut di dalam nas-nas Ilahi. Antaranya, firman Allah Subhanahuwata'ala:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah al-Baqarah: 186)
Ibnu Kathir menjelaskan, ayat ini menunjukkan bahawa Allah Subhanahuwata'ala tidak akan mengecewakan doa orang yang memanjatkan doa kepada-Nya. Dia tidak menolak dan mengabaikan doa seseorang, bahkan Dia Maha Mendengar doa. Di dalam pengertian ini terkandung anjuran untuk sentiasa berdoa, dan bahawa Allah Subhanahuwata'ala tidak akan mensia-siakan doa yang dipanjatkan kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/506)
Dan dalam Al-Quran, Allah memerintahkan kepada hambanya untuk berdoa kepada-Nya dan Dia Ta’ala pasti akan kabulkannya.
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ
Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Aku perkenankan bagimu." – Surah Al-Mu'min [40]: 60
Dan juga Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Hanya milik Allah asmaa-ul husna, maka bermohonlah(berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.
Berdasarkan ayat tersebut, maka termasuk kesempurnaan dalam berdoa adalah seseorang itu menjadikan perantaraan (ber-“tawassul”) dalam doanya dengan menyebutkan nama-nama Allah Ta’ala yang sesuai dengan isi permintaannya. Jika kita ingin meminta rezeki, maka kita ber-tawassul dengan nama Allah “الرزاق” (Yang Maha pemberi rezeki). Jika kita meminta ampun kepada Allah, maka kita ber-tawassul dengan nama Allah “الغفور” (Yang Maha mengampuni). Inilah salah satu bentuk tawassul dalam berdoa yang disyariatkan. Bahkan inilah yang telah dicontohkan oleh para Rasul ketika mereka berdoa kepada Allah Ta’ala.
Nabi Musa ‘alaihis salam ketika berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala,
فَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الْغَافِرِينَ
Maksudnya:”Maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat. Dan Engkaulah Pemberi ampun yang sebaik-baiknya.” (Surah Al-A’raf [7]: 155)
Demikian pula Nabi Isa ‘alaihis salam, ketika beliau berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala,
وَارْزُقْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
”Berilah kami rezeki, dan Engkaulah Pemberi rezeki yang paling utama.” (Surah Al Maidah [5] : 114)
Berdoa adalah merupakan sebagai tanda bahawa dia adalah sebagai seorang mukmin yang sejati, disaat apabila dia teramat yakin dengan apa yang ada di Tangan Allah dengan berbanding daripada apa yang dapat diusahakan oleh tangannya sendiri. Ketika doa yang telah kita panjatkan kepada Allah dan seolah-olah tidak mendapat pengabulan dari Allah Ta’ala,maka ketahuilah Yang sebenarnya disitu terdapat ruang pengetahuan yang kosong yang harus kita cari dan isi.
Ketahuilah bahawa pada hakikatnya adalah setiap doa yang kita panjatkan kepada Allah adalah merupakan sebuah refleksi dari objek yang telah Allah siapkan untuk kita. Apabila hati kita terdetik mencitakan sesuatu, maka yang sebenarnya ialah 'Tidak' dengan serta merta kita menginginkan sesuatu di dalam hati, kecuali telah ada objeknya. Tanpa objek yang telah Allah sediakan, pada dasarnya setiap orang tidak akan mempunyai keinginan untuk berdoa. Misalnya ketika menginginkan sesuatu makanan, kerana baunya sudah tercium dari kejauhan.
Doa disini bukan hanya terkait masalah duniawiyah sahaja akan tetapi juga termasuk dalam hal-hal ukhrawiyah. Misalnya, kita berdoa agar diterima taubatnya dan dibersihkan dari segala dosa, dimasukkan ke dalam syurga, dijaukan dari neraka dan sebagainya. Seringkali kita ketemui di dalam diri kita sendiri atau pada sebahagian orang yang terlalu fokus dan memberi perhatian yang utama terhadap kehidupan di dunia, namun dia lalai dari kehidupannya kelak di akhirat. Di saat ketika dia menengadahkan kedua tangan memohon kepada Allah Ta’ala, dia hanya meminta kebaikan untuk urusan dunianya sahaja. Yang diminta hanyalah perniagaan atau buisness yang lancar, agar jadi kaya-raya, agar naik pangkat, keputusan peperiksaan yang cemerlang, atau keinginan untuk membeli rumah, kereta, atau berbagai permintaan yang seperti itu. Sehingga tidak terucap atau tidak terpikir sedikit pun untuk meminta kebaikan atas kehidupannya di akhirat kelak.
Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Ta’ala telah mencela orang-orang yang hanya memohon kepada-Nya tentang urusan-urusan dunia sahaja. Allah Subhanahuwata'ala berfirman,
فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ
Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang bendoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. (Surah Al Baqarah [2]: 200).
Allah Subhanahuwata'ala juga berfirman,
مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَنْ نُرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَاهَا مَذْمُومًا مَدْحُورًا
”Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Dan Kami tentukan baginya neraka Jahanam, ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.” (Surah Al Isra’ [17]: 18).
Apakah dalam hal ini bererti, maka kita tidak boleh untuk meminta kebaikan di dunia? Jawapanya, Tidaklah demikian. Justeru, boleh sahaja bagi kita untuk berdoa meminta atau memohon kebaikan urusan di dunia, namun bukan sebagai perkara yang pokok. Hal ini kerana keutamaan bagi seorang mukmin adalah kehidupan yang baik dan selamat di akhirat kelak. Sedangkan dunia hanyalah sebagai sarana untuk meraih kebaikan di akhirat.
Justeru itu, Allah Ta’ala memberikan pujian kepada orang-orang yang menggabungkan dalam doanya antara meminta kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat sekaligus. Allah Ta’ala berfirman,
وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (201) أُولَئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِمَّا كَسَبُوا وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ (202
”Dan di antara mereka ada orang yang berdoa,’Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka’. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari yang mereka usahakan. Dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” (Surah Al Baqarah [2]: 201-202).
(Lihat:Fiqhu Ad-Du’a, hal. 133, olehSyaikh Musthafa Al-‘Adawi)
Orang beriman hendaknya, akan menjadikan akhirat (yakni: syurga) sebagai cita-cita tertinggi yang berterusan, untuk dia memintanya di dalam doanya. Marilah kita merenungkan tentang cita-cita seorang sahabat yang mulia, Rabi’ah bin Ka’ab Al-Aslami radhiyallahu ‘anha ketika Rasulullah Sallahua'laihiwasallam berkata kepadanya,“Wahai Rabi’ah, memintalah kepadaku!” Rabi’ah berkata,
أَسْأَلُكَ مُرَافَقَتَكَ فِي الْجَنَّةِ
“Aku meminta kepadamu agar aku boleh menemanimu di syurga!”
Maka Rasulullah Sallahua'laihiwasallam
bersabda,
أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ
“Atau selain hal itu?” Rabi’ah berkata,“Ya, itu saja.”
Kemudian Rasulullah Sallahua'laihiwasallam bersabda,
فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ
“Maka bantulah aku dengan Engkau memperbanyak sujud.” (Hadith Riwayat Muslim, 226)
Adapun dunia, maka pada hakikatnya adalah sesuatu yang rendah dan hina, sehingga tidak layak dijadikan sebagai cita-cita dan keinginan utama kepada seorang mukmin. Ibnu ‘Abid Dunyaa –rahimahullahu Ta’ala- berkata,
حدثني عثمان بن أبي شيبة، أخبرنا معاوية بن هشام، قال: سمعت سفيان الثوري يقول: كان يقال: إنما سميت الدنيا لأنها دنية، وإنما سمي المال لأنه يميل بأهله.
