Thursday, March 17, 2022

Ujub(Berbangga diri)


Ujub(Berbangga diri) 


Pekerti mazmumah ialah pekerti tercela menurut pandangan akal dan syariat Islam. Pekerti tercela dalam bahasa Arab dikenali sebagai sifat-sifat mazmumah, ianya merupakan sifat-sifat yang bercanggah dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Sebarang sifat yang tergolong dalam kategori pekerti buruk amat dibenci dan dikeji dalam pandangan Islam. Antara sifat mazmumah adalah ujub atau bangga diri. 

Menurut Kamus Dewan, ujub bermaksud kagum terhadap diri sendiri, angkuh, bongkak dan ego.

Ujub bermaksud bangga akan diri sendiri atau berasa takjub atau merasa kagum terhadap diri sendiri kerana kelebihan atau sesuatu yang terdapat padanya. Ujub ini menyebabkan seseorang itu memandang diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran sebaliknya memandang orang lain dengan pandangan penghinaan.


Ujub termasuk daripada sifat-sifat yang dicela. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ


Maksudnya: maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa". Surah al-Najm ayat 32.


Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/309) berkata: Yakni kamu memujinya, mensyukurinya dan bercita-cita dengan amalan kamu. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah bersabda,


لاَ تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمُ اللَّهُ أَعْلَمُ بِأَهْلِ الْبِرِّ مِنْكُمْ


Maksudnya: Jangan kamu mensucikan diri kamu kerana Allah lebih mengetahui orang yang paling baik dalam kalangan kamu". Riwayat Muslim (5733)


Hadith ini sebagaimana riwayat Amru bin 'Atha' berkata: Aku menamakan nama anak perempuanku dengan Barrah (kebajikan atau kebaikan) lantas Zainab binti Salamah berkata kepadaku: Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam melarang nama ini, sedangkan kamu menamakannya dengan Barrah.


Imam al-Nawawi berkata, makna hadis ini: hendaklah menukar nama yang buruk atau yang makruh kepada nama yang baik. (Lihat Syarah Sahih Muslim, 14/120)


Lawan ujub ialah zikr al-minnah (ذكر المنّة) yang bermaksud mengingati kurniaan Allah. Ia harus diingati bahawa amal soleh yang dapat diamalkan itu kerana adanya taufik daripada Allah Subhanahuwata'ala. Sesungguhnya Allah lah yang memuliakan amalannya dan memperbanyakkan pahalanya.


Menurut Imam al-Ghazali al-Arba’in fi Usul al-Din, hakikat ujub itu merujuk kepada pengagungan diri sendiri antaranya dari aspek kenikmatan yang dimiliki tanpa melihat kepada pemilik nikmat yang sebenar yakni Allah.


Namun, jika seseorang itu melihat bahawa ia memiliki ilmu, amal perbuatan dan seumpamanya yang merupakan kurniaan Allah dan berasa bangga dengannya dan bimbang kehilangannya maka ia bukanlah ujub. Ini kerana ujub lebih kepada tidak mengaitkan segala kenikmatan kepada pemberi asalnya yakni Allah.


Contoh sifat ujub yang sering ditemukan dalam kehidupan sehari-hari adalah sebagai berikut:


1-Ketika rajin beribadah, ia merasa kagum dengan ibadah yang dilakukannya.


2-Ketika merasa cukup berilmu, ia akan kagum dengan ilmunya.


3-Ketika merasa dirinya cantik atau tampan, ia akan terus mengagumi kecantikan atau ketampanannya tersebut.


4-Ketika merasa dirinya dermawan kepada semua orang, ia pun merasa kagum atas kebaikannya tersebut.


Sifat ujub amat berkait rapat dengan takbur dan riak. Ketika seseorang itu memiliki sifat ujub, maka secara tidak sedar bahawa dirinya telah memiliki sifat takabur ataupun sombong. Sifat inilah yang membuat seseorang itu tidak akan masuk syurga Allah. Seperti sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, 


عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ


Maksudnya:"Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Tidak akan masuk surga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari kesombongan." Seorang laki-laki bertanya, "Sesungguhnya laki-laki menyukai baju dan sandalnya bagus (apakah ini termasuk kesombongan)?" Beliau menjawab, "Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia". Muslim (131)


Ujub juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan, kepandaian, kekayaaan, anggota keluarganya atau apa sahaja yang dekat dan akrab dengan dirinya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِنْدِي ۚ أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِنْ قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا ۚ وَلَا يُسْأَلُ عَنْ ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ


Maksudnya:"Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku". Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka". Al-Qasas ayat 78.


لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ


Maksudnya:"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, yaitu diwaktu kamu menjadi congkak karena banyaknya jumlah(mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari kebelakang dengan bercerai-berai". Al-Taubah ayat 25.


وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ


Maksudnya:"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri". Luqman 18.


Ujub ialah satu penyakit hati yang sukar diubati. Ujub ini menyebabkan seseorang itu memandang diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran sebaliknya memandang orang lain dengan pandangan penghinaan.


Tanda-tanda orang yang bersifat ujub ini ialah ia selalu berkata ‘aku begini, begini’. Ia menuruti sikap sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam surah al-A’raf ayat 12,


قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ


Maksudnya:"Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis "Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah". Al-A'raf ayat 12.


Selain itu, tanda ujub juga ialah suka mengangkat diri, anggap diri lebih berkebolehan melebihi orang lain, suka menonjol diri dalam perbincangan dan tidak suka jika ada orang lain tolak pandangannya.


Ia juga berkaitan dengan sikap takbur yang mana ia tidak suka diberi nasihat tetapi diri sendiri suka memberi nasihat secara kasar kepada orang lain. Seseorang yang beranggapan bahawa dirinya lebih baik dari orang lain, ini juga boleh dikaitkan dengan sifat takbur atau sombong.


Ujub hendaklah dirawat dan dihilangkan dengan proses penyucian diri serta menggantinya dengan akhlak yang mulia. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:


لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ


Maksudnya: Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya". Surah Ali Imran ayat 188.


Antara cara untuk mengubati penyakut ujub adalah;


1- Sifat ujub boleh diatasi dengan sentiasa memikirkan bahawa tiada benda di dunia ini akan kekal. Sentiasalah menghisab atau meneliti kekurangan diri sendiri (muhasabah) sebagai hamba Allah kerana ini akan melahirkan jiwa yang murni dan bebas daripada sifat-sifat tercela ini.


2-Hendaklah diinsafi bahawa seseorang itu dikatakan benar-benar hebat atau lebih baik adalah dilihat pada akhir umur atau hayat seseorang.

Pada masa sekarang tidak diketahui lagi, siapakah sebenarnya yang lebih hebat. Jika seseorang itu beranggapan dirinya yang lebih baik berbanding orang lain ketika ini, maka ia sebenarnya jahil tentang ini.


3- Jika ia melihat seseorang yang lebih muda darinya, maka ia perlu beranggapan bahawa orang muda itu masih kurang maksiatnya berbanding dengan dirinya yang lebih berumur yang banyak melakukan maksiat.


4- Jika ia melihat seseorang yang lebih tua, maka ia perlu membayangkan bahawa orang berumur itu lebih dahulu melakukan kebaikan atau lebih banyak melakukan kebaikan berbanding dirinya yang masih muda dan masih kurang kebaikan yang dilakukan.


5. Jika ia melihat seseorang yang lebih alim, maka ia perlu beranggapan bahawa orang tersebut lebih banyak ilmunya dan telah diberi pelbagai pemberian dari Allah berbanding dirinya yang masih jahil.


6. Jika ia melihat orang jahil, maka ia perlu beranggapan bahawa si jahil itu berbuat maksiat kerana kejahilannya sedangkan dirinya sendiri berbuat maksiat dalam keadaan berilmu.


7. Jika ia melihat orang kafir, maka ia perlu beranggapan bahawa si kafir itu mungkin akan memeluk Islam sedangkan dirinya belum tentu akan istiqamah dengan agama Islam ketika menemui ajal nanti.


Semoga sifat ujub dapat dibersihkan dari hati kita. Ingatlah bahawa segala nikmat yang kita miliki adalah kurniaan daripada Allah dan hendaklah kita syukuri segala nikmat-nikmat itu tanpa menyalahgunakan nikmat-nikmat Allah untuk menghina  orang lain.


