Monday, April 15, 2024

Boikot sebagai jihad harta yang merupakan bahagian jihad fi sabilillah ( جهاد فِي سَبِيلِ اللَّهِ) menurut perspektif Islam.

Boikot sebagai jihad harta yang merupakan bahagian jihad fi sabilillah  ( جهاد فِي سَبِيلِ اللَّهِ) menurut perspektif Islam.

Secara umumnya hukum bermuamalah dengan orang kafir adalah harus selagi mana ia adalah produk yang halal. Dalam sebuah riwayat Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pernah berurusan dan memberi cagaran dengan seorang Yahudi seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA,


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ فَأَعْطَاهُ دِرْعًا لَهُ رَهْنًا


Maksudnya:”Dari 'Aisyah dia berkata, "Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah membeli makanan dari seorang Yahudi dengan bayaran yang ditangguhkan, lantas beliau menggadaikan baju besinya”. Muslim(3007)


Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan bahawa keharusan bermuamalah dengan orang kafir sememangnya telah disepakati para ulama. Namun, keharusan tersebut adalah terhad kepada perkara yang dibenarkan sahaja, sekiranya transaksi tersebut boleh membawa kepada perkara yang haram seperti menjual senjata kepada musuh Islam, sebarang bentuk yang boleh membantu untuk menegakkan syiar agama mereka, membeli kitab agama mereka dan seumpamanya maka muamalat tersebut diharamkan.

Lihat Al-Nawawi, Yahya bin al-Syaraf. . al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.  hlm. 40, jld. 11


Imam Ibn Battal pula berkata:


مُعَامَلَةُ الْكُفَّارِ جَائِزَةٌ، إِلا بَيْعَ مَا يَسْتَعِينُ بِهِ أَهْلُ 

الْحَرْبِ عَلَى الْمُسْلِمِينَ


Maksudnya: Berurusan dengan orang kafir dibolehkan, kecuali menjual apa yang boleh membantu mereka untuk memerangi orang Islam’. Al-Asqalani, Ibn Hajar. (1390H). Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah. Jld. 4, hlm. 410.


Perbuatan boikot barangan atau perkhidmatan tertentu menjadi salah satu isu global yang dijalankan sebagai kempen oleh rata-rata masyarakat dunia dalam mengekspresikan reaksi mereka terhadap isu-isu yang mereka perjuangkan. Perkara ini menjadi semakin sensitif dalam kalangan Muslim saban hari apabila penindasan dan penghinaan terhadap umat Islam berlaku di seluruh dunia kian memuncak. Samaada penghinaan terhadap amalan umat Islam, penghinaan terhadap al-Quran, penghinaan terhadap Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam dan yang terbaru adalah penghinaan terhadap Allah Subhanahuwata’ala.


Perkara ini menjadi semakin sensitif dalam kalangan Muslim saban hari apabila penindasan terhadap umat Islam berlaku di seluruh dunia kian memuncak seperti di Palestin, Iraq, Syria, Afghanistan, Kemboja, Cina dan negara-negara yang lain sehingga meragut jutaan nyawa. Maka, timbul persoalan berkaitan hukum boikot dalam dimensi jihad dan kewajarannya dengan melihat kepada beberapa faktor seperti keadaan sekeliling dan tempat seperti Malaysia atau di negara lain.


Sejarah pemboikotan yang pernah dilakukan benar-benar memberi impak yang besar kepada negara Israel sebagaimana pada tahun 1945 satu resolusi dikeluarkan bertajuk “The Boycott of Zionist Goods and Products” hasil pertemuan tujuh anggota Liga Arab. Di dalamnya terkandung bahawa sebarang produk keluaran Yahudi hendaklah dikira tidak dikehendaki dalam negara Arab dan seluruh warga Arab samada institusi, organisasi, usahawan, ejen dan individu mestilah menolak untuk berurusan, mengedar atau menggunakan produk keluaran Zionis. Kesan daripada pemboikotan ini ekonomi pasaran dan sumber serantau Israel terjejas teruk sehingga Israel terpaksa menyuarakan bantahannya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Lihat Anas Mohd Yunus, et al. Hukum Boikot Barangan Israel Berdasarkan Kepada Fiqh Al-Jihad. (2018). Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa (JFATWA). Vol. 4, No 1 (2014).


Boikot menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Keempat dari segi bahasa bermaksud perbuatan memboikot, enggan berurusan dengan (seseorang, organisasi dan lain-lain) atau memulaukan bertujuan untuk menyatakan rasa tidak bersetuju atau memaksa individu atau institusi berkenaan menerima syarat tertentu.


Perkataan boikot ini dalam Bahasa Arab menggunakan istilah hiṣār al-iqtiṣādī/sekatan ekonomi(حصار الاقتصادي) atau al-muqāta’ah al-iqtiṣādiyyah/boikot ekonomi(المقاطعة الاقتصادية). Secara asasnya istilah al-muqāta’ah ialah isim masdar yang berasal daripada perkataan qāt’a yang merujuk kepada maksud memutuskan sebarang hubungan ekonomi atau sosial selaras dengan sistem sosial yang telah ditetapkan iaitu dengan cara memboikot barangan atau produk pihak tertentu. 

Lihat Al-Mu’jam al-Wasīṭ, (Dār al-Da’wah: Iskandariah, t.t), Jil 2, ms. 745.


Jihad melawan orang kafir dan munafik yang jelas disebut dalam surah Al-Furqan, ayat 51 dan 52,


وَلَوۡ شِئۡنَا لَبَعَثۡنَا فِي كُلِّ قَرۡيَة نَّذِيرا، فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادا كَبِيرا


Maksudnya:”Dan kalau Kami kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi amaran. Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.