“Telah menceritakan kepadaku ‘Utsman bin Abi Syaibah, telah mengkhabarkan kepada kami Mu’awiyah bin Hisyam, ia berkata, aku mendengar Sufyan Ats-Tsauriy berkata, ‘Pernah dikatakan bahawa (dunia) disebut dunia (الدنيا) hanyalah kerana ia merupakan sesuatu yang rendah (hina) (دنية) dan (harta) dinamakan harta (الْمَالُ) kerana ia dapat membuat condong pemiliknya.Maksudnya, membuat condong pemiliknya ke arah harta tersebut sehingga membuat dia lalai dari kehidupan akhirat.[Lihat: Zammud Dunyaa, 1/37 (Maktabah Syamilah)]
Ketahuilah,sesungguhnya manusia sering terjebak oleh ketidak-sabaran dan waham (kesalahan pemikiran) tentang dirinya sendiri. Seperti ketika seorang sahabat meminta kepada Rasulullah Sallahua'laihiwasallam agar dia dijodohkan dengan seorang perempuan; maka jawapan Rasulullah Sallahua'laihiwasallam kepadanya adalah: "sekalipun dirinya dan seluruh malaikat memanjatkan doa maka bila itu bukan sebagai haknya dan tidak tertulis di Lauh Mahfudz pasti tidak akan terlaksana. Keinginannya untuk memiliki jodoh adalah sebuah isyarat akan objek yang telah Allah sediakan, tetapi keinginannya terhadap perempuan tertentu adalah kerana syahwat dan wahamnya yang masih belum surut.
Doa memerlukakan pengenalan (ma’rifah) akan Allah dan akan diri sendiri. Allah yang lebih tahu apa yang terbaik bagi makhluknya, lebih dari seorang ibu mengetahui keperluan bayinya.
Perhatikan hadith berikut, Dari Umar bin Al Khattab radhiallahu ‘anhu , beliau menuturkan:
ﻗﺪﻡ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﺳﺒﻲ، ﻓﺈﺫﺍ ﺍﻣﺮﺃﺓ ﻣﻦ ﺍﻟﺴﺒﻲ ﻗﺪ ﺗﺤﻠﺐ ﺛﺪﻳﻬﺎ ﺗﺴﻘﻲ، ﺇﺫﺍ ﻭﺟﺪﺕ ﺻﺒﻴﺎً ﻓﻲ
ﺍﻟﺴﺒﻲ ﺃﺧﺬﺗﻪ، ﻓﺄﻟﺼﻘﺘﻪ ﺑﺒﻄﻨﻬﺎ ﻭﺃﺭﺿﻌﺘﻪ، ﻓﻘﺎﻝ ﻟﻨﺎ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ : (ﺃﺗﺮﻭﻥ ﻫﺬﻩ ﻃﺎﺭﺣﺔ ﻭﻟﺪﻫﺎ ﻓﻲ ﺍﻟﻨﺎﺭ ). ﻗﻠﻨﺎ: ﻻ، ﻭﻫﻲ ﺗﻘﺪﺭ ﻋﻠﻰ ﺃﻥ ﻻ ﺗﻄﺮﺣﻪ، ﻓﻘﺎﻝ: (ﻟﻠﻪ ﺃﺭﺣﻢ ﺑﻌﺒﺎﺩﻩ ﻣﻦ ﻫﺬﻩ ﺑﻮﻟﺪﻫﺎ
Rasulullah Sallahua'laihiwasallam didatangi oleh rombongan tawanan perang. Di tengah-tengah rombongan itu ada seorang ibu yang sedang mencari-cari bayinya.
Tatkala dia berhasil menemukan bayinya di antara tawanan itu, maka dia pun memeluknya erat-erat ke tubuhnya dan menyusuinya.
Rasulullah Sallahua'laihiwasallam bertanya kepada kami,
“Apakah menurut kamu ibu ini akan rela atau redha melemparkan anaknya ke dalam kobaran api?”
Kami menjawab, “Tidak mungkin, demi Allah. Sementara dia sanggup untuk mencegah bayinya terlempar ke dalamnya.”
Maka Sallahua'laihiwasallam bersabda,
“Sungguh Allah lebih sayang kepada hamba-hamba-Nya daripada ibu ini kepada anaknya.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Justeru itu , apabila seseorang Ibu tersebut tidak rela untuk melempar anaknya ke dalam api, maka Allah tentu lebih tidak rela lagi melempar dan mencampakkan hamba-Nya ke dalam api neraka, akan tetapi apa yang terjadi?
