Hukum melihat sembelihan korban.
Harus bagi seseorang itu untuk mewakilkan orang lain untuk menyembelih binatang korban buat dirinya namun di"sunat"kan bagi seseorang yang melakukan korban untuk melihat sembelihannya. Ini berdasarkan sebuah hadith yang mana Rasulullah Sallahualaihiwasallam telah bersabda:
قَوْمِي إِلَى أُضْحِيَّتِكَ فَاشْهَدِيهَا فَإِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوبُكَ. قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَنَا أَهْلَ الْبَيْتِ خَاصَّةً أَوْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً
Maksudnya: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu. Fatimah bertanya: Wahai Rasulullah! Ini adakah untuk kita ahli Bait sahaja atau untuk kita dan orang Islam keseluruhannya? Jawab Rasulullah Sallahualaihiwasallam: Bahkan untuk kita dan orang Islam keseluruhannya”.Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak (7525)
Namun begitu, yang terbaik adalah apabila orang yang berkorban itu sendiri menyembelih binatang korbannya.justeru itu, maka disunatkan bagi mereka yang ingin melakukan korban menyembelih sendiri binatang korbannya.
Ini sabit berdasarkan hadith Nabi Sallahualaihiwasallam yang mana Baginda sendiri yang menyembelih binatang korbannya berdasarkan riwayat Anas bin Malik RA:
ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا
Maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut.” HR Al-Bukhari (5565) & Muslim (1966)
Diantara pengajaran dari hadith di atas:
1-Fatimah R.Anha telah mewakilkan orang lain untuk melakukan sembelihan baginya.
2-Arahan Nabi Sallahualaihiwasallam kepada Fatimah R.Anha untuk menyaksikan sendiri proses sembelihan itu menunjukkan sunat bagi seseorang yang melakukan korban untuk melihat sembelihannya.
3- Kelebihan menyaksikan sembelihan sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa yang terdahulu.
4-Hadir menyaksikan proses sembelihan itu dapat menzahirkan syiar Islam.
No comments:
Post a Comment