Adakah sah atau batal solat ketika azan sedang dilaungkan?
Hukumnya adalah sah solat ketika azan sedang dilaungkan, Ini kerana syarat sah solat satu darinya adalah kerana masuk waktu solat bukan kerana azan.
Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Ertinya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.(Surah al-Nisa’, 103
Selain itu terdapat juga syarat sah solat yang lain di antaranya ialah suci daripada hadas, suci daripada najis, menutup aurat, masuk waktu dan mengadap kiblat.
Sedangkan azan pula adalah sebagai pemberitahuan atau tanda telah masuknya waktu solat. Definasi azan adalah,
الإِْعْلاَمُ بِوَقْتِ الصَّلاَةِ الْمَفْرُوضَةِ، بِأَلْفَاظٍ مَعْلُومَةٍ مَأْثُورَةٍ، عَلَى صِفَةٍ مَخْصُوصَةٍ
Pemberitahuan perihal masuknya waktu solat fardu, dengan menggunakan lafazh-lafazh yang ma’tsurah, dengan cara yang khusus. (Musuah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, jilid 2, hlm. 357.)
Azan bukanlah sekadar tanda bahawa waktu solat telah tiba, akan tetapi ia juga merupakan bahagian dari syiar Islam bertujuan menyeru kepada manusia bahawa masuknya waktu solat fardu serta mengajak umat Islam supaya menunaikan solat secara berjemaah. Meskipun pendapat utama dalam mazhab Asy Syafi’i bahwa hukum azan adalah sunat, namun ada pendapat ke dua yang menyatakan bahwasannya hukumnya fardu kifayah, kerana ia merupakan syi’ar Islam, jika demikian ketika seluruh penduduk sebuah negeri sepakat untuk meninggalkannya maka mereka harus diperangi. (Mughni Al Muhtaj, 1/319)
Sebagaimana Firman Allah Subhanahuwata'ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)(Surah al-Jumuah 9)
Begitu juga hadith daripada Sulaiman dan Malik bin Huwairis R.Anhuma sabda Nabi Sallahualaihiwasallam,
إِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ، ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ
Maksudnya: Apabila tiba waktu solat hendaklah seorang di kalangan kamu azan dan yang lebih dewasa menjadi imam.Riwayat al-Bukhari (6008
Namun pun begitu, mendirikan solat selepas azan adalah lebih afdhal. Hal ini adalah berdasarkan hadith Yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr R.Anhuma sabda Nabi Sallahualaihiwasallam:
اذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
Maksudnya: Apabila kamu mendengar seruan muazzin, jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku, sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang di kalangan hamba Allah, dan aku berharap akulah orangnya. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat. Riwayat Muslim (384)
Oleh itu, menunaikan solat selepas azan dapat melakukan tuntutan yang disunatkan semasa azan berkumandang seperti menjawab azan, berselawat dan memohon doa kepada Allah Subhanahuwata'ala. Dan dengan melakukan perkara berikut akan mendapat ganjaran istimewa yang dijanjikan Allah Subhanahuwata'ala.
No comments:
Post a Comment