Hamba tersebut tidak mahu mengenal Allah, tidak peduli kepada Allah dan agama-Nya, bahkan ia lari jauh dari Allah. Bagaimana Allah boleh sayang kepada hamba yang tersebut?
Sedangkan kita diperintahkan untuk mengenal Allah dan “lari” menuju Allah. Allah berfirman,
فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ ۖ إِنِّي لَكُمْ مِنْهُ نَذِيرٌ مُبِينٌ
Maka segeralah kembali (berlari kamu) kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku (Rasul) seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu. (Surah adz-Dzaariyaat: 50)
Terkadang Allah Subhanahuwata'alla dengan kebijaksanaannya dan kasih-sayangnya memaqbulkan permintaan seseorang hambanya, akan tetapi dengan cara menukarkannya dengan sesuatu yang lain. Iaitu sesuatu yang lebih baik atau lebih bermunafaat untuknya di dunia dan di akhiratnya. Apa yang terjadi ianya adalah sebagai senario terbaik dari Allah kepada hamba-Nya. Allah Subhanahuwata'ala berfirman;
وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, 216).
Terkadang Allah Subhanahuwata'alla memaqbulkan permintaan seseorang hambanya yang hidup bergelumang dengan maksiat dan melanggar batas larangan Allah dengan terus-menerus dan disertai dengan keadaan tidak mengenali Allah dengan sebenar-benarnya, maka ianya adalah Istidraj baginya. Istidraj iaitu Allah berikan dunia kepada seorang hamba, ia hanya hidup dengan bersenang-senang saja akan tetapi hakikatnya Allah sudah tidak pedulikan kepadanya lagi. Ia hanya akan menunggu balasannya di hari kiamat dan hanya “bersenang-senanglah” sebentar sahaja di dunia ini.
Contoh Istidraj adalah misalnya, seseorang hamba memiliki business yang berkembang pesat dan keuntungan yang terus meningkat, akan tetapi ia melalaikan solatnya dan tuntutan agama yang lain,soal halal haram sudah tidak dipedulikannya lagi,segala nasihat agama dipandang sebagai halangan untuk menghambat kemajuan,ahli agama atau para ulama yang menasihatinya dan mengajaknya kepada mengutamakan akhirat dianggap sebagai musuh yang cuba menghalangnya untuk mencapai cita-cita. Atau seorang wanita yang berkerjaya dan berpangkat dalam satu-satu jabatan yang terus naik meninggi, akan tetapi ia tidak memakai hijab atau tidak menjaga batas auratnya.
Sebagai ibaratnya adalah, bagaikan seorang ibu yang memberikan gadget kepada anak kecilnya,kerana sudah bosan dengan karenah anak kecilnya itu, kemudia ia berkata “mainlah 'nak' sepuas-puasnya, seharian-harian tanpa memikirkan kesan terhadap anak itu”.
