Thursday, October 31, 2019

Hukum mengirim DOA ke Tanah Haram Makkah

Hukum mengirim DOA ke Tanah Haram Makkah

Perbuatan mengirimkan doa ke Tanah haram Makkah, hukumnya adalah dibolehkan. Sebuah riwayat daripada Saidina Umar al-Khattab R.A bahawa beliau pernah meminta izin kepada Nabi Sallahualaihiwasallam untuk menunaikan umrah, lalu baginda mengizinkannya dan berkata kepada Umar:

لاَ تَنْسَنَا يَا أُخَىَّ مِنْ دُعَائِكَ

Maksudnya: Jangan lupakan kami wahai saudaraku dari doa kamu. HR Abu Daud (1498)

Hadith yang lengkap adalah seperti berikut, 

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ اسْتَأْذَنْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْعُمْرَةِ فَأَذِنَ لِي وَقَالَ لَا تَنْسَنَا يَا أُخَيَّ مِنْ دُعَائِكَ فَقَالَ كَلِمَةً مَا يَسُرُّنِي أَنَّ لِي بِهَا الدُّنْيَا قَالَ شُعْبَةُ ثُمَّ لَقِيتُ عَاصِمًا بَعْدُ بِالْمَدِينَةِ فَحَدَّثَنِيهِ وَقَالَ أَشْرِكْنَا يَا أُخَيَّ فِي دُعَائِكَ
HR Abu Daud (1498)

Berdoa di tanah haram tidak dinafikan mempunyai beberapa kelebihan dan keutamaannya yang tertentu. Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif (Hlm. 269) yang berkata:

Ketahuilah bahawasanya penggandaan pahala bagi setiap amalan itu berlaku dengan beberapa sebab, diantaranya adalah kemuliaan tempat yang dilakukan padanya amalan tersebut, seperti tanah haram. Oleh kerana itulah solat di dalam dua masjid Makkah dan juga Madinah itu dilipatgandakan ganjarannya. Sebagaimana yang telah sabit di dalam sebuah hadis yang sahih daripada Nabi Sallahualaihiwasallam baginda bersabda:

 صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ - أَوْ كَأَلْفِ صَلاَةٍ - فِيمَا سِوَاهُ مِنَ الْمَسَاجِدِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: Solat di dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) adalah lebih baik berbanding 1000 solat – atau menyamai 1000 solat – berbanding masjid-masjid selainnya, kecuali Masjid al-Haram. HR Muslim (1394)

Ini adalah jelas menunjukkan bahawa ibadah yang dilakukan di tanah haram itu akan dilipatgandakan ganjaran pahalanya, dan termasuklah dalam perbuatan ibadah itu adalah doa yang dilakukan oleh sesorang itu di dalam tanah haram.

Perbuatan berdoa pula adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh An-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: Berdoa itu adalah suatu ibadah.

Kemudian baginda membaca firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu”.Surah al-Ghaafir (60) HR Abu Daud (1479)

Berdasarkan hadis dan ayat di atas, berdoa itu bukan sekadar suatu ibadah, bahkan ia merupakan suatu perintah dari Allah Subhanahuwata'ala buat sekalian para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. 
Bukan sekadar itu, Allah Subhanahuwata'ala turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-Nya. Hal ini secara jelas menggambarkan peri pentingnya ibadah doa, sehingga menjadi suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya. 
Dalam masa yang sama kita sendiri turut dituntut untuk tidak mengabaikan doa sendiri di negara kita.

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...