Ingatlah pesan Allah; Sangat sedikit hamba Allah yang bersyukur, iaitu dengan menggunakan nikmat Allah untuk beribadah kepada Allah, 


يَعْمَلُونَ لَهُ مَا يَشَاءُ مِنْ مَحَارِيبَ وَتَمَاثِيلَ وَجِفَانٍ كَالْجَوَابِ وَقُدُورٍ رَاسِيَاتٍ ۚ اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا ۚ وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ


Maksudnya:"Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang berterima kasih". Al-Saba' ayat 13.

Monday, March 14, 2022

Usaha tani sebagai memakmurkan bumi Allah

Usaha tani sebagai memakmurkan bumi Allah. 

Kebanyakan fuqaha Islam berpendapat bahawa bidang pertanian adalah lebih afdal atau utama di sisi agama Islam berbanding perniagaan, perusahaan atau perkilangan.


Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya, 


أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْ قَامَتْ السَّاعَةُ وَبِيَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ فَإِنْ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا يَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَفْعَلْ


Maksudnya:"Anas bin Malik berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, "Jika terjadi hari kiamat sedang salah seorang dari kalian mempunyai benih tanaman, jika mampu hendaklah jangan berdiri sampai dia menanamnya". Ahmad(12512)


Hadith ini menggambarkan kepada kita betapa pentingnya bidang pertanian sehinggakan hampir kiamat pun digalakkan lagi bercucuk tanam oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Ini menunjukkan bidang ini tidak boleh diabaikan sama sekali kerana ia adalah penyumbang utama kepada kehidupan manusia. Pertanian pula merupakan satu ibadah.


Hukum bertani boleh menjadi fardu ain dan satu kewajipan bagi seseorang jika itulah sumber pendapatannya untuk diri dan keluarga bagi keperluan menyara kehidupan. Begitu juga, jika pemerintah mengeluarkan arahan kepada seseorang yang ada kepakaran dalam satu-satu bidang pertanian yang diperlukan negara atau masyarakat dan tidak ada orang lain yang mampu melakukannya, maka dia juga wajib menjalankan usaha itu.


Namun, apabila ada ramai petani yang mampu melakukan usaha sedemikian, maka menjadi fardu kifayah kepada sesiapa melakukannya demi kepentingan awam untuk mengeluarkan bekalan makanan yang cukup bagi semua.


Sebelum era perindustrian, pertanian adalah dianggap sebagai perniagaan. Manusia mencari nafkah dengan mengusahakan pelbagai tanaman dan aktiviti penternakan.


Allah Subhanahuwata'ala menganugerahkan negara ini dengan iklim khatulistiwa yang berhawa tidak ekstram membolehkan apa sahaja jenis tanaman hidup subur.


Tidak seperti negara lain yang kekurangan kawasan tanah bersesuaian bagi menjalankan aktiviti pertanian.


Hakikat itu sepatutnya kita syukuri dengan melakukan aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat.


Namun pun begitu,  kita sesekali  dikejutkan dengan isu tanah terbiar. Kadang-kadang sektor pertanian hanya dianggap menjadi ‘milik’ mereka yang berusia. Sehingga banyak tanah kosong milik individu tidak diusahakan, sedangkan tanah itu berupaya dijadikan sebagai tapak usaha tani yang produktif.


Terdapat juga tanah terbiar milik perseorangan yang menjadi sarang hidupan berbahaya dan lebih merunsingkan, tanah terbiar itu dipenuhi lalang dan menjadi lokasi sarang nyamuk membiak.


Seharusnya isu tanah terbiar tidak timbul kerana kita sedia maklum Islam sangat menggalakkan umatnya menjalankan usaha memakmurkan bumi Allah dengan sesuatu yang boleh memberi manfaat seperti bertani.


Apabila seseorang mengusahakan tanah dengan aktiviti pertanian, ia satu usaha memakmurkan bumi Allah.

Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ


Maksudnya:"Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka Shaleh. Shaleh berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, karena itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertobatlah kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)."  Hud ayat 61


Ayat ini menunjukkan konsep hidup yang dinamakan amanah. Selain tujuan beribadah kepada Allah Subhanahuwata'ala, manusia dihidupkan untuk memakmurkan bumi ini dengan segala bentuk kebaikan. Konsep ini sudah diperkatakan sejak zaman awal peradaban manusia.


Tanggungjawab memakmurkan bumi bukan terhad kepada pembangunan rohani semata, sebaliknya juga membabitkan amanah memunafaat dan memelihara alam yang didiami oleh hampir keseluruhan makhluk bernyawa ciptaan Allah Subhanahuwata'ala.


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ ۖ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ


Maksudnya:"Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan". Al-Mulk ayat 15.


Dalam Islam, setiap usaha baik yang memberi manfaat untuk dirinya, keluarga dan masyarakat dikira amal yang berpahala di sisi Allah.


Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا، أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ، إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَة


Maksudnya: “Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang tiada yang lain kecuali baginya sebagai sedekah". Bukhari (2320)


Ibn Battal ketika menjelaskan hadith di atas menyebut: “Ini menunjukkan bahawa sedekah untuk semua jenis haiwan dan makhluk bernyawa di dalamnya terdapat pahala.” (Lihat Syarh Ibn Battal, 11/473)


Daripada aspek akidah, pertanian dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah. Hal ini kerana tanda kebesaran Allah dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman. Bertani akan lebih membuatkan seseorang itu memahami hakikat sebenar tawakal kepada Allah dan beriman kepada kekuasaan-Nya. Walaupun petani perlu bekerja keras dan menggunakan segala kepakaran untuk menjayakan usaha pertaniannya, namun yang memberikan hasil adalah Allah Subhanahuwata'ala.


Allah Subhanahuwata'ala befirman, 


وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُّتَرَاكِبًا وَمِنَ النَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّاتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُشْتَبِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ ۗ انظُرُوا إِلَىٰ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكُمْ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ


Maksudnya: "Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh­tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buahan) yang bergugus­gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dan mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berubah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman".    

AI-An'am ayat 99


Sebagai penutup, Allah Subhanahuwata'ala menjadikan rezeki daripada-Nya sebagai hasil kejayaan usaha manusia di muka bumi ini. Sudah tentu sesiapa yang berusaha dan bekerja, berhak untuk mendapatkan rezeki daripada Allah Subhanahuwata'ala dan sesiapa yang tidak bekerja maka dia tidak berhak mendapatkannya.

Friday, March 11, 2022

Hasad dengki

Hasad dengki

Pekerti mazmumah ialah pekerti tercela menurut pandangan akal dan syariat Islam. Pekerti tercela dalam bahasa Arab dikenali sebagai sifat-sifat mazmumah, ianya merupakan sifat-sifat yang bercanggah dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Sebarang sifat yang tergolong dalam kategori pekerti buruk amat dibenci dan dikeji dalam pandangan Islam. Antara sifat mazmumah adalah hasad dengki atau irihati. 


Hasad dengki atau irihati timbul daripada perasaan tidak senang yang muncul dalam hati seseorang terhadap seseorang yang lain yang memiliki kebaikan atau kelebihan. Sifat ini berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap nikmat atau kelebihan yang dimiliki oleh orang lain.


Sifat atau perasaan ini mungkin bersama dengan harapan untuk mendapat kebaikan atau kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut. Dan pada masa yang sama juga mungkin iri hati itu bersama cita-cita untuk melihat kejatuhan orang yang diirihatikan itu. 


Penyakit ini biasanya berjangkit pada orang-orang yang bergelut dalam dunia politik, bisnes, dalam dunia pekerjaan, keluarga, bahkan di kalangan orang-orang berilmu pun hasad dengki masih berlaku juga .


Firman Allah Subhanahuwata'ala, 


إِنْ تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِنْ تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا ۖ وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا ۗ إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ


Maksudnya:"Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi Jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan". Ali Imran ayat 120.


Jika dilihat dari aspek sejarah kehidupan, makhluk yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. 


Kisahnya, Allah menurunkan perintah agar mereka ini mempersembahkan korban, maka Habil menerima perintah tersebut dengan lapang dada dan memilih binatang ternakannya yang paling berkualiti untuk dipersembahkan kepada Allah dengan mengharapkan keredaan Allah Subhanajuwata'ala semata-mata. Sebaliknya pula, Qabil menerima perintah Allah dengan rasa terpaksa. Maka Qabil pun mempersembahkan hasil pertanian yang paling buruk kepada Allah Subhanahuwata'ala. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala, 


وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ


Maksudnya:"Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!". Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa". Al-Maidah ayat 27.