Jihad menentang orang kafir dan munafik ada empat peringkat iaitu jihad dengan hati, lidah, harta, dan jiwa. Jihad menentang orang kafir lebih dikhususkan dengan tangan (kekuatan), manakala jihad menentang orang munafik lebih dikhususkan dengan lidah (dakwah).


Kisah Pemboikotan dalam Sirah Nabawi


Sejarah memperlihatkan perbuatan boikot ini telah berlaku sejak zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam lagi. Ia dinukilkan berdasarkan riwayat Abu Hurairah bahawa Tsumamah bin Utsal yang merupakan pemimpin Bani Hanifah. Terkenal dengan sikapnya yang berpandangan luas, disegani dan sukar ditentang kehendaknya menjadikan beliau individu yang sangat berpengaruh. Tindakannya ke Mekah untuk melakukan umrah mengikut adat jahiliah telah mengubah agamanya kepada agama Islam setelah beliau ditawan oleh tentera Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Layanan terbaik yang diberikan oleh baginda dan para sahabat kepada Tsumamah sehingga beliau dibebaskan telah menjentik hatinya untuk memeluk Islam. Beliau kemudian meneruskan niatnya untuk menunaikan umrah serta melaungkan talbiah dengan suara yang kuat di mana ketika itu kota Mekah dikuasai oleh penduduk Quraisy. Tindakan Tsumamah tersebut menimbulkan kemarahan kepada penduduk kaum Quraisy sehingga mengancam untuk membunuh orang yang melakukan demikian. Apabila mereka mengetahui individu yang melakukan itu ialah Tsumamah, mereka bimbang sekiranya tindakan mereka akan menyebabkan Tsumamah menyekat bekalan makanan.


Sebagaimana disebutkan dalam hadith berikut dan hadith-hadith yang  lain,


حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ قَالَ حَدَّثَنِي سَعِيدُ بْنُ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ لَهُ ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ فَخَرَجَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ فَقَالَ عِنْدِي خَيْرٌ يَا مُحَمَّدُ إِنْ تَقْتُلْنِي تَقْتُلْ ذَا دَمٍ وَإِنْ تُنْعِمْ تُنْعِمْ عَلَى شَاكِرٍ وَإِنْ كُنْتَ تُرِيدُ الْمَالَ فَسَلْ مِنْهُ مَا شِئْتَ فَتُرِكَ حَتَّى كَانَ الْغَدُ ثُمَّ قَالَ لَهُ مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ قَالَ مَا قُلْتُ لَكَ إِنْ تُنْعِمْ تُنْعِمْ عَلَى شَاكِرٍ فَتَرَكَهُ حَتَّى كَانَ بَعْدَ الْغَدِ فَقَالَ مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ فَقَالَ عِنْدِي مَا قُلْتُ لَكَ فَقَالَ أَطْلِقُوا ثُمَامَةَ فَانْطَلَقَ إِلَى نَجْلٍ قَرِيبٍ مِنْ الْمَسْجِدِ فَاغْتَسَلَ ثُمَّ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَقَالَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ يَا مُحَمَّدُ وَاللَّهِ مَا كَانَ عَلَى الْأَرْضِ وَجْهٌ أَبْغَضَ إِلَيَّ مِنْ وَجْهِكَ فَقَدْ أَصْبَحَ وَجْهُكَ أَحَبَّ الْوُجُوهِ إِلَيَّ وَاللَّهِ مَا كَانَ مِنْ دِينٍ أَبْغَضَ إِلَيَّ مِنْ دِينِكَ فَأَصْبَحَ دِينُكَ أَحَبَّ الدِّينِ إِلَيَّ وَاللَّهِ مَا كَانَ مِنْ بَلَدٍ أَبْغَضُ إِلَيَّ مِنْ بَلَدِكَ فَأَصْبَحَ بَلَدُكَ أَحَبَّ الْبِلَادِ إِلَيَّ وَإِنَّ خَيْلَكَ أَخَذَتْنِي وَأَنَا أُرِيدُ الْعُمْرَةَ فَمَاذَا تَرَى فَبَشَّرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمَرَهُ أَنْ يَعْتَمِرَ فَلَمَّا قَدِمَ مَكَّةَ قَالَ لَهُ قَائِلٌ صَبَوْتَ قَالَ لَا وَلَكِنْ أَسْلَمْتُ مَعَ مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا وَاللَّهِ لَا يَأْتِيكُمْ مِنْ الْيَمَامَةِ حَبَّةُ حِنْطَةٍ حَتَّى يَأْذَنَ فِيهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya:”Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah menceritakan kepada kami Al Laits dia berkata; Telah menceritakan kepadaku Sa'id bin Abu Sa'id bahawasanya ia mendengar Abu Hurairah berkata; "Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengirim pasukan menuju Nejed, lalu mereka menangkap seseorang dari Bani Hanifah, Tsumamah bin Utsal pemimpin penduduk Yamamah, kemudian mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid, lalu Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam menemuinya dan bersabda kepadanya: "Apa yang kamu miliki hai Tsumamah?" ia menjawab, "Wahai Muhammad, aku memiliki apa yang lebih baik, jika engkau membunuhnya maka engkau telah membunuh yang memiliki darah, dan jika engkau memberi maka engkau memberi orang yang bersyukur, namun jika engkau menginginkan harta maka mintalah nescaya engkau akan diberi apa saja yang engkau inginkan." Kemudian Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam meninggalkannya, hingga keesokan harinya beliau bertanya, "Apa yang engkau miliki wahai Tsumamah?" ia menjawab, "Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi maka engkau memberi orang yang bersyukur, jika engkau membunuh maka engkau membunuh yang memiliki darah, jika engkau menginginkan harta maka mintalah nescaya engkau akan diberi apa yang engkau mahu." Lalu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meninggalkannya, hingga keesokan harinya beliau bertanya lagi: "Apa yang engkau miliki wahai Tsumamah?" ia menjawab, "Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi maka engkau memberi orang yang bersyukur, jika engkau membunuh maka engkau membunuh yang memiliki darah, jika engkau menginginkan harta maka mintalah nescaya engkau akan diberi apa yang engkau mau, " Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam kemudian bersabda kepada sahabatnya; "Bawalah Tsumamah" lalu mereka pun membawanya ke sebatang pohon kurma di samping masjid, ia pun mandi dan masuk masjid kembali, kemudian berkata; "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Allah dan bahawasanya Muhammad itu utusan Allah, demi Allah, dahulu tidak ada wajah di atas bumi ini yang lebih aku benci selain wajahmu, namun sekarang wajahmu menjadi wajah yang paling aku cintai dari pada yang lain, dan demi Allah, dahulu tidak ada agama yang lebih aku benci selain dari agamamu, namun saat ini agamamu menjadi agama yang paling aku cintai di antara yang lain, demi Allah dahulu tidak ada wilayah yang paling aku benci selain tempatmu, namun sekarang ia menjadi wilayah yang paling aku cintai di antara yang lain, sesungguhnya utusanmu telah menangkapku dan aku hendak melaksanakan umrah, bagaimana pendapatmu?" Maka Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memberinya kabar gembira dan memerintahkannya untuk melakukan umrah, ketika ia sampai di Makkah seseorang berkata kepadanya; "Apakah engkau telah murtad?" Ia menjawab; "Tidak, tetapi aku telah masuk Islam bersama Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, dan demi Allah tidaklah kalian akan mendapatkan gandum dari Yamamah kecuali mendapatkan izin dari Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam”. Bukhari(4024)


