Monday, November 11, 2019

Bahaya arak dan hukumnya di dunia dan di akhirat

Bahaya arak dan hukumnya di dunia dan di akhirat

ARAK adalah minuman yang merosakkan kesihatan tubuh badan, akal fikiran serta meruntuhkan institusi rumah tangga, masyarakat dan negara.

Memang terbukti wujud hubungan rapat pelbagai penyakit, kecelakaan di jalan raya, rumah tangga berantakan dan kes pemerkosaan berpunca daripada pengambilan arak.

Sebahagian senarai kerosakan yang dinyatakan itu jelas membuktikan arak adalah ‘ibu’ kepada segala kejahatan.Hal ini selaras dengan hadith Rasulullah Sallahualaihiwasallam:

اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ

Ertinyanya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.”
Hadith riwayat al-Hakim (4/145)

Begitu juga, hadith daripada Uthman RA secara mauquf:

اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ

Ertinyanya: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.” Hadith riwayat al-Nasaie (8/315)

Semua minuman yang memabukkan akan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan manusia umumnya dan khususnya orang Islam, sehingga boleh menyebabkan putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.

Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
(Surah al-Maidah: 91)

Kesan toksik bahan alkohol boleh mempengaruhi sistem saraf manusia menyebabkan berlaku gangguan perilaku seperti hilang rasa malu, gagal mengawal diri, hilang ingatan dan berada dalam khayalan. Inilah yang dimaksudkan dengan istilah 'mabuk' yang digunakan dalam masyarakat iaitu pemikiran menjadi terlalu kacau dan menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan bijak dan sepatutnya. Istilah 'yang memabukkan' pula ialah minuman yang menyebabkan seseorang itu mabuk tanpa mengira kadarnya. Justeru itu, haram hukumnya bagi seseorang itu meminum minuman yang memabukkan sama ada kadar yang diminum itu sampai had yang memabukkan ataupun tidak, dan sama ada peminum itu mabuk ataupun tidak.

Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

Ertinya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.”Hadith Riwayat Abu Daud (368), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)

Dan juga jadith daripada Aisyah R.Anha, katanya, sabda Rasulullah Sallahualaihiwasallam:

كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ

Ertinya: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq (فرق) boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.” Hadith riwayat al-Tirmizi (1867) dan Abu Daud (2687)

Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal. Allah Subhanahuwata'ala mengurniakan nikmat yang berbagai-bagai kepada manusia dan yang paling utama ialah nikmat akal yang membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain.

Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”(Surah al-Maidah: 90)

Peminum arak berhadapan dengan dua hukuman iaitu di dunia dan juga di akhirat, 

Pertama: Hukuman yang dilaksanakan di dunia, iaitu dengan hukum hukum hudud ( حُدُود‎ ).

Hukuman bagi orang yang minum minuman yang memabukkan sama ada arak atau yang lainnya dengan sengaja adalah dengan sebatan 40 kali, ini dinamakan sebagai hukum hudud ( حُدُود‎ ). Namun pemerintah harus menambah hukuman tersebut sehingga 80 kali sebatan sebagai tambahan,  ini dinamakan sebagai hukum ta’zir (تعزير). Ini berdasarkan hadith daripada Anas RA:

كَانَ يَضْرِبُ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ أَرْبَعِينَ

Ertinya: “Nabi Sallahualaihiwasallam menyebat peminum arak sebanyak 40 kali sebatan dengan pelepah tamar dan selipar.”Hadith riwayat Muslim (1706)

Hadith yang lain iaitu riwayat Anas RA:

أَنَّ نَبِىَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَلَدَ فِى الْخَمْرِ بِالْجَرِيدِ وَالنِّعَالِ ثُمَّ جَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ. فَلَمَّا كَانَ عُمَرُ وَدَنَا النَّاسُ مِنَ الرِّيفِ وَالْقُرَى قَالَ: مَا تَرَوْنَ فِى جَلْدِ الْخَمْرِ؟ فَقَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا كَأَخَفِّ الْحُدُودِ. قَالَ: فَجَلَدَ عُمَرُ ثَمَانِين