 

Qabil berdendam dengan Habil kerana korbannya yang terpilih, selain itu Qabil juga turut mendendami Habil kerana ayahanda mereka menjodohkan Habil dengan saudara kembarnya yang lebih cantik berbanding dengan saudara kembar Habil. Sebaliknya, Qabil pula dijodohkan dengan saudara kembar Habil yang berupa paras lebih sederhana.


Apabila Qabil mempunyai kesempatan untuk melepaskan dendamnya, maka diapun menemui Habil dan menyatakan,“Sesungguhnya aku mahu membunuhmu.” Habil pun bertanya dengan perasaan yang amat hairan, “Mengapa engkau mahu membunuh aku?” Jawab Qabil dengan hasad yang terbuku di dadanya, “Kerana Allah menerima korbanmu dan menolak korbanku, dan engkau akan menikahi saudara perempuanku yang cantik sedangkan aku pula harus menikahi saudara perempuanmu yang hodoh, sehingga orang lain akan berbicara bahawa engkau itu lebih baik daripadaku dan keturunanmu akan berbangga kepada keturunanku.”


…..قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ.


Maksudnya:"Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!". Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa". Al-Maidah ayat 27.


فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ


Maksudnya:"Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah ia seorang diantara orang-orang yang merugi. Al-Maidah ayat 30


Apabila Qabil berjaya membunuh Habil, timbul rasa menyesal dengan apa yang telah dilakukannya. Walau bagaimanapun, penyesalan tersebut hanya sia-sia kerana apabila Nabi Adam mengetahui mengenai peristiwa tersebut, baginda tidak mahu menerima kembali anaknya itu dan diapun dihalau. Dalam keadaan yang terbuang, Qabil telah menerima hasutan dan pengaruh iblis yang akhirnya menjadikan dirinya sesat dan melakukan pelbagai perkara yang keji. Lantaran itu, Allah telah memusnahkan keturunannya ketika zaman Nabi Nuh a. s. 


Pengajaran yang boleh dapati berdasarkan kisah dua putera Nabi Adam ini ialah, hasad dengki menyebabkan seseorang boleh bertindak tanpa rasional yang boleh menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan. Hasad dengki juga mendorong seseorang untuk melakukan perkara-perkara yang sesat


Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.


أَنَّ الزُّبَيْرَ بْنَ الْعَوَّامِ حَدَّثَهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ دَبَّ إِلَيْكُمْ دَاءُ الْأُمَمِ قَبْلَكُمْ الْحَسَدُ وَالْبَغْضَاءُ هِيَ الْحَالِقَةُ لَا أَقُولُ تَحْلِقُ الشَّعَرَ وَلَكِنْ تَحْلِقُ الدِّينَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَفَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِمَا يُثَبِّتُ ذَاكُمْ لَكُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ


Maksud:"Bahawa Az Zubair bin Al 'Awwam menceritakan padanya bahawa Nabi ﷺ bersabda, "Penyakit umat-umat sebelum kalian menular mendatangi kalian; hasad dan kebencian, itu pencukur/pemangkas. Aku tidak mengatakan mencukur/memangkas rambut tapi memangkas/mencukur agama. Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, kalian tidak masuk surga hingga kalian beriman dan kalian tidak beriman hingga kalian saling menyintai. Maukah kalian aku beritahu yang menguatkan hal itu pada kalian?; Yaitu sebarkanlah salam diantara kalian". Riwayat al-Tirmizi(2434). 


Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai rasa permusuhan dan kebencian. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa berbaik-baik sesama manusia dan sayang-menyayang dengan saudara seIslam adalah keperluan bagi kekuatan ummah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang muslim. Orang yang berada dalam lingkungan ini sudah pasti tidak gemar untuk menyumbang kebajikan kepada orang lain ataupun mendengar kebahagiaan yang dimiliki oleh saudaranya (seIslam).


Hasad dengki juga lahir disebabkan merasa dirinya berada dalam kedudukan yang lebih tinggi dan mulia berbanding orang lain. Apabila dia melihat keadaan orang lain yang mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tidak dimilikinya, dia menjadi rasa tercabar. Perasaan tersebutlah yang dinyatakan sebagai dengki.


Lebih malang lagi apabila wujud manusia bertopengkan agama tetapi jiwa penuh dengan hasad dengki hinggakan sanggup me’wakaf’kan diri setiap hari untuk berfikir bagaimana menjatuhkan orang lain.


Orang seperti ini hakikatnya mendustai agama kerana membantah kurniaan Allah kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya sebagaimana firman dalam al-Quran: 


أَمْ يَحْسُدُونَ النَّاسَ عَلَىٰ مَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ ۖ فَقَدْ آتَيْنَا آلَ إِبْرَاهِيمَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَآتَيْنَاهُمْ مُلْكًا عَظِيمًا



Maksudnya:"Ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran karunia yang Allah telah berikan kepadanya? Sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar". Al-Nisa’ ayat 54.


Seharusnya sebagai umat Islam kita mesti sentiasa beriman dengan prinsip Qada dan Qadar yang jelas mengisyaratkan bahawa setiap kelebihan dan rezeki yang dinikmati seseorang semuanya telah ditentukan oleh Allah sejak azali. Setiap anak Adam apabila ditiup roh ke dalam jasadnya maka telah ditetapkan empat perkara termasuk rezeki, ajal, jodoh dan bala yang menimpanya.


Islam mengajar umatnya agar sentiasa berfikiran positif dan rasa cukup dengan apa yang diperoleh atau istilah syaraknya qona’ah. Sikap qona’ah pastinya akan menyuburkan minda seseorang dengan nilai yang baik sehinggakan setiap tutur kata dan perilakunya terpancar seri dan sentiasa disenangi oleh orang sekelilingnya. 


Yang lebih mustahak adalah mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah hinggakan rezeki yang diperoleh sendiri mampu membahagiakan diri dan keluarga kerana setiap sen yang diperoleh bukan melalui jalan menjatuhkan orang lain.


Bagi yang menjadi mangsa hasad dan khianat, usahlah pula rasa gundah-gulana kerana sesungguhnya rezeki kita tidak sesekali ditentukan oleh tingkah dan olah manusia.


Semuanya ditentukan Allah semata-mata. Jika sudah ditakdirkan Allah, buatlah atau rancanglah macam mana sekalipun, nescaya manusia tidak sesekali mampu mengubahnya. Ini jelas disebut Allah dalam al-Quran: 


مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ


Maksudnya:"Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”.Al-Hadid ayat 22.


Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dalam sabdanya, 


عَنْ زَيْدِ بْنِ وَهْبٍ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ قَالَ إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ وَيُقَالُ لَهُ اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ الرُّوحُ فَإِنَّ الرَّجُلَ مِنْكُمْ لَيَعْمَلُ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجَنَّةِ إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ كِتَابُهُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ وَيَعْمَلُ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّارِ إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ

Maksudnya:"Dari Zaid bin Wahb berkata 'Abdullah telah bercerita kepada kami Rasulullah ﷺ, dia adalah orang yang jujur lagi dibenarkan, bersabda, "Sesungguhnya setiap orang dari kalian dikumpulkan dalam penciptaannya ketika berada di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi 'alaqah (zigot) selama itu pula kemudian menjadi mudlghah (segumpal daging), selama itu pula kemudian Allah mengirim malaikat yang diperintahkan empat ketetapan dan dikatakan kepadanya, tulislah amalnya, rezekinya, ajalnya dan sengsara dan bahagianya lalu ditiupkan ruh kepadanya. Dan sungguh seseorang dari kalian akan ada yang beramal hingga dirinya berada dekat dengan surga kecuali sejengkal saja lalu dia didahului oleh catatan (ketetapan takdir) hingga dia beramal dengan amalan penghuni neraka dan ada juga seseorang yang beramal hingga dirinya berada dekat dengan neraka kecuali sejengkal saja lalu dia didahului oleh catatan (ketetapan takdir) hingga dia beramal dengan amalan penghuni syurga". Bukhari(2969)


Justeru bila kita telah menyakini bahawa takdir rezeki adalah termasuk daripada hak mutlak Allah, nescaya jiwa kita akan lebih tenang dan terhindar daripada gelodak nafsu untuk menjatuhkan orang lain oleh kerana hasad dengki.


Hasad dengki merupakan sifat yang boleh memberikan kesan buruk kepada diri pengamalnya. Diantara kesan buruk yang boleh timbul akibat dari sifat dengki ini;


1) Sifat dengki mengakibatkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan oleh seseorang. Apabila seorang muslim melakukan kebaikan, dia akan beroleh pahala. Malangnya, apabila dia mempunyai sifat dengki terhadap orang lain, amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukannya akan terhapus disebabkan perasaan dengki tersebut.


Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam.:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahawa Nabi ﷺ bersabda, "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kabaikan seperti api memakan kayu bakar". Abu Daud (4257),Dhaif. 


2) Perasaan dengki mendorong diri seseorang untuk membuat kemungkaran dan penderhakaan terhadap Allah dalam bentuk yang lain. Apabila hasad dengki telah bersarang di dalam dada seseorang, maka dia akan meluahkan perasaan itu dalam bentuk umpatan (ghibah), berkata bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Dengan harapan kelebihan atau kebaikan pada orang yang didengkinya itu akan hilang.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النَّاسِ أَفْضَلُ قَالَ كُلُّ مَخْمُومِ الْقَلْبِ صَدُوقِ اللِّسَانِ قَالُوا صَدُوقُ اللِّسَانِ نَعْرِفُهُ فَمَا مَخْمُومُ الْقَلْبِ قَالَ هُوَ التَّقِيُّ النَّقِيُّ لَا إِثْمَ فِيهِ وَلَا بَغْيَ وَلَا غِلَّ وَلَا حَسَدَ


Maksudnya:"Dari Abdullah bin 'Amru dia berkata; Ditanyakan kepada Rasulullah ﷺ, "Manusia macam apakah yang paling mulia?" Beliau menjawab, "Setiap (pemilik) hati yang selamat dan selalu jujur dalam bertutur kata." Mereka (para shahabat) berkata, "Jujur dalam bertutur kata telah kami ketahui, lantas apakah maksud dari hati yang selamat?" Beliau bersabda, "Hati yang bertakwa dan bersih, yang tak ada dosa dan kezaliman padanya, serta tak ada iri dan dengki". Riwayat Ibn Majah (4206)


3-Bahaya sifat dengki terhadap iman seseorang. 


Hasad dengki adalah tanda dari lemahnya iman. Ketika seseorang itu hasad dengki kepada seseorang, pada hakikatnya dia membenci ketika Allah memberikan nikmat kepada sebahagian hamba-Nya. 


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَجْتَمِعَانِ فِي النَّارِ مُسْلِمٌ قَتَلَ كَافِرًا ثُمَّ سَدَّدَ وَقَارَبَ وَلَا يَجْتَمِعَانِ فِي جَوْفِ مُؤْمِنٍ غُبَارٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَفَيْحُ جَهَنَّمَ وَلَا يَجْتَمِعَانِ فِي قَلْبِ عَبْدٍ الْإِيمَانُ وَالْحَسَدُ


Maksudnya:"Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, "Tidak akan berkumpul di neraka, seorang muslim yang membunuh orang kafir kemudian bersikap istiqamah dan berlaku sederhana, dan tidak akan berkumpul dalam diri orang yang beriman, debu di jalan Allah dan panasnya jahanam, dan tidak akan berkumpul di hati seorang hamba, keimanan dan rasa dengki". Al-Nasai(3058)


Didalam hadith yang lain disebutkan bahawa Abu Hamzah, Anas bin Malik ra., yang merupakan salah seorang khadam Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ


Maksudnya:"Dari Anas dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, "Tidaklah beriman seseorang dari kalian sehingga dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri". Bukhari(12)


Dari hadith diatas dapat diambil kesimpulan, bahawa  hasad dengki merupakan salah satu tanda yang menunjukkan iman seseorang itu belum sempurna. Juga sebagaimana hadith berikut, 


ُ عَنْ قَتَادَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَنَسًا يُحَدِّثُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِلنَّاسِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ وَحَتَّى يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ


Maksudnya:Dari Qatadah berkata; saya telah mendengar Anas menceritakan dari Nabi ﷺ bersabda, "Tidak (sempurna) iman seseorang sehingga mencintai manusia sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri dan mencintai saudaranya hanya karena Allah 'Azza wa Jalla ". Ahmad(13372)


Seseorang membenci orang lain mendapat nikmat dan ingin melihat kehilangan nikmat itu ialah manusia yang terpesong jalan hidupnya disebabkan kegelapan merintanginya iaitu cintanya kepada dunia serta kesenangan hidup sementara.


Tingkah laku seperti ini adalah satu kesalahan kerana kegagalan memberi penilaian yang tepat mengenai hakikat kehidupan dan alpa untuk menghadapi kehidupan akhirat yang pasti.


Mukmin sebenar ialah apabila melihat sesuatu nikmat diperoleh seseorang, maka hatinya berasa gembira dan memandangnya sebagai kelebihan yang Allah Subhanahuwata'ala kurniakan kepada hamba-Nya.


Seorang Muslim hendaklah mempunyai pemikiran luas, hati bersih dan akhlak terpuji sehingga dia dapat memandang sesuatu dengan melihat kepentingan umum bukan kepentingan diri sendiri.


Masyarakat Islam yang sebenar pula adalah masyarakat yang diasaskan atas rasa kasih sayang, hormat menghormati, tolong-menolong serta saling menghargai antara satu sama lain. Tidak ada tempat bagi fahaman yang mementingkan diri.


Tidak ada suatu yang melapangkan dada, menyejukkan pandangan mata dan menghapuskan kedukaan seseorang itu selain daripada hidup melalui hati bersih, tidak menyimpan dendam, dengki serta sakit hati terhadap orang lain.


Sebagai penutup, setiap Muslim mesti berlindung dari sifat hasad dengki dan juga dari orang-orang yang hasad. Allah Subhanahuwata'ala berfirman, 


قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ


Maksudnya:"Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh". Al-Falaq ayat 1


وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ


Maksudnya:"Dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki". Al-Falaq ayat 5



Sunday, January 30, 2022

Kepentingan ilmu Tauhid berdasarkan kefahaman Asyairah dan Matudiriah serta perbezaan dengan fahaman lain.


Kepentingan ilmu Tauhid berdasarkan  kefahaman  Asyairah dan Matudiriah serta perbezaan dengan fahaman lain.


Ahli Sunnah wal Jamaah ialah sebagai mana yang disebut oleh al-Hafiz Murtada al-Zabidi dalam kitab Ithaf al-Sadat al-Muttaqin: "Jika dikatakan Ahli Sunnah wal Jamaah, maka yang dimaksudkan ialah al-Ashairah dan al-Maturidiyyah."


Perkara yang sama juga disebut oleh As-Sheikh Muhammad Amin yang terkenal dengan gelaran Ibnu 'Abidin di dalam kitab terkenal beliau yang berjudul Rad Al-Muhtar `Ala Ad-Duraril Mukhtar :

 

أهل السنة والجماعة هم الاشاعرة والماتريدية

 

Maknanya : "Ahlus-Sunnah Wa al-Jamaah adalah Asya`irah (pengikut Abu al-Hasan Al-Asya`ri) dan Al-Maturidiyyah (pengikut Abu Mansur Al-Maturidi)" . 


Asya`irah dan Maturidiah adalah merupakan satu mazhab dalam bidang ilmu akidah. Pengasasnya Asya'irah ialah Imam Abu Hasan Al-Asy`ari yang dilahirkan di Basrah pada tahun 260-324 Hijrah.

Pengasas Maturidiah ialah Imam Abu Mansur Al-Maturidi, atau nama sebenarnya Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Al-Maturidi As-Samarqandi Al-Hanafi (meninggal dunia 333 H / 944 M) 


Definisi Ahli Sunnah wal Jamaah ialah:


Bagi istilah al-Sunnah, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah mengungkapkannya dengan makna wahyu yang selain daripada al-Qur’an. Baginda Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّى قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ فَلَنْ تَضِلُّوا أَبَدًا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ


Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagimana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.”