Tsumamah kemudian mengambil tindakan menyekat bekalan makanan iaitu gandum sebagai tindakan memboikot kaum Quraisy. Perkara ini memberi kesan kesusahan yang sangat besar kepada mereka kerana menghadapi kelaparan sehingga boleh mengancam nyawa.  Mereka mengutus surat kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam memohon supaya memujuk Thuhamah menghentikan tindakan boikot tersebut. Thumamah patuh dengan permintaan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam supaya menghentikan boikot kepada kaum Quraisy dan bekalan makanan serta keperluan lain telah diberikan kepada kaum Quraisy. 

Lihat Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhāri al-Ja’fi, Sahīh al-Bukhārī (Damsyik: Dar Ibn Kathir, 1993), No Hadis 4114, Jil. 5, ms. 1589; Muhammad bin Hibban bin Ahmad, bin Hiban bin Mu’az bin Ma’bad, al-Sirah


Secara asasnya, hukum berkenaan boikot dari perspektif Islam adalah dibenarkan. Perbuatan boikot selari dengan tuntutan jihad dari segi harta. Hal ini berdasarkan keumuman maksud jihad fi sabilillah dalam menegakkan agama Islam dan dakwah-Nya iaitu peperangan meninggikan kalimah-Nya, menjamin agama-Nya, mengembangkan dakwah-Nya dan mempertahankan pendukung-Nya agar hak-hak umat Islam tidak ditundukkan dan mereka tidak dihalang daripada melaksanakan urusan-urusan mereka. 

Lihat Tafsīr al-Manār (al-Haiah al-Misriyyah: Mesir, 1990), Jil. 2, ms. 365.


Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah Hujurat ayat ke 15,


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ


Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).


Menurut Imam al-Maraghi, tanda kebenaran keimanan seseorang adalah apabila seseorang memilih untuk mengorbankan harta dan dirinya kerana Allah Subhanahuwata’ala dengan membelanjakannya untuk tujuan memperkukuh, meninggikan martabat agamanya dan mengalahkan musuh agama dengan sebaik mungkin.

Lihat Ahmad bin Musṭafa al-Marāghi, Tafsir Al-Marāghī, (Mesir: Matba’ah Musṭafa al-Bābī Halabī, 1946), Jil. 26, ms 145-146.


Perkara ini juga ditekankan dalam tafsir al-Jalalayn bahawa jihad ini merupakan tanda kebenaran keimanan seseorang. 

Lihat Jalal al-Din Muḥammad bin Aḥmad al-Maḥalli dan Jalal al-Din Abd al-Rahman bin Abi Bakar al-Suyuti, Tafsir al-Jalalayn, (Kaherah: Dār al-Hadith, 2009), 688.


Berhubung dengan isu hukum memboikot, ia mestilah dilihat kepada keadaan. Terkadang boikot boleh menjadi wajib apabila produk atau syarikat berkenaan memang memberikan bantuan secara langsung untuk membunuh umat Islam. Sebagai tanda solidariti kepada saudara di Palestin sepatutnya umat Islam berganding bahu menunjukan protes di atas kekejaman yang dilakukan kepada rakyat Palestin. Jika melemahkan musuh tidak sempurna melainkan dengan boikot, maka ia menjadi wajib sebagaimana kaedah:


ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب


Maksudnya: “Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib. 

Lihat Al-Subki, Taj al-Din. (1991). Al-Asybah wa al-Nazair. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jld. 2, hlm. 88.


Boikot adalah salah satu bentuk jihad menggunakan harta dengan tidak membeli barangan keluaran pihak musuh atau yang menyokongnya. Setiap orang hendaklah berjihad dengan kadar kemampuan masing-masing. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ


Maksudnya: “Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya”. Surah al-Talaq ayat 7.


