Sunday, December 8, 2019

Bashirah( الْــبَصِيْرةِ) akan lenyap kerana kelalaian

Bashirah( الْــبَصِيْرةِ) akan lenyap kerana kelalaian

Syeikh Ibnu Atha’illah menuliskan dalam kitab Al-Hikam:

اِجْتِهَادُكَ فِيمَا ضُمِنَ لَكَ، وَ تـَقْصِيْرُكَ فِيمَا طُلِبَ مِنْكَ، دَ لِيلٌ عَلَى انـــْطِمَاسِ الْــبَصِيْرةِ مِنْكَ

"Kesungguhanmu pada apa-apa yang telah Dia Ta’ala jamin bagimu, dan kelalaianmu pada apa-apa yang Dia Ta’ala tuntut darimu, merupakan bukti atas lenyapnya bashirah darimu!" Al-Hikam Pasal 5

Ijtihad(اِجْتِهَادُ ): Dalam pengertian ilmu Tasawwuf adalah giat atau bersungguh-sungguh tanpa kenal letih dan lelah,  dimana seluruh kekuatan diarah dan ditumpukan untuk mendapat sesuatu yang ditujukan

Taqsir(تـَقْصِيْرُ ): Meninggalkan sesuatu dengan sebab kurang perhatian atau dengan sebab kecuaian. Atau tidak mengerjakan sesuatu dengan sempurna sesuai dengan tuntutannya. 

Al-Bashar(البصر): Mata jasmani yang dapat melihat menggunakan organ mata. 

Al-Bashirah (الْــبَصِيْرةِ): Matahati: sesuatu yang disebut dengan mata yang ada di dalam hati,  yang dapat menangkap segala sesuatu yang bersifat maknawiyah(yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera yang lima) 
(الْــبَصِيْرةِ) dalam istilah agama (baca:Tasawwuf) untuk "mata hati" yang memiliki fungsi khusus(spesifik). Di dalam Al-Quran terdapat banyak kata tentang "bashirah", misalnya dalam Surah Al-Israa' [17]: 72 ada dinyatakan, 

وَمَنْ كَانَ فِي هَٰذِهِ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًا

Maksudnya:Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar. (Surah Al-Israa, 72)

Atau dalam ayat lain disebutkan:

خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ ۖ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya:Allah telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka, dan bashiirah(penglihatan) mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang amat berat. Surah Al-Baqarah : 7

Walaupun seseorang itu boleh melihat hingga ke hujung dunia atau dapat melihat hingga menembusi langit yang ke tujuh, namun bila dia masih kebingungan  dan teraba-raba serta lemas dalam mencari kenikmatan kehidupan dunia semata-mata, maka itu adalah suatu penanda bahawa bashirah-nya masih tertutup.

Kerana Bashirah(الْــبَصِيْرةِ) itu bukan untuk melihat hal-hal di luar diri, tetapi untuk melihat kebenaran hakikat. Al-Bashirah (الْــبَصِيْرةِ) adalah untuk melihat الْحَقُّ/Al-Haqq (kebenaran) dalam segala sesuatu, dalam segenap ufuk dan dalam dirinya. Sebagaimana firman-Nya:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya:"Akan Kami memperlihatkan kepada mereka ayat-ayat(tanda-tanda) Kami di segenap ufuk(wilayah) bumi dan pada nafs-nafs (diri-diri)mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa Al-Haqq(Al-Qur'an) itu adalah benar. Tiadakah cukup bahawa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu? —Q.S. Fushshilat [41]: 53