Riwayat al-Baihaqi (20123)


Istilah al-Sunnah juga digunakan untuk merujuk kepada perkara yang mempunyai dalil syarak, sama ada daripada al-Qur’an mahupun sunnah Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan ijtihad para sahаbat. Antaranya sabda Baginda Sallallahu'alaihiwasallam:


فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ


Maksudnya: “Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafа’ al-Rаshidіn al-Mahdiyyіn". Riwayat al-Tirmizi (2676)


Adapun istilah al-Jamа‘ah, ia kerap kali digunakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dalam hadith-hadith Baginda. Hadith yang paling masyhur adalah sabda Baginda:


وَإِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً يَعْنِي الْأَهْوَاءَ كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ


Maksudnya: “Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan (mengikut hawa nafsu), semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu al-Jamа‘ah".Riwayat Ibn Majah (3993)


Berdasarkan hadith ini dan beberapa hadith lain, para ulama telah menjelaskan siapakah golongan yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah tersebut. Menurut al-Syаtibі, pada umumnya pendapat para ulama mengenai al-Jamа‘ah berkisar kepada beberapa pengertian. Pertama, ia bererti golongan majoriti dalam kalangan umat Islam yang terdiri daripada imam mujtahid, para ulama dan ahli syariah dan umat yang mengikuti mereka. Sebahagian hadith menyebut mereka sebagai al-sawаd al-a‘zam. Kedua, kumpulan para ulama mujtahid. Ketiga, para sahabat Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Keempat, umat Islam yang bersepakat atau berijmak atas sesuatu perkara. Ia juga kembali kepada golongan pertama atau kedua. Kelima, umat Islam yang bersatu mentaati seorang pemimpin. (Lihat al-I’tisam, 2/260-265) Setelah menukilkan pendapat-pendapat tersebut, beliau merumuskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah adalah merujuk kepada perhimpunan yang bersatu di bawah pemimpin atau imam yang menepati petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah. (Lihat al-I’tisam, 2/260-265)


ANTARA syarat sesuatu fahaman itu dinilai berada atas jalan yang benar ia mestilah ia mempunyai pengikut yang ramai dalam kalangan ahli ilmu dan orang soleh, dalilnya, 


أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أُمَّتِي لَا تَجْتَمِعُ عَلَى ضَلَالَةٍ فَإِذَا رَأَيْتُمْ اخْتِلَافًا فَعَلَيْكُمْ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ


Maksudnya:"Anas bin Malik berkata, "Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, "Sesungguhnya umatku tidak akan bersatu di atas kesesatan, apabila kalian melihat perselisihan maka kalian harus berada di sawadul a'dzam (kelompok yang terbanyak/majoriti; maksudnya yang sesuai sunnah)". Ibnu Majah(3940)


Dalam hadith lain, Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menyatakan dengan jelas bahawa keistimewaan umat Nabi Muhammad ialah Allah Subhanahuwata'ala menjadikan umat Baginda sentiasa sepakat atas kebenaran dan tidak akan sama sekali bersetuju dengan kesesatan. Berbeza dengan kaum Nabi lain yang bersepakat dengan kesesatan seperti yang berlaku kepada umat Nabi Nuh, Hud, Soleh, Luth dan lain-lain.


Dalam riwayat lain Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda, 


عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَجْمَعُ أُمَّتِي أَوْ قَالَ أُمَّةَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ضَلَالَةٍ وَيَدُ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ وَمَنْ شَذَّ شَذَّ إِلَى النَّارِ


Maksudnya:"Dari Ibnu 'Umar bahwasanya Rasulullah ﷺ bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpulkan umatku, atau beliau bersabda (keraguan dari perawi) umat Muhammad ﷺ berada di atas kesesatan, dan tangan Allah bersama Al- Jamaah, dan barangsiapa yang hidup menyendiri(شَذَّ menyalahi jamaah) maka dia akan menyendiri pula masuk neraka". Tirmizi (2093)


Kata Imam at-Tirmizi selepas meriwayatkannya: "Tafsiran al-jamaah menurut ulama - mereka ialah ahli fiqh, ahli ilmu dan ahli hadith."


Oleh itu perlu kita sedari bahawa al-jama'ah di sini merujuk kepada ahli ilmu, secara tidak langsung jika majoriti umat Islam daripada kalangan orang jahil mengiktiraf perkara sesat, maka tidak membawa maksud perkara sesat itu adalah kebenaran.


Sebagai contoh ada suatu zaman, umat Islam dikuasai oleh fahaman Muktazilah iaitu bermula pada zaman Khalifah Ja'far Al-Mansur sehingga zaman kejatuhannya pada pemerintahan Khalifah Al-Mutawakkil iaitu hampir 100 tahun.


Ketika itu, pemerintah dan rakyat jelata kebanyakannya berfahaman Muktazilah. Namun ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak mengiktiraf fahaman ini sehingga ramai yang ditangkap dan dihukum termasuk Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal.


Oleh yang demikian, Muktazilah tetap dianggap golongan yang menyimpang dan bersalahan dengan kebenaran kerana tidak mendapat pengiktirafan daripada majoriti ulama muktabar.


Dalam hadis di atas juga, Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menyatakan sesiapa yang keluar daripada al-jama'ah dengan cara mengasingkan diri maka ia akan menjebakkan dirinya ke dalam neraka.


Hal ini jelas, sesiapa yang tidak mahu mengikuti kebenaran yang ada bersama golongan majoriti maka sudah tentu dia membabitkan diri dengan golongan sesat. Contohnya pada zaman Imam Hasan Al-Basri adalah ulama ulung dunia Islam yang mempunyai ribuan murid namun salah seorang muridnya bernama Washil bin Atha' tidak bersetuju dengan beliau.


Lalu Washil membuat majlisnya sendiri dan mengasaskan golongan Muktazilah. Hal ini menunjukkan mereka mengasingkan diri daripada kebenaran yang majoriti umat Islam ketika itu.


Oleh yang demikian, istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah amat diperlukan untuk membezakan ajaran Islam yang tulen dengan golongan yang jauh menyeleweng daripada kebenaran. Al-Syaikh Hassan Ibrahim di dalam kitabnya Tarikh al-Islam al-Siyasi Wa al-Din Wa al-Thaqafi Wa al-Ijtimaie mengatakan: "Istilah Ahlu Sunnah hanya digunakan bermula pada zaman permulaan kerajaan Abbasiyyah iaitu zaman mazhab Muktazilah sedang berkembang. Pada ketika itu penggunaan istilah Ahlu Sunnah merujuk kepada mereka yang berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah, manakala istilah Muktazilah pula digunakan bagi merujuk kepada mereka yang terlibat dalam siri perdebatan. Ada pun pada zaman awal Islam, istilah sahabat digunakan bagi merujuk kepada mereka yang berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah kerana mereka berhimpun bersama Rasulullah dan membantu Baginda.


Penggunaan istilah ini berterusan sehinggalah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari bersama pengikut dapat mengalahkan golongan Muktazilah pada masa yang sama aliran yang lain di dalam Islam terjadi semakin lemah, akhirnya hanya tinggal dua puak saja yang masih kekal pada ketika itu iaitu al-Syi'ah dan Ahlu Sunnah, maka dikatakan satu puak sebagai Syi'e dan satu puak yang satu lagi sebagai Sunni. Penamaan/gelaran ini berterusan digunakan sehingga kini."


Jelaslah golongan majoriti sekarang ialah Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang terdiri daripada pengikut Al-Asyairah, bahkan kata Imam Subki: "Mazhab Asya'irah adalah mazhab ahli hadis dulu dan sekarang." (Thabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra, juz 4, hal. 32.)


Imam Tajuddin As-Subki berkata dalam kitab lain: "Para ulama' Hanafiyyah, Syafi'iyyah, Malikiyyah dan sebahagian ulama' Hanabilah yang mulia, Alhamdulillah, dalam masalah akidah bersatu dalam pegangan Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang beragama (berakidah) kepada Allah dengan manhaj Sheikhus Sunnah Abu Al-Hasan Al-Asy'ari, yang mana tiada siapa yang terpesong daripadanya. (Mu'id An-Ni'am: 62)


Dapat disimpulkan Ahli Sunnah wal Jamaah ialah:


(a) Mereka adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam mengikut manhaj dan kaedah salaf dan khalaf (Asya'irah dan Maturidiyyah), 


(b) Mereka adalah golongan berfahaman sederhana (wasatiyyah), tidak melampau dan tidak terlalu longgar, ini mengeluarkan Khawarij, Syi'ah Rafidhah, Qadariyyah, Jabariyyah, Mu'tazilah, Mujassimah,  Musyabbihah, Anti-hadis, Islam liberal, pluralisme agama dan seumpamanya, 

Sejarahnya; al-Maturidi dan al-Asy'ari memfokuskan perhatian dan pemikiran mereka untuk menentang pemikiran Mu'tazilah. Al-Maturidi menghadapi Mu'tazilah di Samarqand, Asia Tengah manakala al-Asy'ari menghadapi Mu'tazilah di Iraq.


(c) Mereka ialah golongan yang mengutamakan perpaduan dan persaudaraan Islam bukan permusuhan, perdamaian bukan peperangan, berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin, tidak taasub sehingga mengkafir atau menyesatkan sesama Islam.


Sistem pemikiran teologi/akidah yang asaskan oleh al-Sya'irah dan al-Maturidi adalah termasuk dalam Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, dan ia dikenali sebagai mazhab ‘ilm al-kalam (Usul al-Din).