Meskipun ayat ini berkenaan nafkah untuk wanita yang sedang beriddah dan ibu yang menyusu, namun menurut Syeikh Tahir bin Asyur ia terpakai juga kepada setiap infak yang dituntut kepada seorang muslim, sama ada wajib atau sunat, iaitu memberikan infak mengikut kemampuan. 

Lihat Tahir bin Asyur. (1984). Al-Tahrir wa al-Tanwir. Tunis: al-Dar al-Tunisiyyah. Jld. 28, hlm. 330.


Kewajipan menyertai boikot ini disandarkan kepada hukum berjihad iaitu secara asalnya adalah fardu kifayah (dituntut ke atas semua dan gugur  kefarduan  dengan  sebahagian  mereka  melaksanakannya) kepada orang Islam yang mukalaf. Kewajipan fardu kifayah akan bertukar menjadi fardu ain (wajib kepada setiap orang Islam yang mukalaf)  dengan beberapa faktor terutamanya apabila orang-orang kafir telah memasuki sebuah negeri orang Islam, maka jihad menjadi fardu ain bagi seluruh penduduk negeri tersebut untuk mempertahankannya sedaya upaya yang mampu. 

Lihat Wizārah al-Awqāf wa- al-Shu’un al-Islāmiyyah. Al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytīyyah, (Dār al-Salāsih: Kuwait). Jil. 4, ms. 126-127.


Meskipun dalam perbincangan para ulama terdapat tertib yang menunjukkan tahap kewajipan daripada penduduk negeri tersebut ke penduduk sekitarnya dan seterusnya ke semua umat Islam, para ulama kontemporari seperti Dr Yusuf Qaradhawi menekan bahawa jihad mempertahankan Bumi Palestin kewajipan yang paling utama buat semua umat Islam di seluruh dunia kerana ia merupakan tanah kiblat pertama umat Islam dan bumi para anbiya yang diberkati. 

Lihat

[8]“مقاطعة البضائع الإسرائيلية والأمريكية”, Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi,  diakses daripada https://www.al-qaradawi.net/node/3579


Malah, gesaan boikot ini juga dilakukan para ulama kontemporari lain secara persendirian mahupun mewakili organisasi sehingga kini supaya umat Islam mengambil perhatian dan tindakan serius dalam hal ini.


Maka, selaras dengan misi jihad fi sabilillah ini, boikot digunakan sebagai antara strategi yang ampuh dan dilakukan secara meluas terutama ketika krisis Israel-Palestin yang berlaku saban hari. Oleh itu, tindakan boikot sebagai jihad harta menjadi wajib dalam usaha menekan dan melemahkan musuh terutama kepada pihak yang secara terang terangan menyokong serangan dan menyalurkan dana rejim Israel untuk tujuan membunuh saudara seIslam yang berada di Palestin. 


Boukot  sama sekali berbeza dengan isu melakukan urusan jual beli dengan orang bukan Islam kerana para ulama bersepakat akan keharusan bermuamalah dengan mereka selagi mana transaksi tersebut tidak membawa kepada perkara yang haram seperti menegakkan syiar agama  mereka, memusuhi Islam dan sebagainya. 

Lihat Abū Zakariyyā Muhyi al-Dīn Yahya bin Sharaf al-Nawawī. al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim bin Hajjāj. (Dar Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī: Beirut, Lubnan, 1972). Jil 11, ms 39-40.


Hal Ini berdasarkan sebuah riwayat, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam pernah berurusan dan memberi cagaran dengan seorang Yahudi seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA,


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ فَأَعْطَاهُ دِرْعًا لَهُ رَهْنًا


Maksudnya:”Dari 'Aisyah dia berkata, "Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam pernah membeli makanan dari seorang Yahudi dengan bayaran yang ditangguhkan, lantas beliau menggadaikan baju besinya”. Muslim(3007)


Boikot dalam konteks berjihad dengan harta yang dimiliki merujuk kepada tindakan tidak membelanjakan harta untuk membeli barangan atau perkhidmatan  keluaran  pihak  musuh  atau  pihak yang menyokong musuh yang membuat penindasan dan kezaliman. Sebaliknya menggantikan, membeli, mempromosi dan menyokong produk keluaran Muslim dan tempatan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Hal ini berdasarkan surah al-Taubah ayat 41,

 

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

 

Maksudnya: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.


Namun, pertimbangan kewajipan boikot hendaklah kembali melihat kepada faktor keadaan dan suasana. Boikot terhadap sesuatu akan menjadi wajib apabila produk atau perkhidmatan berkenaan merupakan sesuatu yang mampu kita tinggalkan tanpa mendatang sebarang kemudaratan jika tidak menggunakannya. Sekiranya produk atau perkhidmatan berkenaan merupakan keperluan utama seperti produk yang digunakan untuk rawatan kesihatan seperti ubat-ubatan dan makanan yang tidak dapat dihindari oleh umat Islam, maka tidak menjadi kesalahan bagi umat Islam untuk membelinya selagi mana tiada pilihan yang setanding dengannya. Hal ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 185,

 

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ


Maksudnya: Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.


Seruan boikot terhadap barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sesebuah negara adalah bertujuan memberi tekanan kepada pengusaha dan peniaga agar mereka sendiri mendesak syarikat dan kerajaan mereka kepada keamanan dan menghentikan tindakan kejam yang dilakukan kepada negara lain. Bahkan ia dapat memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara mereka serta dapat membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan serangan dan kekejaman terhadap negara lain. 

Lihat Seminar Fiqh Semasa (SeFis), 2015, ms. 1. 