Rasulullah Sallahua'laihiwasallam bersabda mengenai istidraj,
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
“Bila engkau melihat Allah Ta’ala memberi hamba dari (perkara) dunia yang diinginkannya, padahal dia terus berada dalam kemaksiatan kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa hal itu adalah istidraj dari Allah.” (Hadith Riwayat Ahmad, lihat Shahihul Jami’ no. 561)
Demikian juga istidraj dalam ayat berikut yang disebut dengan makar Allah,
أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ
Maka apakah mereka merasa aman dari azab (مَكْرَ) Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman dan azab Allah kecuali orang-orang yang merugi.” (Al-A’raf: 99)
Syaikh Muhammad bin Abdul Aziz Al-Qar’awi menjelaskan,
مكر الله: هو استدراج العاصي بالنعم… حيث إنهم لم يُقدِّروا الله حق قدره، ولم يخشوا استدراجه لهم بالنعم وهم مقيمون على معصيته حتى نزل بهم سخط الله، وحلت بهم نقمته
“Makar Allah adalah istidraj bagi pelaku maksiat dengan memberikan kenikmatan/kebahagiaan… mereka tidak memuliakan Allah sesuai dengan hak-Nya. Mereka tidak merasa khawatir [tidak rasa bimbang] dengan istidraj kenikmatan-kenikmatan bagi mereka, padahal mereka terus-menerus berada dalam kemaksiatan sehingga turunlah bagi mereka murka Allah dan menimpa mereka azab dari Allah.”(Al-Jadid fii Syarhi Kitabit tauhid hal. 306, Maktabah As-Sawadi
Diantara doa yang Kerap Dibaca oleh Rasulullah Sallahua'laihiwasallam adalah sebagaimana hadith
yang diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata:
كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Doa Nabi Sallahua'laihiwasallam yang paling sering diucapkan ialah:
(اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) - “Ya Allah, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.” (Hadith Riwayat Bukhari,6389 dan Muslim,7016)
Imam Muslim menambahkan dalam riwayatnya:
وَكَانَ أَنَسٌ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدَعْوَةٍ دَعَا بِهَا، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدُعَاءٍ دَعَا بِهَا فِيهِ
Maksudnya: "Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan banyak doa, maka dia menyertakan doa tersebut di dalamnya."
Dalam hadis yang turut diriwayatkan oleh Anas R.A, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ.
Maksudnya: Adalah Rasulullah Sallahua'laihiwasallam selalu mengucapkan:
“يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك”
(Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu). Kemudian aku pun bertanya: "Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau kepada kami?" Baginda menjawab: "Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya."
[Hadith Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi
dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)]
Manakala hadis lain yang diriwayatkan daripada Syahr bin Hausyab, katanya:
قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ ؟ قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ ؟ قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ ، فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ ، وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.
Maksudnya: Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah Sallahua'laihiwasallam yang paling banyak apabila Baginda Sallahua'laihiwasallam disisi engkau?" Beliau menjawab: “Doa Baginda Sallahua'laihiwasallam yang paling banyak adalah: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) -
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” - Ummu Salamah berkata: "Aku pernah berkata kepada Rasulullah Sallahua'laihiwasallam; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa:
“يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”.
Lalu Baginda Sallahua'laihiwasallam menjawab: "Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya."
[Hadiyh Riwayat Imam Ahmad (26618) dan al-Tirmizi (3522)]
Berdasarkan nas-nas yang dinyatakan di atas, maka dapat disimpulkan, antara doa yang kerap dibaca oleh Baginda Rasulullah Sallahua'laihiwasallam ialah, antaranya:
Menurut hadis daripada Anas R.A:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”
Menurut hadis daripada Anas R.A dan Ummu Salamah R.Anha:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
Walaubagaimanapun, ini bukanlah bererti bahawa doa itu hanya terbatas kepada doa-doa tersebut, akan tetapi kita digalakkan untuk mengamalkan semua doa yang ma'thur sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan hadith-hadith yang sahih.
Rasulullah Sallahua'laihiwasallam menggambarkan bagaimana kasih sayang dan azab Allah. Beliau bersabda,
لَوْ يَعْلَمُ الْمُؤْمِنُ مَا عِنْدَ اللَّهِ مِنْ الْعُقُوبَةِ مَا طَمِعَ بِجَنَّتِهِ أَحَدٌ، وَلَوْ يَعْلَمُ الْكَافِرُ مَا عِنْدَ اللَّهِ مِنْ الرَّحْمَةِ مَا قَنَطَ مِنْ جَنَّتِهِ أَحَدٌ
“Andaikan mukmin mengetahui azab yang disediakan Allah; niscaya tidak ada seorangpun yang berharap boleh mendapatkan syurga-Nya. Dan seandainya orang kafir mengetahui kasih sayang yang ada pada Allah; niscaya tak ada seorangpun yang tidak berharap boleh meraih syurga-Nya”. (Hadith Riwayat Muslim)
Semoga kita dapat melazimi dan memperbanyakkan doa dalam kehidupan seharian serta dikabulkan permintaan kita oleh-Nya. آمين.
No comments:
Post a Comment