Metode yang digunakan oleh Imam Asy’ari telah diikuti oleh banyak ulama besar di kemudian hari. Hingga beliau diberi gelar “mujaddid” (pembaharu) kerana dinilai berhasil mengalahkan dominasi pemikiran mu’tazilah.


Berbagai ulama dari disiplin ilmu mengikuti madzhabnya.


Dr Nuh 'Ali Salman al-Qudah yang merupakan Qadi al-Qudah (Ketua Hakim) dan Mufti Jordan menyebut dalam kitab al-Mukhtasar al-Mufid fi Jauharah al-Tauhid):  "Dan di antara perkara yang patut disebut ialah jaguh-jaguh ulama Muslimin daripada ulama hadith, ulama tafsir, ulama fiqh, ulama usul fiqh dan ulama akidah - mereka adalah daripada al-Asha'irah dan al-Maturidiah. Ulama mazhab Maliki, ulama mazhab Shafie dan ramai daripada ulama mazhab Hanbali seperti Ibn al-Jawzi adalah Asha'irah dan ulama mazhab Hanafi adalah Maturidiah."


Senarai Ulama yang berpegang Dengan aliran Asya`irah; 

 

Menurut ulama al-muhaqqiqun mejoriti umat Islam bermula daripada salaf dan khalaf sama ada dalam apa jua bidang pun, baik akidah, fiqh, al-Quran, tafsir, hadith, tasauf, bahasa arab, nahu, sorof, adab dan lain-lainnya kesemuanya dalam hal keyakinan dan akidah selari dengan akidah al-Asya`irah dan al-Maturidiyah. 

 

Sehinggakan sarjana Islam yang mengkaji mengenai Manhaj al-Asya`irah pasti akan mengetahui bahawa Asya`irah merupakan pendekar dan penjaga kesahihan serta kelestarian ilmu terutamanya ilmu hadith. Di antara golongan al-huffaz yang merupakan pemuka para muhaddithin dan berpegang dengan akidah ini seperti ;

 

1-Al-Hafidz Abu Bakar Al-Ismaily, tuan punya kitab (المستخرخ على البخاري). Beliau merupakan seorang pakar hadith yang paling masyhur pada zamannya. 

2- Al-Hafiz al-`Alim Abu Bakar Al-Baihaqi, juga seorang pakar hadith yang paling masyhur pada zamannya.

3-Al-Hafiz yang disifatkan sebagai sebaik-baik muhaddithin di Negara Syam pada zamannya iaitu al-Hafiz Ibn `Asakir. 4-Amir al-Mukminin dalam bidang hadith, Ahmad Ibn Hajar al-`Asqalani. Sesiapa yang benar-benar mengkaji perkara ini pasti mereka mengetahui bahawa al-Asya`irah adalah jaguh dan pahlawan perkasa dalam bidang keilmuan termasuk juga dalam ilmu hadith.

5-Dan ramai lagi

 

Memadai dalam menjelaskan kebenaran aliran ini, Mujaddid kurun yang ke empat hijriyyah, al-Imam Abu At-Thayyib Sahal ibn Muhammad adalah tergolong daripada golongan ini. Selain dari itu, ramai lagi ulama muktabar yang merupakah jaguh hebat dalam keilmuan Islam mengikut dan tunduk pada manhaj ini seperti ;

 

1. Imam Abu Hassan al-Baahili

2. Abu Bakar ibn Furak

3. Abu Bakar al-Baqillani

4. Abu Ishaq al-Isfarayiini

5. Al-Hafiz Abu Nu`aim al-Asbahani

6. Qadhi Abdul Wahab al-Maliki

7. As-Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini serta anaknya Abu al-Ma`ali. Kedua-duanya dikenali sebagai Imam al-Haramain.

8. Abu Mansur at-Tamimi al-Baghdadi.

9. Al-Hafiz ad-Darulquthni.

10. Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi.

11.Al-Ustaz Abu Al-Qasim al-Qusyairi serta anaknya Abu Nasr.

12. Asy-Syeikh Abu Ishaq as-Syirozi, 

13. Nasru al-Maqdisi

14. Al-Farawi

15. Abu al-Wafa` bin `Aqil al-Hanbali 

16. Qadhi ad-Daamighani al-Hanafi 

17. Abu-al-Walid al-Baaji al-Maliki 

18. Al-Imam as-Sayid Ahmad ar-Rifa`ie 

19. Al-Hafiz Abu Qasim Ibnu `Asakir 

20. Ibnu as-Sam`ani 

21. Al-Qadhi `Iyadh al-Maliki 

22. Al-Hafiz as-Salafi 

23. Al-Hafiz an-Nawawi 

24. Imam Fakhruddin ar-Razi

25. `Izzuddin bin Abdussalam

26. Abu Amru bin al-hajib al-Maliki 

27. Al-Hafiz Ibn Daqiq al-`ed 

28. `Ala ad-Deen al-Baaji 

29. Al-Hafiz al-Mujtahid Qadi al-Qudhat al-Imam Taqiyuddin As-Subki dan anaknya Tajudeen al-Subki.

30. Al-Hafiz al-`Alai 

31.Al-Hafiz Zainuddin al-`iraqi serta anaknya al-Hafiz Waliyuddin al-Iraqi

32.Al-Hafidz al-Lughawi Murtadha Az-Zabidi al-Hanafi 

33. As-Syeikh Zakaria al-Ansari

34. As-Syeikh Bahauddin Ar-Rawwasi As-Sufi

35. Mufti Mekah Ahmad Bin Zaini Dahlan 

36. Musnid al-Hindi Waliullah ad-Dahlawi

37. Mufti Mesir As-Syeikh Muhammad `illaish Al-Maliki

38. Sheikh Jamik Al-Azhar Abdullah As-Syarqawi, 

39.Seorang ulama sanad hadith yang terkenal ; As-Syeikh Abu Al-Mahasin Al-Qawuqji, 

40. As-Syeikh al-Husain al-Jisr at-Tarabulusi

41.As-Syeikh `Abdul Latif Fathul Allah, mufti Beirut

42. As-Syeikh `Abdul Baasith al-Fakhuri, mufti Beirut

43.As-Syeikh al-Muhaddith Muhammad Bin Darwish al-Hut al-Beiruti dan anaknya `Abdul Rahman, Ketua al-Asyraf di Beirut.

44.As-Syeikh Mushthofa Naja, Mufti Beirut

45. Al-Qadhi yang dihormati ibn Farhun al-Maliki

46. Abu Fath as-Syahristani

47.Al-Imam Abu Bakar Asy-Syasyi al-Qaffal

48. Abu `Ali Ad-Daqqaq An-Naisaburi

49. Al-Hakim An-Naisaburi, Tuan punya kitab Mustadrak.

50. As-Syeikh Abu Manshur al-Hudhudi, 

51. As-Syeikh Abu `Abdullah as-Sanusi,

52.As-Syeikh Muhammmad bin `Alan as-Shadiqi as-Syafi`e.

53.Al-`Allamah `Alawi bin Tahir al-Hadhrami al-Haddad

54. Al-`Allamah al-Muhaqqiq al-Habib bin Husain bin `Abdullah Balfaqih, dan semua ulama Hadramaut dari keturunan `Alawi, al-Saqqaf, al-Juneid, dan al-`Idrus.

55.Al-Hafiz al-Faqih al-Allamah al-Arif Billah al-Syiekh Abdullah al-Harari al-Habasyi.

56. Sheikh Sirojiddin Abbas Al-Indunisi 

57. Musnid Syeikh Yasin al-Fadani

58. Dan ramai lagi

 

Antara penguasa Islam pula yang menyebarkan akidah ini secara meluas seperti :

 

1. Nizham al-Malik

2. Sultan yang adil dan saksama; al-`Alim al-Mujahid Shalahuddin al-Ayyubi-semoga Allah merahmatinya-. Sesungguhnya beliau telah memerintahkan supaya ushul-ushul akidah disebarkan mengikut ibarat Imam Al-Asy`ari di atas mimbar-mimbar masjid sebelum dilaungkan azan subuh dan baginda juga memerintahkan supaya akidah yang dikarang oleh Ibn Hibatillah al-Barmaki iaitu seorang ulama kurun ke 6 Hijrah yang mengikut methodologi Imam Al-Asy`ari diajar kepada kanak-kanak di pondok-pondok atau madrasah-madrasah dan di pusat-pusat pengajian tinggi bagi menjaga kemurnian akidah kepada semua lapisan masyarakat.