Perkara ini adalah sebagai salah satu usaha yang dapat dilakukan oleh umat Islam untuk membantu saudara muslim lain yang ditindas. Hadith yang diriwayatkan daripada ِAbdullah Ibn Umar RA bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda bahawa,


أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Maksudnya:”Bahawa 'Abdullah bin 'Umar radliallahu 'anhuma] mengkhabarkannya bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Seorang muslim adalah saudara bagi muslim lainnya, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan membantu keperluannya. Siapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah menghilangkan satu kesusahan baginya dari kesusahan-kesusahan hari qiyamat. Dan siapa yang menutupi (aib) seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari qiyamat”. Bukhari(2262).


Dalam isu ini, umat Islam perlu sedar kemaslahatan yang dicapai apabila dilaksanakan boikot di seluruh dunia Islam. Ia merupakan suatu jihad ekonomi yang dapat membantu negara yang ditindas daripada terus menerima serangan pihak musuh.


Namun begitu, tindakan memboikot juga perlu mengambil kira implikasi yang bakal berlaku dari sudut ekonomi negara, khususnya ekonomi orang Islam sendiri dari sudut tenaga kerja, perniagaan orang Islam, para pekerja dan perniagaan rantaian makanan halal. Perkara ini perlu dititikberatkan supaya tidak berlaku penindasan kepada mereka yang terlibat dalam rantaian produk sehingga berlaku kemudaratan berikutan kelangsungan hidup mereka terjejas. Boikot yang dilakukan berkemungkinan tidak menjejaskan kezaliman negara yang menindas umat Islam seperti Israel dan sebagainya tetapi memberi kemudaratan kepada mereka yang terlibat seperti pekerja, para pembekal, pengedar, penyedia logistik, penghantar makanan dan sebagainya jika jualan atau premis tersebut tutup. Khususnya syarikat francais yang tidak terlibat langsung menjadi penyumbang kepada rejim Israel atau negara-negara lain yang menzalimi umat Islam.


Francais ialah kaedah pemasaran dan pengedaran berdasarkan hubungan dua pihak, iaitu francaisor (pemilik dan pemberi hak) dan pemegang francais (penerima hak). Di Malaysia khususnya terdapat produk-produk atau syarikat industri francais yang dipelopori oleh industri makanan segera yang dikatakan turut memberi sumbangan ekonomi kepada Israel. Namun begitu, terdapat juga syarikat yang membuat kenyataan tidak menyumbang dan menyokong negara yang melakukan kekejaman tersebut bahkan hasil keuntungan disalurkan kepada negara yang ditindas. Maka, perlu diambil berat bahawa sasaran boikot hendaklah tepat dan memberi kesan kepada pihak musuh bukannya memudaratkan ekonomi sendiri.

 

Justeru itu, tindakan boikot perlu dilakukan dengan ilmu dan tabayyun (memeriksa dengan teliti). Tabayyun menurut al-Shawkani ialah,


وَالْمُرَادُ مِنَ ‌التَّبَيُّنِ التَّعَرُّفُ وَالتَّفَحُّصُ، وَمِنَ التَّثَبُّتِ: الْأَنَاةُ وَعَدَمُ الْعَجَلَةِ، وَالتَّبَصُّرُ فِي الْأَمْرِ الْوَاقِعِ، وَالْخَبَرِ الْوَارِدِ حَتَّى يَتَّضِحَ وَيَظْهَرَ


Maksudnya: Tabayyun bermaksud melakukan penelitian, pengkajian dengan sabar dan tidak tergesa-gesa tentang sesuatu perkara atau perkhabaran sehingga jelas dan terang perkara tersebut.

Lihat Muḥammad bin ‘Alī bin Muḥammad bin Abd Allah al-Shawkānī al-Yamanī.  Fatḥ al-Qadīr. (Beirūt: Dār Ibn Kathīr, Dār al-Kalam al-Ṭayīb, 1993). Jil. 5, ms. 71.


Penilaian serta kajian untuk mengetahui ke mana keuntungan sesuatu syarikat tersebut disalurkan perlu dilakukan untuk mengetahui syarikat yang sepatutnya diboikot. Hal ini kerana keuntungan tersebut berkemungkinan disalurkan sebagai sumbangan royalti, bayaran cukai, bayaran kepada pemegang saham, atau bayaran zakat. Jadi, pengguna perlu menilai dengan adil dengan mengambil kira keseimbangan maslahah dan mafsadah sesuatu tindakan dilakukan bertepatan dengan syariat.


Strategi boikot ekonomi perlu dilakukan dengan teliti dan bijak. Ia perlu mengambil kira pertimbangan maslahah agar tidak mendatangkan kemudaratan lain yang lebih besar. Memboikot juga mestilah dilakukan dengan ilmu dan akhlak bukan memboikot dengan terburu-buru tanpa berfikir panjang hingga mendatangkan kemudaratan yang tidak sepatutnya.


Syeikh ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam dalam salah satu tulisannya menjelaskan bahawa ada beberapa keadaan di mana menolong pada kemaksiatan hukumnya adalah harus:


قد يجوز الإعانة على المعصية لا لكونها معصية بل لكونها وسيلة إلى تحصيل المصلحة الراجحة وكذلك إذا حصل بالإعانة مصلحة تربو على مصلحة تفويت المفسدة


Maksudnya: “Terkadang diharuskan menolong dalam kemaksiatan bukan karena kemaksiatannya, namun karena ia boleh membawa kepada kemaslahatan yang lebih kuat, begitu juga jika pertolongan itu mendatangkan kemaslahatan yang lebih besar dari menghindari mafsadah (keburukan). Lihat Izzudin bin Abd al-Salam. (1991). Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jld. 1, hlm. 87.


Panduan dan parameter boikot berikut amat wajar dipertimbangkan agar boikot yang dilaksanakan benar-benar mencapai matlamat, berstrategi, tidak menyimpang daripada objektif yang digariskan dan tidak menzalimi pihak yang tidak bersalah:


1 - Fokus matlamat kempen boikot adalah untuk menekan syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung agar menukar polisi mereka berkenaan Palestin dan Israel.


