Sunday, May 31, 2020

Hukum makan minum atau melakukan perkara yang membatalkan puasa dengan terlupa di siang hari bulan Ramadhan. Hukum tersalah bersahur dan tersalah berbuka puasa sebelum waktu.

Hukum makan minum atau melakukan perkara yang membatalkan puasa dengan terlupa di siang hari bulan Ramadhan. Hukum tersalah bersahur dan tersalah berbuka puasa sebelum waktu.

Puasa atau didalam bahasa Arab disebut صيام atau juga disebut صوم.

Puasa dari sudut bahasa sering diertikan dengan:
 الإِمْسَاكُ وَالكُفِّ عَنِ الشَّيْءِ 
Maksudnya:"menahan diri dan meninggalkan dari melakukan sesuatu". 
Puasa dari sudut istilah pula diertikan:
الإْمْسَاكُ عَنِ الْمُفْطِرِ عَلَى وَجْهٍ مَخْصُوصٍ

Maksudnya:”Menahan diri dari segala yang membatalkannya dengan cara tertentu”.

Cara tertentu yang dimaksudkan dalam definisi diatas diperincikan di dalam kitab-kitab fiqh  dengan memberikan penjelasan tentang tata cara berpuasa yang benar dengan merujuk kepada dalil-dalil.

Atau juga,

Puasa dari sudut bahasa bermaksud menahan diri. Manakala dari sudut syarak pula, menahan diri daripada perkara yang membatalkan dengan cara yang tertentu daripada terbit sehingga terbenamnya matahari. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 294)

Sebagaimana dalilnya:

فَكُلِي وَٱشۡرَبِي وَقَرِّي عَيۡنٗاۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ ٱلۡبَشَرِ أَحَدٗا فَقُولِيٓ إِنِّي نَذَرۡتُ لِلرَّحۡمَٰنِ صَوۡمٗا فَلَنۡ أُكَلِّمَ ٱلۡيَوۡمَ إِنسِيّٗا

Maksudnya:"Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu. Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini". Maryam ayat 26.

Allah Subhanahuwata'ala mensyariatkan ibadah puasa kepada umat Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam seperti yang telah disyariatkan kepada umat-umat sebelumnya. 
Sebelum itu amalan puasa telah pun biasa dilakukan di kalangan umat terdahulu dan juga ahlikitab yang sezaman dengan Nabi. 
Akan tetapi kewajiban berpuasa pada bulan Ramadhan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat‐umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu saja. Kemudian umat Nabi Muhammad secara khususnya difardhukan puasa bulan Ramadhan.

Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala di dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.
Al-Baqarah ayat 183.

Penetapan mula berpuasa di bulan Ramadhan ialah dengan melihat anak bulan Ramadhan. Jika tidak kelihatan anak bulan Ramadham maka dicukupkan 30 hari bulan Sya’ban.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

صُوْمُوْا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوْا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوْا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِيْنَ يَوْمًا

Maksudnya:"Berpuasalah kamu apabila melihat hilal (anak bulan), dan berbukalah kamu (untuk ber’Iidul Fitri) apabila melihat hilal. Dan jika hilal itu tertutup daripada (penglihatan) kamu, maka sempurnakanlah (genapkanlah) bilangan bulan Sya’ban itu 30 hari. Riwayat Bukhari. 

Disebalik kewajipan berpuasa di dalam Bulan Ramadhan. Dengan kemurahan-Nya, Allah Subhanahuwata'ala memberi kelonggaran dan keringanan kepada golongan yang tertentu untuk berbuka puasa. Allah Subhanahuwata'ala berfirman dalam al-Quran:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

Maksudnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.
Al-Baqarah ayat 185

Ibn Kathir menafsirkan ayat ini bahawa orang yang sakit dan orang yang dalam bermusafir tidak perlu berpuasa. Ini kerana jika dia berpuasa itu akan menyebabkan kesulitan dan kesusahan baginya, bahkan dia perlu berbuka puasa dan mengqadakan puasa yang ditinggalkan tersebut pada hari yang lain. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 2:184)

Hukum makan minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa dengan sebab lupa, tidak sengaja atau dipaksa.

Tidak batal puasa bagi sesiapa yang melakukan perkara yang membatalkan puasa dalam keadaan beliau tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka dalam keadaan ini hendaklah dia menyempurnakan puasanya sehingga waktu berbuka.