Bashirah (Mata hati) inilah yang merupakan tempat untuk mengenal Allah (ma’rifatullah) agar dapat beriman kepada Allah. Matahati yang terbuka untuk melihat keagungan Allah dan mampu mendekatkan hati dengan Tuhan,mata hati yang mampu melihat keagungan Tuhan disemua benda yang dilhat.
Mata hati ini juga akan selalu merasa dilihat oleh Allah, ini disebabkan kerana keyakinannya yang sangat kuat akan keberadaan Allah Ta'ala, kerana keyakinannya tersebutlah maka jiwa akan tunduk pada Allah, apapun yang Allah katakan dalam wahyunya akan ia laksanakan dengan sepenuh hati termasuk menyakini semua ketentuan Allah yang Allah sudah atur, hidupnya tidak akan dirisaukan oleh perkara dunia seperti rezeki, kekayaan, harta, jabatan, pasangan hidup, dan lain-lain, dia menyedari bahawa kedudukan di dunia hanya sebagai seorang hamba, yang ia lakukannya hanyalah beribadah, semua tindakan di alam dunia ini ia lakukan atas dasar ketaatan kepada Allah, dan ia tidak akan mengusik-ngusik kedudukan Allah sebagai Maha pengatur kehidupan, termasuk pengaturan rezeki, bila ia ditakdirkan menjadi orang kaya maka ia akan bersyukur dengan menggunakan kekayaanya itu di jalan Allah, apabila ia ditakdirkan menjadi orang miskin maka ia tidak akan mengeluh ia akan menjadi orang yang bergembira dalam kesabarannya, ia akan selalu gembira seperti gembiranya seorang kekasih yang sudah lama berpisah akhirnya bertemu, dalam kemiskinan ia akan lebih taat dan dalam kejayaan ia akan semakin taat. Miskin dan kaya hanyalah sebuah kedudukan atau status yang diberikan Allah kepada manusia. Tidak ada yang Allah bezakan, yang menjadi ukuran bagi Allah adalah ketaqwaan hamba-Nya. Sebagaimana firman Allah Ta’ala,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya:“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al Hujurat,13)

Sesuatu yang telah dijamin oleh Allah untuk manusia, diantara salah satu darinya adalah  rezekinya, sebagaimana difirmankan oleh Allah Subhanahuwata'ala,

.وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

Maksudnya:"Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh)". Surah Hud, 6

Dengan ayat tersebut dapat kita simpulkan bahawa rezeki kita telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa, baik sedikit atau pun banyaknya. Justeru selayaknya sebagai seorang hamba yang patuh terhadap-Nya itu menerima apa yang telah ditetapkan oleh-Nya dengan penuh rasa syukur, kerana besar kecilnya, banyak sedekitnya rezeki kita merupakan kebijaksanaan dari-Nya yang tidak dapat ditawar menawarkan.

Adapun hal yang dituntut dari seorang hamba ialah bukti pengabdian kepada Allah Subhanahuwata'ala. Sebagaimana disebutkan oleh-Nya;

وَأَنِ اعْبُدُونِي ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ

Maksudnya:“Dan hendaklah kamu menyembah-Ku, inilah jalan yang lurus” (Surah Yasin,61).

Jadi pengabdian merupakan sesuatu yang wajib diutamakan bagi seorang hamba demi meraih kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat kelak.

Berusaha mencari rezeki yang halal tidak salah, akan tetapi jangan sampai lupa diri, sehingga seluruh penghidupan ditumpukan kepada urusan duniawi sahaja. Apabila tumpuan hanya diberikan untuk urusan duniawi sahaja, pasti akan menyebabkan kurang kesungguhan untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan agama. 

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ

Maksudnya:"Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa". Surah Thaha, 132

Apabila seseorang itu bekerja sekeras mungkin, dengan tujuan mencari rezeki yang pasti telah ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata'ala. dan dia pula telah melalaikan ibadah yang seharusnya menjadi  keutamaan baginya, maka orang tersebut telah tertutup mata hatinya, sehingga tidak dapat membezakan sesuatu yang seharusnya diberi keutamaan didalam hidupanya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ 

Maksudnya:"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi". Surah al-Munafiqun, 9)

Jikalau Allah Subhanahuwata'ala. selalu memberikan  dan mencukupkan rezeki bagi orang kafir yang enggan untuk menyembah-Nya, bagaimana pula dengan orang yang beriman dan mahu menyembah-Nya?

No comments:

Post a Comment

Keteguhan Iman

Keteguhan Iman Dari segi bahasa, iman berarti "percaya" atau "membenarkan". Iman bermaksud kepercayaan atau keyakinan ya...