2 - Dalam melaksanakan boikot, sikap tabayyun dalam menerima maklumat adalah amat diperlukan, bagi memastikan syarikat yang ingin diboikot benar-benar ada penglibatan secara langsung dengan Israel. Ini bagi mengelakkan berlakunya sebarang kezaliman terhadap pihak yang tidak bersalah.


3 - Kita hendaklah melaksanakan kempen boikot secara bijak dan berhikmah dan tidak bertindak dengan cara ekstrem dan melulu seperti memaki hamun pekerja di syarikat yang terlibat memandangkan mereka sekadar mencari rezeki, mensabotaj dengan merosakkan infrastruktur atau mengambil gambar pelanggan yang sedang makan dan menularkannya ke media sosial dengan tujuan menjatuhkan imej.


4 - Kita juga perlu mengambil kira pengecualian dalam kes terpencil, contohnya terdapat pihak yang tidak mampu menjayakan keseluruhan boikot jenama-jenama berkenaan kerana kekangan tertentu seperti masalah kesihatan dan ubat yang diperlukan hanya dikeluarkan oleh jenama tertentu sahaja, atau anak hanya boleh minum susu jenama tertentu sahaja, jika ditukar akan menyebabkan masalah alahan dan sebagainya.


5 - Hukum pekerja yang bekerja di syarikat francais yang mereka membayar royalti kepada syarikat induk yang mungkin terlibat dengan menyumbang kepada negara haram Israel adalah harus dan gajinya adalah halal selagi syarikat yang mereka bekerja tidak membantu Israel secara langsung seperti memberi sumbangan atau lain-lain.


Kesimpulannya:


Umat Islam disarankan untuk menerapkan nilai tabayyun iaitu menilai sesuatu maklumat dengan penilaian yang adil daripada sumber yang dipercayai sebelum melakukan tindakan boikot dengan mengambil kira maslahah dan mafsadah implikasi boikot di samping mengenalpasti secara tepat syarikat yang diboikot agar tujuan asal menepati sasaran dengan mengikut tahap kemampuan masing-masing.

Sunday, March 31, 2024

KAFIR disebut dalam Al-Quran Dan Al-Sunnah

KAFIR disebut dalam Al-Quran Dan Al-Sunnah.

Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang yang kafir, maka ia kafir. Bermaksud seseorang boleh tergelincir akidahnya jika tidak memperakui bahawa golongan yang dikafirkan dengan nas syarak seperti penganut agama Kristian, Yahudi, Ateisme dan lain-lain itu kafir. (Lihat Al-Ibtal li Nazariyyah al-Khalt Bayn Din al-Islam wa Ghayrih min al-Adyan, 94)


Kafir merupakan kata yang tidak asing lagi bagi umat Islam. Istilah kafir begitu akrab dipakai dengan ragam makna untuk kepentingannya.


Pengertian kafir pada bahasa bermakna ingkar. Manakala dari segi istilah syarak pula bermaksud tidak ada kepercayaan pada salah satu daripada rukun iman yang enam.Tidak percaya kepada salah satu daripada rukun iman yang wajib dipercayai akan dihukumkan kafir, tidak kira sama ada ia ada mempercayai kepercayaan agama lain atau tidak.


Kufur pula adalah sifat dari orang kafir menurut Al-quran yang bererti menutupi, mengingkari, dan mendustakan bahawa kafir adalah lawan dari pada iman yang tidak membenarkan di hatinya serta perbuatannya yang mengingkari dan menutupi serta mendustakan segala apa yang telah Allah berikan kepada mereka berupa ajaran dan agama Allah baik itu pada para rasul-Nya, ayat-ayat-Nya, kitab-kitab-Nya, malaikat-malaikat-Nya, dan hari akhir.


Dalam Al-Quran istilah kafir dalam bentuk kata jadiannya sebanyak 525 kali dan enam kata jadian, meskipun tidak seluruhnya merujuk pada erti kafir secara istilah melainkan secara bahasa. .


Dalam al-Quran juga ada satu surah khusus yang dinamakan dengan Surah Al-Kafirun (سورة الكافرون),


قُلۡ يَــٰۤـأَيُّهَا ٱلۡكَــٰـفِرُونَ۝لَ آأَعۡبُدُمَاتَعۡبُدُونَ۝وَ لَآأَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآأَعۡبُدُ۝وَلآأَنَاْعَابِدٌمَّاعَبَدتُّمۡ۝  وَلَآأَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآأَعۡبُدُ۝لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ۝


Maksudnya:”Katakanlah (Nabi Muhammad), “Wahai orang-orang kafir,aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.Kamu juga bukan penyembah apa yang aku sembah.Aku juga tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.Kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah.Untukmu agamamu dan untukku agamaku”. Al-Kafirun ayat 1-6.


Surah Al-Kafirun dengan izharnya telah menyatakan, tiada tolak ansur dan kompromi untuk mencampur adukkan ajaran agama, terutama dalam soal akidah dan ibadah serta menolak sebarang cara penyembahan atau amalan syirik


Menurut Sayyid Qutb, kafir adalah orang-orang kecil dan kerdil yang mengingkari, menutupi dan mendustakan Allah, rasul-rasul-Nya, ajaran-Nya, serta apa yang telah Allah berikan kepada mereka. Kata kafir ini mengandung makna yang luas tidak hanya berbentuk pengingkaran terhadap Tuhan dan Rasul-Nya. Tetapi segala sesuatu yang hanya mementingkan kecintaannya terhadap duniawinya saja tanpa memikirkan kehidupannya setelah di dunia.