3. Sultan al-Kamil al-Ayyubi

4.Sultan al-Asyraf Khalil bin Manshur Saifulddin Qalawun. 

5.Sultan Muhammad al-Uthman al-Fatih, pembuka kota konstantinopel dan seluruh sultan-sultan uthmaniyyin yang menjadi penguasa bagi orang Islam, memelihara agama selama berkurun-kurun lamanya secara berterusan.

6.Begitu juga sultan-sultan di Negara Malaysia.

 

Manakala ulama Malaysia kita yang bermethodologi ini adalah seperti berikut :

 

1. Syeikh Abdullah Fahim 

2. Dato' Hj Ahmad Maher 

3. Sheikh Abdul Halim 

4. Syeikh Idris Al-Marbawi

5. Syeikh Uthman Jalaluddin Penanti 

6. Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payung 

7. Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani

8. Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Sheikh Abdul Halim Al-Kalantani. 

9. Khatib Kelantan 

10. Tuan Guru Hj Awang Fakir 

11. Tuan Guru Hj Yahya Kupang

12. Haji Muhammad Yusuf Bin Ahmad Al-Kalantani (Tok Kenali)

13. Tok Pulai Condong 

14. Tok Pulau Ubi (Yusuf Abdul Rahman) 

15. Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) 

16. Tg Pakcu Him Gajah Mati ( Kedah) 

17. Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein Al-'Aiderus (Terengganu) 

18. Sheikh Muhammad Amin atau Tok Duyung (menjadi ulama terkenal Terengganu) 

19. Wan Abdullah Tuan Tabal

20. Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah 

21. Dan Ramai Lagi

 

Ini hanyalah sebahagian sahaja yang dapat dinyatakan di sini tapi pada hakikatnya bilangan mereka teramat ramai. Begitu juga hal al-Maturidiyah, pengikut Abu Manshur Al-Maturidi dalam bidang akidah juga teramat ramai. 


Dalam pengajian Islam diantara istilah-istilah yang penting untuk diketahui ialah; 

Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, ilmu Usuluddin, Ilmu sifat 20,Ilmu Kalam, Ilmu Fiqhul Akbar dan Ilmu An-Nazor Wal Istidlal


Ilmu Tauhid:

Menurut pengertian bahasa, Tauhid itu mempunyai berapa maksud, dan semua maksud-maksud tersebut secara umumnya berkaitan dengan kepercayaan kepada tuhan yang esa.


Dari segi istilah pula, Tauhid diertikan dengan pelbagai maksud yang dapat mengambarkan frasa Tauhid itu secara konseptual. 

Ilmu tauhid adalah ilmu yang mempelajari tentang sifat keEsaan Allah. Di mana Allah itu esa atau tunggal, Dzat yang memiliki segala sifat kesempurnaan yang wajib untuk disembah. 

Ulama Mutakallimin atau ulama Tauhid  menyatakan bahawa Tauhid membawa maksud suatu ilmu yang membahaskan Esa-Nya Allah dengan segala sifat-sifat yang wajib bagi-Nya dan segala sifat-sifat yang harus bagi Allah. Selain itu, ilmu ini juga membahaskan tentang kerasulan nabi yang diutuskan oleh Allah kepada manusia yang mencakupi sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi rasul. Akhir sekali, secara konsepnya ilmu tauhid ini membawa istilah yang memandu manusia untuk mengakui bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Kemudian ianya disusuli dengan tindakan yang meliputi pengetahuan, pengakuan, penetapan dan keyakinan yang sebenar berpandukan dalil-dalil yang menyakinkan sama ada dalil aqli mahupun dalil naqli .


Nama-nama lain bagi ilmu tauhid


Ilmu Usuluddin (dasar agama):


Ia dinamakan ilmu Usuluddin kerana di dalam ilmu tersebut skop perbahasannya mencakupi perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah yang merupakan asas utama dalam mengenali tuhan dan juga merupakan ilmu pokok kepada semua pentaklifan hukum syarak. Justeru, ilmu usuluddin ini membawa manusia ke arah mengenali tuhan yang Esa iaitu Allah dan mamandu manusia dalam membentuk tahap keimanan yang tinggi di sisi Allah serta rasul-Nya .


Ilmu Tauhid dan Sifat 20


Sifat 20 dikenali dengan ummahatu al-sifat, iaitu 20 sifat yang dasar bagi Zat Allah yang diterima oleh akal. 


Nama ini diberikan berikutan intipati atau kandungan ilmu ini berkisar tentang sifat-sifat Allah dari sudut hubungannya dengan zat, bahagiannya dan lainnya yang mengarah untuk mencapai matlamat mantauhidkan Allah dalam semua aspek. Ini berlaku berikutan sebahagian besar ilmu ini menceritakan tentang sifat-sifat tersebut dan secara tidak langsung membimbing manusia dalam mentauhidkan Allah dan mengakui tentang keEsaan-Nya. Justeru itu, ilmu ini jelas mempamerkan matlamat atau dasar utama dalam pembentukan iman yang suci dan kebenaran kepada agama yang benar dibawa oleh semua rasul yang diutuskan .


Ilmu Akidah:


Frasa ini diambil berikutan skop perbincangan yang ingin disampaikan dalam ilmu ini berkisar tentang konsep pengangan terhadap yang Esa. Selain itu, ianya juga berhubungan terus dengan dasar kepercayaan seseorg terhadap agama Islam itu sendiri. Justeru, apa yang dikatakan tentang akidah ialah tentang fahaman-fahaman yang melanggari landasan kepercayaan yang telah digariskan dalam Islam. Kemudian, turut membincangkan sumber-sumber yang menjadi saluran dalam pembentukan akidah yang benar iaitu berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Soal-soal kepercayaan terhadap rukun iman dan islam turut dikupas bagi meletakkan asas kepercayaan yang kukuh dalam diri umat islam khususnya serta mencakupi peranannya dalam kehidupan individu dan masyarakat.


Ilmu Kalam:


Menurut Ibnu Khaldun(lahir di Tunisia pada 27 mei 1332m bersamaan 1 Ramadhan 732h, beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Azhar dan lain-lain universiti). Ilmu kalam adalah ilmu mengenai hujjah, dalil-dalil, argumentasi aqliyah yang memperkukuhkan aqidah Imamiyah untuk memperjuangkan mazahib salaf wa Ahli Sunnah(memperjuangkan mazhab-mazhab salaf). 


Ilmu Fiqhul Akbar:


Nama ilmu fiqhul akbar ini telah dinamakan oleh Imam Abu Hanifah yang telah wafat pada pertengahan kurun kedua hijrah. Kalimah fiqh pada bahasa ialah pemahaman. Menurut al-Jarhani pada takrifnya iaitu ibarat daripada kefahaman matlamat percakapan daripada katanya. Adapun makna istilah fiqh pula ialah istinbat hukum-hukam amali dari dalil-dalil terperinci syara’. Abu hanifah telah mentafsirkan fiqhul akbar mengandungi fiqh amali dan fiqhul I’tiqad. Maka Abu Hanifah berpendapat bahawa fiqhul Akbar ialah mengetahui dengan hukum-hakam syari’at I’tiqadiyyah daripada dalil-dalilnya bukan hukum-hakam amali .


Ilmu An-Nazor Wal Istidlal:


Ilmu Tauhid juga dikenali dengan ilmu An-nazor Wal Istidlal seperti mana yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad Yusuf Musa dalam pelajaran Tauhid . An-nazor ialah pemikiran dalam sesuatu perkara, iaitu menyusun maklumat yang telah lalu pada akal bagi menyampaikan kepada penuntut-penuntut yang tidak tahu. Dan sesungguhnya alamatnya dikhaskan pada penulisan kata-kata terdahulu dengan memasukkan ilmu ini dengan mengkhaskan hujah-hujah dan dalil-dalil selepas mensyarahkan makna ilmu, makrifat, dan cara sampai kepadanya. Ia adalah manhaj daripada ilmu kalam.


