Thursday, October 31, 2019

Kerja boleh jadi sebagai ibadah, namun ada sifat-sifat mazmumah yang boleh menghalanginya.

Kerja boleh jadi sebagai ibadah, namun ada sifat-sifat mazmumah yang boleh menghalanginya.

Matlamat penciptaan manusia semata-mata untuk menghambakan diri kepada Allah Subhanahuwatala dengan ma’rifah, mentauhid dan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangannya.

Firman Allah Subhanahuwataala:  

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.(Surah al-Zariyat: 56)

Manusia juga sebagai khalifah Allah di muka bumi yang bersifat sebagai pelaksana dan penegak kepada agama serta bersiyasah dengannya. Manusia juga memegang sejumlah amanah dan tanggungjawab yang diperintah dan ditaklifkan kepada mereka.

Menyentuh tentang pekerjaan pula, ianya adalah sebahagian daripada kehidupan. Justeru, kerja adalah ibadah apabila diniatkan semata-mata kerana Allah dengan penuh keikhlasan dan pengharapan daripada-Nya.

Dalam melayari bahtera kehidupan, soal makan minum, tempat tinggal dan kenderaan untuk menyampaikan kita ke satu-satu tempat adalah memerlukan harta dan kewangan yang kukuh. Antara cara untuk mendapatkan harta adalah melalui pekerjaan. Dengan sebab itu, dalam al-Quran al-Karim terlalu banyak perintah untuk kita bekerja seterusnya mencapai kehendak manusiawi yang kita miliki. Terlalu banyak bentuk pekerjaan yang boleh kita lakukan. Yang penting adalah halal dan tidak bertentangan dengan Syariat sama ada kita sebagai peniaga, tokoh korporat yang besar, petani, pekebun, penternak, nelayan, pertukangan, mengambil sebarang upah, penjawat awam, bekerja di sektor swasta, maka semuanya adalah digalakkan. Begitu juga pembetulan niat setiap kali kita bekerja biarlah diniatkan kerana mengikut apa yang diperintah oleh Allah. Sebagai contoh, Rasulullah Sallalahualaihiwasallam bersabda:

مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)

Setiap perkara harus yang dilakukan oleh seorang Mukmin dengan unsur niat, ia bertukar menjadi ibadat. Namun, perkara haram tetap haram hukumnya walau bagaimana suci sekalipun niat si pelaku. Islam tidak merestui sesuatu yang haram itu dijadikan wasilah kepada tujuan yang mulia. Ini kerana, Islam menekankan kemurnian matlamat dan cara pada masa yang sama. Syariat Islam tidak menerima sama sekali prinsip, matlamat menghalalkan cara ataupun mencapai kebenaran melalui kerja-kerja batil. Sebaliknya, Islam mewajibkan umat mencapai kebenaran melalui jalan yang benar.

Sesiapa yang mengumpul duit melalui amalan riba, rasuah, hiburan yang haram, perjudian, ataupun apa-apa amalan yang terlarang, dia melakukannya dengan tujuan membina sebuah masjid ataupun melancarkan program kebajikan, niatnya yang murni itu tidak mampu memberi kebaikan kepada dirinya. Ia tidak membuat dia terlepas daripada dosa melakukan perkara haram. Ini kerana, perkara haram itu tidak terkesan ataupun luak dengan niat dan tujuan si pelaku. (Lihat Halal dan Haram dalam Islam oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 30)

Sebenarnya banyak halangan untuk mencapai dan merealisasikan sifat integriti yang unggul dalam bekerja.  Justeru itu, bagi menanganinya sudah pasti perlu mengenali sifat-sifat mazmumah yang menghalang integriti. Antara yang besarnya adalah seperti berikut:

Pertama : Khianat

Khianat ialah perbuatan jahat yang bertujuan menganiayai atau mendatangkan kecelakaan kepada orang lain, melakukan tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia sama ada kepada negeri, bangsa dan lain-lain.

Firman Allah Subhanahuwataala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّـهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Surah Al-Anfal: 27)

Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma`ani: “Asal khianat ialah kekurangan sebagaimana asal menunaikan janji dengan kesempurnaan. Ianya berlawanan dengan maksud amanah. Dikehendaki di sini ialah tidak beramal dengan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.” (Lihat Ruh al-Ma’ani, 9/195)

Kedua: Berdusta atau Berbohong

Ia bermaksud berkata yang tidak benar. 
Dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Mas`ud RA, Nabi Sallalahualaihiwasallam bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا ، وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan membawa kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur. Manakala kedustaan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta.
Riwayat al-Bukhari (6094)

Ketiga: Bertangguh

Daripada Ibn Umar RA katanya, Rasulullah Sallalahualaihiwasallam memegang dua bahuku seraya bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ ، وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Maksudnya: “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar RA berkata: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu. Riwayat al-Bukhari (6053)

Justeru itu, orang yang mengerti nilai waktu tidak membiarkan waktunya habis dengan sia-sia, tetapi dia berusaha memenuhinya dengan amalan yang berguna. Ini kerana dia sedar waktu adalah umurnya.

Keempat: Melepak dan Membuang Masa

Lepak ialah budaya atau tabiat yang merupakan amalan negatif dalam kalangan masyarakat seperti menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah.

Daripada Abu Sa`id al-Khudri RA, Rasulullah Sallalahualaihiwasallam bersabda:

إِيَّاكُم وَالْجُلُوسَ في الطُّرُقاتِ، فقَالُوا: يَا رسَولَ اللَّه، مَا لَنَا مِنْ مَجالِسنَا بُدٌّ، نَتحدَّثُ فِيهَا، فَقَالَ رسولُ اللَّه ﷺ: فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجْلِس فَأَعْطُوا الطَّريقَ حَقَّهُ، قالوا: ومَا حَقُّ الطَّرِيقِ يَا رسولَ اللَّه؟ قَالَ: غَضُّ الْبَصَر، وكَفُّ الأَذَى، ورَدُّ السَّلامِ، وَالأَمْرُ بالْمَعْروفِ، والنَّهْيُ عنِ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: “Awasilah kamu daripada duduk di persimpangan jalan. Lantas mereka berkata: ya Rasulullah, kami sudah biasa yang menjadi majlis kami. Kami berbicara padanya. Lantas sabda Nabi SAW: Kalau kamu enggan kecuali dalam majlis tersebut, maka berilah hak jalan. Sahabat bertanya, apa itu hak jalan wahai Rasulullah. Jawab Baginda: Tundukkan pandangan, menahan daripada yang menyakitkan, menjawab salam, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.”
Riwayat al-Bukhari (5875) dan Muslim (114)

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...