Kafir merupakan gelaran bagi orang-orang yang tidak mempercayai Islam. Jika mereka mahu memeluk agama Islam, mereka hendaklah mengucap dua kalimah syahadah.


Dalam hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah R.A, Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda:


مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ


Maksudnya: “Barangsiapa yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahwasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan bahawasanya ‘Isa adalah hamba dan utusan-Nya dan kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam dan ruh dari-Nya, dan (dia juga bersaksi) bahawa syurga itu benar adanya dan neraka itu benar adanya, maka Allah akan memasukkan dirinya ke dalam surga berapa pun amal yang telah diperbuatnya”. Riwayat Bukhari (3435)


Orang kafir yang memeluk agama Islam dianggap bersih daripada dosa.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا إِن يَنتَهُوا يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ وَإِن يَعُودُوا فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ الْأَوَّلِينَ


Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala”. Al-Anfal ayat 38.


Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/40) menjelaskan: Maksudnya (berhenti dari melakukan) dari apa yang mereka perbuat berupa kekufuran dan penentangan. Hendaklah mereka masuk Islam, taat dan kembali kepada Allah. Jika demikian, nescaya Allah akan mengampuni mereka atas apa yang telah berlalu. Maksudnya dari kekufurannya, dosa-dosanya dan kesalahan-kesalahannya sebagaimana disebut dalam hadis sahih, daripada Ibn Mas'ud R.A, bahawa Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda:.

مَنْ أَحْسَنَ فِي الْإِسْلَامِ لَمْ يُؤَاخَذْ بِمَا عَمِلَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ أُخِذَ بِالْأَوَّلِ وَالْآخِرِ


Maksudnya: “Sesiapa yang berbuat baik dalam Islam, apa yang dilakukannya pada masa Jahiliyyah (sebelum memeluk Islam) tidak dihukum, dan siapa yang berbuat buruk dalam Islam, akan dihukum dari awal hingga akhir”. Riwayat al-Bukhari (6921) dan Muslim (334)


Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadith ini menyebut: Maksud ungkapan “مَنْ أَحْسَنَ فِي الْإِسْلَامِ” adalah masuk Islam secara zahir dan batin. Manakala maksud “وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ” adalah tidak masuk Islam berserta dengan hatinya. Dia menzahirkan syahadahnya tetapi di dalam hatinya, dia tidak meyakini Islam. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 9/345)


Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: Maksud “مَنْ أَحْسَنَ فِي الْإِسْلَامِ” adalah melakukan segala kewajipannya dan meninggalkan segala larangannya. Manakala “وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ” adalah (masih) melakukan sebahagian tegahan yang dilakukan semasa jahiliyyah (sebelum masuk Islam). (Lihat Fath al-Bari, 1/79)


Imam al-Munawi menjelaskan: Maksud “وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ” adalah dengan tiada keiklasan atau meninggalkan tauhid, dan dia mati dalam keadaan demikian. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/37)


Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda:


إِذَا أَسْلَمَ العَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلاَمُهُ، يُكَفِّرُ اللَّهُ عَنْهُ كُلَّ سَيِّئَةٍ كَانَ زَلَفَهَا، وَكَانَ بَعْدَ ذَلِكَ القِصَاصُ: الحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ، وَالسَّيِّئَةُ بِمِثْلِهَا إِلَّا أَنْ يَتَجَاوَزَ اللَّهُ عَنْهَا


Maksudnya: “Apabila seseorang hamba masuk Islam, lalu Islamnya baik, dihapus daripadanya semua keburukan yang pernah dia lakukan. Kemudian setelah itu ada balasan yang adil; iaitu satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Adapun satu keburukan dibalas dengan sama, kecuali Allah mengampuninya”. Riwayat al-Bukhari (41)


Al-Hafiz Ibn Hajar dalam menjelaskan hadis di atas berkata: Iaitu Islamnya menjadi baik dengan iktikad dan keikhlasannya serta dia memeluk Islam berserta zahir dan batin. (Lihat Fath al-Bari, 1/99)


Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam juga pernah bersabda kepada Amru bin al-‘As RA:


أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ الإِسْلاَمَ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ؟ وَأَنَّ الْهِجْرَةَ تَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهَا؟ وَأَنَّ الْحَجَّ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ؟


Maksudnya: “Apakah kamu tahu bahawa Islam telah menghapuskan dosa sebelumnya? Hijrah boleh menghapus dosa semuanya? dan Haji boleh menghapuskan dosa sebelumnya”. Riwayat Muslim (121)


Imam Nawawi berkata: “Ini menunjukkan besarnya kedudukan Islam, hijrah dan haji. Setiap satunya boleh menghapuskan sebarang dosa yang dilakukan sebelumnya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/138)


Syeikh Muhammad Amin berkata: Sesungguhnya Islam dan iman akan menggugurkan keseluruhan dosa yang dilakukan seseorang sebelum memeluk Islam sama ada dosa besar atau dosa kecil. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj fi Syarh Sahih Muslim, 3/221)


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:


أَنَّ نَاسًا مِنْ أَهْلِ الشِّرْكِ قَتَلُوا فَأَكْثَرُوا ، وَزَنَوْا فَأَكْثَرُوا ، ثُمَّ أَتَوْا مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالُوا: إِنَّ الَّذِي تَقُولُ وَتَدْعُو لَحَسَنٌ ، وَلَوْ تُخْبِرُنَا أَنَّ لِمَا عَمِلْنَا كَفَّارَةً ، فَنَزَلَ : {وَالَّذِينَ لاَ يَدْعُونَ مَعَ اللهِ إِلَهًا آخَرَ وَلاَ يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَلاَ يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا} وَنَزَلَ {يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لاَ تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ}.