Ertinya: “Nabi Sallahualaihiwasallam menyebat peminum arak dengan pelepah tamar dan selipar sebanyak 40 kali. Abu Bakar juga pernah menyebat 40 kali. Pada zaman Umar RA, ramai orang dari pedalaman dan kampung datang ke Madinah, lalu Umar bertanya kepada para sahabat, katanya: “Apakah pendapat kamu tentang hukuman sebat atas peminum arak?” Jawab Abdul Rahman bin ‘Auf: “Aku fikir, kamu menjalankan hukum hudud yang paling ringan.” Abdul Rahman berkata: “Selepas itu, Umar RA menghukum 80 kali sebatan.” Hadith Riwayat Muslim (4551)

Perkataan Umar itu menjelaskan bahawa hukum sebatan yang melebihi 40 kali adalah ta’zir dan bukan hudud.

Ini selaras dengan hadith daripada Uthman RA:

فَاجْلِدْهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جَعْفَرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا. وَعَلِىٌّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَعُدُّ حَتَّى بَلَغَ أَرْبَعِينَ فَقَالَ أَمْسِكْ. ثُمَّ قَالَ جَلَدَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ وَعُمَرُ ثَمَانِينَ وَكُلٌّ سُنَّةٌ وَهَذَا أَحَبُّ إِلَى

Maksudnya: “Uthman RA memerintahkan al-Walid bin Uqbah bin Abu Muait disebat, lalu dilakukan oleh Abdullah bin Ja’far RA, manakala Ali RA pula mengiranya. Apabila sampai 40 kali sebatan, Ali memberitahu Abdullah supaya berhenti, seraya berkata: “Nabi Sallahualaihiwasallam menyebat 40 kali, begitu juga Abu Bakar, akan tetapi, Umar RA menyebat 80 kali. Semuanya adalah sunnah. Namun, hukuman ini yang lebih aku suka.” Hadith riwayat Muslim (1707)

Apa yang dimaksudkan oleh Sayyifina Ali ialah hukuman sebatan 40 kali itu adalah daripada Nabi Sallahualaihiwasallamdan itu sudah memadai. Dan kadar hukuman inilah yang lebih selamat daripada menambahnya, kerana ditakuti berlaku kezaliman. 

Sayyidina Ali menjelaskan tindakan Umar RA menyebat 80 kali adalah seperti berikut:

نَرَى أَنْ تَجْلِدَهُ ثَمَانِينَ فَإِنَّهُ إِذَا شَرِبَ سَكِرَ وَإِذَا سَكِرَ هَذَى وَإِذَا هَذَى افْتَرَى

Maksudnya: “Kami berpendapat, engkau menghukum 80 kali sebatan adalah kerana apabila seseorang minum arak dia mabuk, ketika mabuk dia merepek, seterusnya berbohong.”
Hadith riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (1541)

Ulama fiqh menjelaskan bahawa hukuman berbohong menuduh orang lain berzina ialah 80 kali sebatan.

Kedua: Hukuman  pada hari Kiamat.

Ulama sepakat menyatakan bahawa meminum minuman yang memabukkan dengan sengaja adalah berdosa besar. Dan hukuman atau 
balasan di Hari kiamat  amatlah dahsyat selagi tidak mendapat keampunan daripada Allah Subhanahuwata'ala, ini adalah berdasarkan hadith daripada Jabir RA , sabda Nabi Sallahualaihiwasallam:

إِنَّ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ عَهْدًا لِمَنْ يَشْرَبُ الْمُسْكِرَ أَنْ يَسْقِيَهُ مِنْ طِينَةِ الْخَبَالِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا طِينَةُ الْخَبَالِ؟ قَالَ: عَرَقُ أَهْلِ النَّارِ أَوْ عُصَارَةُ أَهْلِ النَّارِ

Ertinya: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan (طينة الخبال). Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.”Hadith riwayat Muslim (2002)

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...