Hal ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِيْ عَنْ أُمَّتِي : الْخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala memaafkan terhadap umatku kerana aku; segala apa yang tersalah, lupa dan dipaksa. Riwayat Ibn Majah: (2043)

Diriwayatkan juga oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

مَن نسِي وَهُوَ صَائِمٌ فأكَلَ أَوْ شَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ؛ فَإِنّمَا أَطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa kemudian dia makan dan minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allah Subhanahuwata'ala telah memberikan makan dan minum kepadanya.
Riwayat al-Bukhari (1831) dan Muslim (1155)

Hukum orang yang ragu-ragu tentang waktu bersahur:

Hukum orang yang ragu-ragu tentang waktu  bersahur berdasarkan ijtihadnya sahaja. Dalam keadaan ini, para ulama’ menyatakan:

Harus hukumnya untuk meneruskan makan bagi orang berasa ragu-ragu bahawa waktu sahur telah tamat, berdasar ijtihadnya atau diberitahu oleh seorang yang adil. Ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa asal hukum adalah berkekalannya waktu malam. (Rujuk Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam: 106)

Namun jika sekiranya selepas itu dia mendapati bahawa dia tersalah bersahur dengan makan dan minum selepas azan Subuh , maka dalam keadaan dia yakin bahawa dia telah tersilap, maka batal puasanya dan hendaklah dia mengqadanya pada hari yang lain. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

لَا عِبْرَةَ بِالظّنّ البَيّن خَطَؤُهُ

Maksudnya: Tidak diambil kira dengan dugaan-dugaan yang sudah jelas kesalahannya. (Rujuk Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam: 106-107)

Selain itu, orang yang tersalah bersahur selepas waktu Subuh hendaklah menahan diri daripada makan dan minum serta semua perkara yang membatalkan puasa sehinggalah waktu berbuka puasa. (Rujuk Sullam al-Raja Syarh Safinat al-Naja: 59)

Kesimpulannya:
Tidak batal puasa dan harus hukumnya bagi seseorang yang meneruskan makan dan minum dalam keadaan dia ragu-ragu bahawa telah tamat waktu sahur. Namun jika sekiranya jelas kepadanya bahawa dia tersalah dengan makan selepas habis waktu sahur, maka batal puasanya dan hendaklah dia menggantikannya pada hari yang lain. Kedua-dua situasi ini berdasarkan kaedah fiqh:

الأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: Asal hukum itu kekal sesuatu mengikut apa yang sebelumnya.

Hukum orang yang ragu-ragu tentang waktu berbuka:

Perkara utama yang perlu difahami adalah Firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut,

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);…”  al-Baqarah ayat 187

Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 2/321 berkata: “Allah jadikan sebutan malam sebagai tempat atau waktu untuk makan, minum, berjima’. Sedangkan siang hari sebagai waktu untuk berpuasa.”

Hukum orang yang ragu-ragu tentang waktu berbuka, kemudian dia berbuka puasa berdasarkan ijtihadnya sahaja. Dalam keadaan ini, para ulama’ menyatakan:

Haram hukumnya bagi orang yang berasa ragu-ragu masuk waktu berbuka untuk makan pada akhir hari waktu siang dengan keadaan dia berijtihad dan menyangka bahawa sudah masuk waktu malam. Ini kerana kaedah fiqh menyatakan bahawa asal hukum adalah berkekalannya waktu siang.

Namun jika sekiranya selepas itu dia mendapati bahawa dia tersalah berbuka puasa sebelum masuk waktu Maghrib, dalam keadaan dia yakin bahawa dia telah tersilap, maka batal puasanya dan hendaklah dia mengqadanya pada hari yang lain. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

لَا عِبْرَةَ بِالظّنّ البَيّن خَطَؤُهُ

Maksudnya: Tidak diambil kira dengan dugaan-dugaan yang sudah jelas kesalahannya. (Rujuk Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam: 106-107)

Imam al-Nawawi menjelaskan:

وَلَوْ أَكَلَ ظَانًّا غُرُوبَ الشَّمْسِ، فَبَانَتْ طَالِعَةً، أَوْ ظَنَّ أَنَّ الْفَجْرَ لَمْ يَطْلُعْ، فَبَانَ طَالِعًا، أَفْطَرَ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَنْصُوصِ، وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ.

Maksudnya: “Sekiranya, seseorang makan kerana menyangka tenggelamnya matahari, ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul, ternyata telah timbul, dikira batal puasanya atas nas yang sahih dan ianya diputuskan oleh jumhur ulama’.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/363)

Kesimpulannya:
Batal puasa bagi seseorang yang syak masuk waktu berbuka dan haram baginya makan kecuali setelah dia yakin dan berijtihad bahawa waktu telah masuk.

No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...