Maksudnya: “Bahawa beberapa orang musyrikin yang pernah terlibat membunuh ramai orang, melakukan zina dan sebagainya datang kepada Nabi Salallahu’alaihiwasallam dan berkata: “Sesungguhnya apa yang engkau kata dan sampaikan adalah baik, dan kalaulah kamu khabarkan kami mengenai apa-apa kaffarah/pengampunan ke atas apa yang telah kami lakukan.” Maka Allah Subhanahuwata’ala lalu menurunkan ayat (وَالَّذِينَ لاَ يَدْعُونَ مَعَ اللهِ إِلَهًا آخَرَ وَلاَ يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَلاَ يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا) dan ayat (يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لاَ تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ).


Riwayat al-Bukhari (4810) dan Muslim (237)


Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Para ulama beristidlal dengan ayat ini dalam menyatakan keampunan ke atas segala dosa sama ada besar atau kecil, sama ada berkait dengan hak manusia ataupun tidak. Dan yang masyhur di sisi Ahli Sunnah bahawa semua dosa diampun dengan taubat dan ia diampun bagi siapa yang Allah kehendaki. (Lihat Fath al-Bari, 8/550)


Orang yang mati dalam keadaan kafir pula akan di kekalkan oleh Allah dalam neraka. Firman Allah Subhanahuwata’ala,


إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَنْ تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۚ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ


Maksudnya:”Sesungguhnya orang-orang yang kafir baik harta mereka maupun anak-anak mereka, sekali-kali tidak dapat menolak azab Allah dari mereka sedikitpun. Dan mereka adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya”.

Ali Imran ayat 116.


Manusia-manusia yang kufur atau lalai akan hari pembalasan, maka telah dipersiapkan buat mereka neraka sebagai pembalasan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahuwata’ala,


وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ


Maksudnya: “Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. Al-Baqarah ayat 39.


Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Baghawi menyatakan yang dimaksudkan dengan kekal adalah, penghuni neraka tidak akan dikeluarkan dan tidak akan mati padanya. Lihat Maalim al-Tanzil (1/29).


Hal ini lebih jelas sekiranya diperhatikan daripada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id RA, bahawa Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda:


أَمَّا أَهْلُ النَّارِ الَّذِينَ هُمْ أَهْلُهَا فَإِنَّهُمْ لاَ يَمُوتُونَ فِيهَا وَلاَ يَحْيَوْنَ وَلَكِنْ نَاسٌ أَصَابَتْهُمُ النَّارُ بِذُنُوبِهِمْ أَوْ بِخَطَايَاهُمْ فَأَمَاتَتْهُمْ إِمَاتَةً حَتَّى إِذَا كَانُوا فَحْمًا أُذِنَ لَهُمْ فِي الشَّفَاعَةِ فَجِيءَ بِهِمْ ضَبَائِرَ ضَبَائِرَ فَبُثُّوا عَلَى أَنْهَارِ الْجَنَّةِ فَقِيلَ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ أَفِيضُوا عَلَيْهِمْ فَيَنْبُتُونَ نَبَاتَ الْحِبَّةِ تَكُونُ فِي حَمِيلِ السَّيْلِ


Maksudnya: “adapun penduduk neraka yang sememangnya mereka penghuninya, maka mereka tidak akan mati di dalamnya dan tidak juga hidup (beristirehat daripadai siksa neraka). Tetapi ada manusia yang akan diazab dengan api kerana dosa-dosa mereka atau kesalahan mereka, mereka akan dibunuh sehingga mereka bagaikan menjadi arang, hingga diizinkan kepada mereka syafaat. Kemudian (arang-arang) itu dibawa secara lambakan dan dilemparkan di sungai-sungai syurga, lalu dikatakan “wahai Ahli syurga, curahkan air kepadanya dan ia akan menjadi benih yang dihanyutkan arus”.


Imam al-Nawawi menukilkan pandangan ulama’ yang menerangkan maksud penduduk neraka yang sememangnya penghuni neraka, ialah golongan kuffar yang tidak akan keluar selamanya daripada neraka. Lihat Fatwa al-Nawawi:104. Hal ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahuwata’ala:


وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَىٰ عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُم مِّنْ عَذَابِهَا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ


Maksudnya: Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya”. Al-Fatir ayat  36.


Maka jelaslah, bahawa Allah Subhanahuwata’ala tidak mematikan orang-orang yang kufur kepada-Nya sebagai balasan, kerana kematian itu hanya akan menyebabkan sakit yang seketika, berbanding dengan siksaan yang berpanjangan sesuai dengan tempoh masa yang diberikan di dunia untuk setiap manusia beriman kepadanya. Bukan sekadar menyiksa orang-orang yang kufur ini dengan tidak mematikan mereka, malah untuk memastikan mereka berterusan merasa sakit dengan siksaan tersebut, maka Allah Subhanahuwata’ala berfirman:


إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا


Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. 

Al-Nisa’ ayat 56.


Berdasarkan keterangan di atas juga,   sememangnya sudah terang lagi bersuluh, bahawa penghuni neraka itu sesekali tidak akan mati atau dimatikan di dalam neraka agar mereka boleh terus merasakan azab di atas segala yang mereka lakukan di dunia.


Semoga Allah Subhanahuwata’ala menjauhi kita dan membebaskan kita daripada api neraka-Nya. ٱمين



Boikot sebagai jihad harta yang merupakan bahagian jihad fi sabilillah ( جهاد فِي سَبِيلِ اللَّهِ) menurut perspektif Islam.

Boikot sebagai jihad harta yang merupakan bahagian jihad fi sabilillah  ( جهاد فِي سَبِيلِ اللَّهِ) menurut perspektif Islam. Secara umumnya...