Skop Perbincangan Ilmu Tauhid


إِنَّ الله تعالى: لمَ يَفْرِضْ شِيْئًا أَفْضَلَ مِنَ التَّوْحِيْدِ والصَّلَاةِ وَلَوْ كَانَ شَيٌْ اَفْضَلُ مِنْهُ لَافْتَرَضَهُ عَلَى مَلَائِكَتِهِ مِنْهُمْ رَاكِعٌ وَمِنْهُمْ سَاجِدً


Maksudnya:"Sesungguhnya Tuhan (Allah Subhanahuwata'ala)  tidak memfardhukan yang lebih afdhal daripada meng-Esa-kan Allah Dan solat.  Dan sekiranya ada sesuatu itu terlebih afdhal daripadanya nescaya telah memfardhukan Dia atas Malaikat-Nya. Padahal setengah daripada Malaikat-Malaikat itu ada yang ruku' dan selama-lamanya dan setengahnya ada yang sujud selama-lamanya". Al-Baihaqi (1/97,no 76)


Perbahasan mengenai ilmu tauhid ini menyentuh mengenai beberapa perkara penting yang telah ditetapkan. Secara keseluruhannya, skop penbincangan ini tidaklah menyentuh mengenai perkara-perkara fiqh tetapi lebih cenderung kepada pegangan dan keimanan kita kepada Allah. Justeru, di sini perkara utama yang dibincangkan dalam ilmu ini ialah berkaitan dengan zat Allah Subhanahuwata'ala dari segi sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi-Nya. Kemudian ilmu ini juga turut membincangkan mengenai zat rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi-Nya. Selain itu, ilmu ini juga mengupas perkara yang berkaitan dengan segala kejadian didunia ini merangkumi jirim-jirim dan aradh-aradh, yang secara tidak langsung perkara tersebut menjadi pentunjuk serta panduan atas kewujudan Allah yang menciptakan segala perkara tersebut. Akhir sekali, ilmu tauhid ini turut membahaskan perkara yang menjadi tunggak kepercayaan kita terhadap perkhabaran para rasul iaitu utusan Allah mengenai hal-hal yang berkaitan dengan hari kiamat, syurga, neraka, titian sirat dan sebagainya , semua perkara tersebut tidak dapat menjangkaui asas pemikiran manusia terhadap perkara-perkara yang berada diluar batasan pemikiran manusia .


Kepentingan Mempelajari Ilmu Tauhid


Ilmu tauhid merupakan suatu perkara pokok dalam mengenali Allah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keimanan kita terhadap-Nya. Justeru terdapat pelbagai yang faedah yang bakal kita perolehi sekiranya ilmu ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin tanpa sebarang penyelewengan dan bagi sesiapa yang mendalami ilmu ini secara terperinci pasti dapat mendekatkan diri kita kepada Allah disamping meningkatkan tahap keimanan kita. Kemudian antara lain ilmu tauhid ini sebenarnya mampu mengemudi hati kita terhadap pegangan akidah yang benar .Maksud frasa aqidah yang benar disini dapat diertikan dengan kekuatan diri kita mengakui serta mempercayai kewujudan Allah bersama sifat-sifatNya yang sudah termaktub di dalam Al-Quran serta Sunnah Rasulullah Sallahu'alaihiwsallam. Akidah yang benar ini secara tidak langsung mengelakkan diri kita daripada penyelewengan yang bertentangan dengan landasan syariat islam.


Akidah sebenarnya mampu membentuk diri manusia di dunia dan akhirat, kerana di bawah akidah ini terdapat nikmat Islam dan Iman . Secara tidak langsung manusia melengkapkan diri dengan kepercayaan terhadap Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat dan qada dan qadar. Dengan penerapan nilai keimanan dalam ilmu akidah ini mampu mengubah tingkah laku manusia ke arah yang lebih positif seperti bersifat sabar, mengasihi sesama makhluk, mengeratkan silaturrahim dan sebagainya . Ini jelas menunjukkan nilai tersebut mampu menggabungkan perbuatan kita dengan tatacara kehidupan yang berlandaskan syariat di samping menguatkan keimanan kita terhadap perkara-perkara yang diluar batasan yang telah ditetapkan oleh Islam itu sendiri. Selain itu, mempelajari ilmu akidah dengan mendalam dan lebih luas merupakan fardhu kifayah, maka gugurlah fardhu kifayah tersebut jika salah seoarang di dalam sesuatu komoniti itu mempelajarinya bagi menyampaikan kepada golongan yang jahil dalam bidang tersebut supaya masyarakat lebih gembira dalam menanam sifat kecintaan terhadap Allah. Antara kepentingan lain memepelajari ilmu tauhid ialah dapat menjaga iman dan diri supaya selamat di dunia dan akhirat.

Jika kita sebagai muslim tidak mempelajari ilmu akidah, maka kita belum dikira orang Islam kerana akidah merupakan aspek penting dan juga asas kepada mengenal Allah.

 Sebagaimana yang dikatakan, 

أول الدين معرفة الله

“ Seawal-awal agama adalah Mengenali Allah”


Manhaj atau metod yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy‟ari. Al-Asy‟ari:


Aliran Asya‟irah merujuk kepada mazhab yang berpandukan manhaj atau metod yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy‟ari. Al-Asy‟ari dalam pemikirannya menolak penggunaan akal yang berlebihan oleh Muktazilah. Pemikiran al-Asy‟ari bukanlah satu manhaj baru sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Beliau ketika itu menjadi lebih cenderung kepada aliran Imam Ahmad bin Hanbal yang dikenali sebagai aliran ahl al-hadis. 

Aliran ini merupakan pertentangan atau lawan kepada aliran Muktazilah yang mana ianya dapat dilihat dalam kisah Imam Ahmad bin Hanbal dan perjuangannya.

Antara manhaj yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy‟ari ialah:


-Berpegang dengan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam

-Syurga, neraka dan alam kubur itu adalah benar. 

-Berpegang bahawa Allah Subhanahuwata'ala itu beristiwa‟ di atas arasy dengan makna yang dikehendakiNya namun suci daripada bertempat (hulul), berpindah (intiqal) dan arasy itu tidak mengangkatNya namun ianya terangkat dengan keagunganNya. Rujuk: Al-Asy‟ari (w 324H), al-Ibanah Fi Usul al-Diyanah, Beirut: al-Maktabah al-„Asriyah, h. 

-Berpegang dengan kaedah tafwidh dalam mengisbatkan sifat Allah yang 

ada dalam ayat-ayat mutasyabihat seperti,


وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ


Maksudbya:"Dan tetap kekal Dzat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan". Al-Rahman ayat 27


Dalam pentafsiran ini al-Asy‟ari menggunakan kaedah tafwidh iaitu memulangkan makna yang sebenar kepada Allah Subhanahuwata'ala tanpa sebarang penakwilan. Kaedah ini digunakan bagi menolak ta‟til (menafikan sifat) dan pemahaman tasybih (menyamakan Allah dengan makhluk). Beliau kemudiannya menggunakan kaedah takwil iaitu 

-Mentafsirkan ayat mutasyabih kepada makna yang lain. Ini boleh dilihat dalam karyanya selepas al-Ibanah iaitu al-Luma‟ fi Radd „ala Ahl al-Zaigh wa al-Bida‟. Lihat Abu Zahrah, 

-Bahawa al-Quran itu bukan makhluk seperti yang didakwa oleh 

Muktazilah

-Bahawa Allah boleh dilihat dengan mata pada hari Akhirat

-Bahawa Allah itu berkuasa (qudrah) atas segala perbuatan manusia baik 

dan buruk

-Berpegang dengan konsep kasb dan iktisab (perbuatan dan usaha) 

-Bahawa mukmin yang bermaksiat tetap seorang yang beriman namun akan diazab oleh Allah di akhirat.

-Bahawa al-imam al-afdhal selepas Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam ialah Abu Bakar kemudian Umar kemudian Uthman kemudian Ali radhiallahu 'anhum. 


As-Subki mengatakan:

“Dan ketahuilah bahawa Abu Hasan al-Asy‟ari tidak mengada-adakan (merekacipta) pendapatnya dan mendirikan sebuah mazhab (yang baru), 

malahan ianya merupakan kesinambungan kepada mazhab salaf, dan apa yang dipertahankan oleh para sahabat Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, dan persandaran kepadanya (mazhab Asya‟irah) pada hakikatnya merupakan persandaran kepada mazhab salaf, (mazhab ini) telah ditegakkan di atas hujah dan dalil, maka barangsiapa yang mengikuti cara dan manhajnya dalam beristidlal maka mereka inilah yang digelar sebagai pengikut Asy‟ari.”


Oleh itu boleh disimpulkan bahawa aliran Asya‟irah merupakan kesinambungan kepada manhaj akidah yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dan para sahabat yang kemudiannya diteruskan oleh tabi‟in, tabi‟ tabi‟in dan pengikut mereka.







Hukum menunaikan umrah buat kali pertama

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama  Hukum menunaikan umrah buat kali pertama adalah wajib (sekali seumur hidup) bagi setiap Muslim muk...